Titisan Tinta Seorang Mujahidah

Seindah hiasan adalah wanita solehah…

Adelaide, Febuari 2009

Tepat 7.30 pagi aku tiba di Adelaide Airport. Negara kangaroo dan koala. Pertama kali menjejakkan kaki ke tempat yang aku rasakan begitu asing buat diriku. Namun, aku beruntung kerana aku bukanlah keseorangan di sini.  Aku berjaya menyambung pelajaran di sini bersama kawan-kawanku yang lain. Teringat perbualan kami beberapa hari lepas.

“Eh, nanti masa cuti winter, kita pergi jalan-jalan nak tak? Sydney ke, Melbourne ke. Gold Coast pun seronok jugak.” Kata Nani sambil mulutnya sibuk mengunyah burger. Ketika itu, kami berhenti rehat seketika di Kfc Mid Valley setelah membeli beberapa barang keperluan untuk dibawa ke Australia. Sekadar persiapan terakhir. Ajakan Nani disambut riang kawan-kawanku yang lain. Aku seperti biasa, turut serta mengangguk tanda setuju. Tidak sabar untuk menunggu saat itu tiba.

Setelah mengambil baggage, aku menolak troli beg-beg ku keluar. Ada beberapa kawanku yang sudah mendahului ku berada di satu kawasan. Aku segera menuju ke situ. Mataku terpandang kelibat dua orang yang asing bertudung litup di tengah-tengah kawan-kawanku. Bila aku sampai di situ, salah seorang daripada mereka berdua menghulurkan tangan.

“Assalamualaikum. Panggil akak, Kak Ida. Yang ni Kak Ija. Siapa nama adik?” Huluran tangannya ku sambut. Tergamam sebentar apabila salaman bukan hanya sekadar salaman. Tapi disertai dengan pelukan mesra. Terkejut, namun aku terasa ada suatu ketenangan bersama mereka berdua.

Adelaide, Julai 2009

Sudah hampir 5 bulan aku di sini. Sekarang musim dingin sudah tiba. Kesejukkannya bagai menggigit tulang-belulangku. Ketika itu aku baru saja selesai solat subuh. Keseorangan di ruang solat di rumahku. Aku melihat ke luar jendela. Langit yang mula kekuningan. Terdengar kicauan burung sayup-sayup diluar.

“Mungkin ibu burung dah mula mencari rezeki buat anak-anaknya.” Bisik hati kecilku.

Tiba-tiba terasa hangat pipiku. Air jernih itu mulai turun lagi. Saat itu, segala kenangan sepanjang berada di Adelaide bagai berputar-putar di mindaku. Ada sesuatu yang bagai mengetuk-ngetuk jiwa ini. Ketukan yang bertalu-talu namun ia memberi ketenangan.

Aku sedar. Aku sentiasa lain daripada kawan-kawanku. Topik yang selalu menjadi perbualan kami sentiasa berkisar kepada keindahan dunia. Aku sedar akan kekurangan diri. Mungkin itu yang menjadi titik tolak kepadaku untuk mencari. Mencari sesuatu yang mampu merawat kepedihan hati. Aku tak menyalahkan kawan-kawanku. Mungkin kerana perasaan rendah diri yang terlalu kuat yang membuatkan aku sentiasa rasa kekurangan. Tapi, pengakhirannya menjejaskan diri aku sendiri. Jiwa memberontak. Walaupun aku berteman, namun aku sentiasa rasa keseorangan. Aku selalu bertanya, “Ya Allah, kenapa kau berikan kekurangan ini padaku. Sedangkan mereka yang lain Kau kurniakan kelebihan. Yang selamanya takkan sesekali aku miliki.” Rintihan yang seringkali aku tanyakan di atas sehelai sejadah yang menjadi saksi kepada segalanya.

Persoalan itu sentiasa menjadi sebab kenapa air jernih ini sentiasa mengalir. Tapi, itu dulu. Pagi ini, titisan yang sama mengalir tapi bukan atas sebab yang sama. Kali ini, ia mengalir atas doaku yang berlainan dengan keinginanku dahulu.

“Ya Allah. Aku mahu menjadi seorang wanita yang solehah.” Air jernih itu terus-terusan mengalir. Di atas sejadah yang sama, namun kali ini dengan lafaz yang berbeza. Aku yang sekarang dan aku yang dulu. Aku tahu aku mencari sesuatu. Walaupun aku pun tak pasti apa yang aku cari. Namun, aku sentiasa mencari sesuatu yang mampu memberi ketenangan kepada jiwa. Dahulu, dalam setiap sujud solatku, dalam setiap bacaan Al-Quran, aku sentiasa cuba mencari ketenangan itu. Namun, tak pernah sedikitpun damainya ku temui.

Dan sekarang, di bumi yang jauh dari tanah air, aku rasakan bahawa sesuatu yang aku cari selama ini bagaikan semakin mendekati. Sesuatu yang mampu memberi ketenangan kepada hati. Sesuatu yang akan menghilangkan perasaan kekurangan yang aku rasa selama ini.

