Buyutuna fi Ramadhan Episod Akhir – Berlalunya Sebuah Ramadhan

29 Ogos 2011

Ramadhan dah tiba ke penghujungnya. Sepanjang Ramadhan kali ini, banyak perkara yang telah berlaku dalam hidup yang mengajar aku bagaimana cara yang sepatutnya untuk aku hiasi Ramadhan kali ini.

Tentang betapa istimewanya sahur yang di dalamnya tersimpan nikmat keberkatan, tentang betapa manisnya perasaan iftar bersama sahabat-sahabat tersayang dan kegembiraan yang tak terungkap bila aku mampu untuk memberi kepada orang lain. Serta betapa berharganya terawih dan qiamullail yang datang dengan kebaikan yang berganda-ganda.

Saat yang paling syahdu ialah apabila aku mampu mengembalikan senyuman umi dengan menemukan kembali Quran hijau, peninggalan terakhir arwah atok buat satu-satunya anak yang tersayang. Sebak di hati tatkala aku lihat umi menitiskan air mata kegembiraan bila matanya menangkap kelibat Quran hijau itu di atas meja.

Ramadhan dah hampir menutup tirai. Tetamu yang pada awalnya aku sambut dengan acuh tak acuh, sekarang rasanya tak sanggup untuk aku melepaskan ‘dia’ pergi. Dengan waktu yang hanya tinggal beberapa jam sebelum ‘dia’ berlalu, aku masih tertanya-tanya. Bagaimana dengan setiap amalan yang telah aku lakukan sepanjang Ramadhan kali ini? Cukup ikhlaskah aku dalam setiap kebajikan yang aku lakukan? Cukup sempurnakah aku dalam setiap ibadat yang aku jalankan? Benar-benar cukupkah bekalan pahala yang aku kumpulkan? Sudah sampaikah aku kepada misi sebenar Ramadhan, iaitu untuk menjadikan aku lebih dekat kepada Allah? Sejauh mana ketaqwaan aku bertambah dengan kedatangan Ramadhan kali ini?

Persoalan-persoalan yang bermain-main di benakku setiap kali melihat jam di tangan. Gerakan detik yang takkan pernah berhenti. Dan tetamu sudah bersiap-siap untuk pulang. Aku memandang ke langit dan berfikir, mungkinkah ini Ramadhan yang terakhir untukku? Akan sampaikah aku kepada Ramadhan yang seterusnya? Persoalan yang aku tahu pasti dibiarkan sepi tanpa jawapan. Kerana hanya Tuhan yang tahu.

Aku doakan moga amalanku diterima Ilahi. Walaupun cuma hanya sekecil kuman kebaikan. Kerana mungkin pahala itulah yang membenarkan aku untuk melangkah masuk ke syurga. Sungguh, hanya Tuhan yang tahu.

Taqabbalallahu minna wa minkum – Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu…

Ya Allah, pertemukanlah aku dengan Ramadhan seterusnya.

Yang mencoret pena,

Ammar

Tamat

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan kepada Allah, maka sesungguhnya telah diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”

(H.R. Bukhari dan Muslim)

http://www.ismaaustralia.com/buyutuna-fi-ramadhan-episod-akhir-berlalunya-sebuah-ramadhan/

Buyutuna fi Ramadhan Episod 3 – Quran Hijau Atok

Ammar memandang sepi ke arah sawah padi yang terdampar hijau indah di belakang rumahnya. Kata-kata uminya pagi tadi terngiang-ngiang di telinga.

“Ammar, ada nampak tak Al-Quran hijau yang arwah atok punya? Seingat umi, umi letak atas almari depan tu tahun lepas. Umi cari tadi tak jumpa pulak.”

Ammar yang sedang menonton tv memandang uminya. “Entahlah umi. Ammar rasa macam pernah nampak. Tapi dah lupa la.”

Kehampaan jelas tergambar di wajah uminya. Wajah yang bermain-main di fikiran Ammar saat ini. Ammar tahu kenapa uminya tercari-cari senaskah Al-Quran itu. Naskah Al-Quran yang merupakan hadiah peninggalan yang diberikan oleh arwah atok kepada umi.

