Buyutuna fi Ramadhan

Tok tok tok! “Assalamualaikum.” Sedang asyik memasak di dapur, Ammar dikejutkan dengan ketukkan di muka pintu.

“Ish, siapa pula yang datang pagi-pagi ni.” Bisik hati kecil Ammar.

Sebelum membuka pintu, Ammar mengintai siapakah gerangan orang yang datang ke rumahnya pada hari minggu ini melalui tingkap di sebelah pintu.

“Hujung minggu macam ni orang nak berehat la.” Detik hati kecil Ammar yang geram dengan kedatangan tetamu yang tidak diundang.

Melihat saja kelibat tetamu di hadapan rumah, Ammar terkejut. Terus dipandang kalender di dinding. 1 Ogos 2011. Tarikh yang dibulatkan.

“Alamak! Lupa. Cikgu Umayr dah kata nak datang hari ni. Macam mana boleh lupa ni?”

Ammar memerhati keadaan rumahnya. Di ruang tamu baju bersepah-sepah, surat khabar merata-rata, pinggan mangkuk tak terbasuh, dapur yang penuh dengan percikan sambal nasi lemaknya.

Kelam kabut Ammar mengemaskan rumah yang tidak teratur. Kedatangan Cikgu Umayr bukanlah kedatangan mengejut. Kedatangannya telah diberitahu 2 bulan yang lalu. Tapi disebabkan Ammar terlalu sibuk dengan kehidupan diri-sendiri, terlupa dengan kedatangan tetamu yang penting ini. Dan sekarang Ammar dalam keadaan yang masih belum bersedia untuk menyambutnya.

Begitulah juga dengan Ramadhan. Kedatangan bulan yang penuh keberkatan ini telah diketahui setahun yang lalu. Dan Ramadhan bukanlah calang-calang tetamu yang bakal bertandang ke rumah, bahkan Ramadhan adalah kekasih yang sentiasa dirindui dalam doa.

“Allahumma balighna Ramadhan,” Ya Allah, sampaikanlah kami kepada Ramadhan.

Tapi bagaimana dengan persiapan kita? Adakah seperti Ammar? Bimbang nanti kedatangan tetamu ini hanya berakhir dengan kepulangan yang hampa.

Tetamu sudah hampir sampai. Tiba masanya untuk kita bersedia. Bersedia menghiaskan rumah kita dengan penuh keindahan sepanjang tempoh tetamu yang dirindui bertandang.

Hiasilah dengan qiamullail, inilah saat untuk kita berdua-duaan dengan Sang Pencipta dalam kesayuan bulan Ramadhan.
Hiasilah dengan bangun sahur walaupun dengan hanya seteguk air , yang di dalamnya terkandung rahsia keberkatan Ilahi.
Hiasilah dengan solat berjemaah, biar sama-sama merasa kekuatan sebuah ikatan ukhuwwah fillah.
Hiasilah dengan tadarrus Al-Quran, agar basahan ayat-ayat cintaNya bertaut di hati yang kusam.
Hiasilah dengan iftar bersama sahabat-sahabat, pasti kemanisan berbuka puasa akan lebih terasa.
Hiasilah juga dengan solat-solat sunat, untuk kita sama-sama mengejar pahala yang berganda-ganda nilainya.

Moga Ramadhan kali ini dipenuhi dengan seribu satu makna yang mendalam. Ahlan wasahlan Ya Ramadhan.

http://www.ismaaustralia.com/buyutuna-fi-ramadhan/