Kenapa ketenangan ini tak ku temui dahulu? Aku cuba menilai kembali diriku sendiri. Apa matlamat hidup aku selama ini? Adakah semata-mata untuk mengejar kecantikkan duniawi? Setiap malam sebelum tidurku, bibir ini sentiasa mengucapkan kalimah syahadah. Namun, sehampir mana hubungan yang aku bina dengan Allah? Sebanyak mana pernah hati ini rindu pada kekasih Allah? Aku tunaikan kewajipan solat. Namun, sekhusyuk mana aku dalam setiap bacaan, setiap rukuk, setiap sujud ku? Seusai solat maghrib,aku membaca Al-Quran hampir setiap malam. Namun, pernahkah aku cuba fahami setiap butir isi kandungannya?

Aku bagaikan baru dibangkitkan dari lena yang panjang. Terasa baru menemui jawapan kepada setiap persoalan. Terlalu banyak episode-episod yang berlaku di sini yang memberi pentarbiyyahan kepada diri. Aku seorang pemerhati. Dan ketukan yang aku dapat adalah kerana aku memerhati dan mencari. Qudwah hasanah mereka yang mengetuk hati.

Aku mahu menjadi seperti mereka. Walaupun aku tahu aku tak layak. Siapalah aku untuk menjadi seorang wanita solehah. Aku dipenuhi dosa. Kisah hidup aku dipenuhi noda.

Aku teringat lewat di suatu petang, ketika berada di dalam bas dalam perjalanan pulang ke rumah selepas habis tutorial di universiti. Hati terasa ingin membuka tafsir yang berada di dalam beg sandangku. Pada helaian itu, pandanganku bagai terpaku pada satu ayat yang cukup menggetarkan jiwa.

Katakanlah, “Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (Az-Zumar: 53)

Terasa sebak di hati. Ya Allah, aku mahu berubah. Aku tak perlukan lagi kecantikkan dunia. Aku tak perlukan lagi keindahan dunia. Aku tak perlukan lagi kemewahan dunia. Aku tak perlukan lagi kesenangan dunia. Kerana aku tahu aku tak akan pernah berasa puas jika aku memilikinya.

Adelaide 2010

“Akak, saya nak pakai tudung, boleh tak?” Tersenyum naqibah ku mendengarkan pertanyaanku. “Yang bertutup itu jauh lebih dicintai Allah.” Pendek jawapannya, namun sudah cukup untuk memberi kekuatan kepada diri.

Aku sedar aku sudah mula berubah. Sedikit demi sedikit. Walaupun jauh lagi matlamat yang aku inginkan. Tapi aku kumpulkan kekuatan satu demi satu. Kerana aku yakin suatu hari nanti aku pasti akan berjaya sampai ke matlamatku. Menjadi wanita solehah. Dengan izinNya.

Adelaide, Oktober 2010

Setahun yang lalu, aku mahu berubah. Dan aku dihulurkan pertolongan untuk berubah. Namun sebenarnya kekuatan untuk berubah itu sentiasa berada dalam diri setiap insan. Cuma kita yang tiada keberanian untuk memulakan. Sekarang, tanggungjawab aku semakin bertambah. Tiba masa untuk aku pula merubah. Kerana aku yakin di luar sana pasti ada jiwa-jiwa yang turut sama mencari. Pencarian kepada satu jawapan yang selama ini sentiasa berada di sisi. Pencarian kepada pergantungan Ilahi. Moga pengakhirannya adalah penemuan hakikat kemanisan iman dan islam yang sebenar. Itulah kemenangan abadi.

Malaysia, 26 November 2011

Tenang wajahnya saat melafazkan akad. Seorang akhi yang tidak begitu aku kenali. Cuma sekali-sekala bertemu atas urusan tarbiyyah. Saat cincin disarungkan, aku menangis lagi.

Kali ini tangisan ini adalah tangisan kesyukuran. Atas kurniaan Tuhan.

Tarikh 26 November dipilih atas permintaanku. Kerana tarikh ini bersamaan 1 Muharram 1433 Hijrah. Tarikh yang merupakan titik tolak penghijrahan baginda Rasulullah s.a.w. Tarikh yang aku ingin abadikan sepanjang hidupku. Tanda penghijrahan. Peringatan buat diriku. Bahawa aku pernah berhijrah. Penghijrahan yang bermula atas sebab cintakan keindahan yang membawa aku kepada keindahan cinta hakiki. Cinta Ilahi.

Sekarang, di atas sejadah yang tetap sama, matlamat aku makin bertambah.

Mahu menjadi seorang isteri solehah.

Mahu menjadi qudwah hasanah.

Mahu menjadi daie yang merubah.

Mahu menjadi bidadari syurga firdaus.

Amin Ya Rabb.

Titisan Tinta: ISMA Australia

Advertisements