Dan tarikh hari ini, 17 Ramadhan 1432 H adalah hari ulangtahun kematian atok yang kelima. Kematian yang menjemput atoknya di saat baru pulang daripada bazaar Ramadhan untuk membawa pulang juadah berbuka puasa. Bila mana kenderaan bersimpang-siur apabila semua berkejar untuk pulang berbuka di rumah, saat itulah sebuah van telah merempuh motorsikal atok dan menyebabkan kepalanya jatuh terhentak ke penjuru jalan raya. Dan atok telah disahkan meninggal dunia saat tiba di Hospital Besar Kuala Kangsar.

Masih jelas terbayang di ingatan Ammar bagaimana wajah kesedihan uminya benar-benar meruntun jiwa. Tapi ketika jenazah arwah tiba di rumah, wajah umi kembali tenang. Hairan dengan perubahan sikap yang tiba-tiba pada umi, Ammar memandang uminya dengan penuh perasaan ingin tahu.

Mungkin tersedar diperhatikan, Mak Sofiyyah berkata lembut.

“Umi nak arwah atok pergi tinggalkan kita dengan tenang. Dah tiba saatnya atok untuk bertemu pemiliknya kembali. Dan tak lama lagi kita pun pasti menyusul. Moga Allah redha dengan atok sebagaimana kita redha dengan pemergiannya.”

Apabila uminya menyebut tentang Al-Quran hijau itu, kenangan bersama arwah atok menyapa di ingatan. Dengan arwah atoklah Ammar belajar mengaji. Memang tak dinafikan bacaan atok sentiasa menusuk ke hati Ammar. Namun dek kerana kenakalannya, Ammar seringkali melarikan diri bila tiba sesi mengaji. Baginya, dia sudah pandai mengaji. Sudah kenal setiap huruf. Kenapa masih perlu berguru?”

Dan setiap kali melarikan diri, pasti arwah atok akan mencarinya walau di mana sekalipun dia berada.

“Hish, pakcik-pakcik ni sibuk la.” Ammar sentiasa berasa geram di hati setiap kali dia tertangkap disebabkan orang-orang kampung yang memberitahu atok di mana dia berada.

Pernah sekali Ammar berkata kepada atoknya, “Atok, Ammar kan dah boleh baca Al-Quran sendiri. Bila Ammar rajin, Ammar bacalah. Tak perlu lah nak baca tiap-tiap hari.”

Atok tersenyum. “Ammar pernah jatuh cinta tak?”

Tiba-tiba Ammar tersipu-sipu malu. “Ish atok ni. Ammar kecik lagi la. Baru 10 tahun.”

Tergelak atoknya melihat muka Ammar yang merah padam.

“Meh atok nak kongsikan sikit perangai orang yang jatuh cinta ni. Kalau kita cintakan seseorang, kita mesti tak sabar-sabar nak jumpa dia selalu, nak cakap dengan dia selalu. Paling kita suka kalau dapat surat cinta daripada si dia. Tak sabar nak baca. Kalau boleh, tiap-tiap hari nak dapat surat baru, sebab nak tahu apa yang cuba disampaikan oleh orang yang kita cinta tu kepada kita. Terkadang tu satu surat tu banyak kali kita baca sampai dah boleh hafal dah isi kandungan surat tu.”

Ammar mendengar dengan penuh minat. Dalam hatinya dia tertanya-tanya, “Kenapa atok ni. Orang cakap pasal Al-Quran. Dia cakap pasal cintan-cintun pulak. Bukan ke salah kalau bercinta sebelum kahwin?”

Atok tersenyum melihat wajah Ammar yang berkerut-kerut. Dia yakin Ammar pasti keliru dengan kata-katanya.

“Ammar sayang Allah tak?”

“Eh, mestilah sayang. Umi kata kita kena sayang Allah sebab Allah pun sayang kita. Betul tak, atok?” bersungguh-sungguh Ammar menjawab pertanyaan atoknya.

Atok mengangguk. “Betul, kita kena sayang Allah. Kita kena cintakan Allah. Tapi Ammar tahu tak apa yang sweetnya cinta Allah berbanding cinta manusia?”

Ammar menggelengkan kepalanya.

Sweetnya Allah tu pada surat cintaNya. Kenapa? Sebab surat cinta Allah tak mengharapkan balasan. Kita tak perlupun tulis apa-apa untuk balas balik surat Dia.”

“Surat cinta Allah?” Ammar bertanya penuh kehairanan.

“Al-Quran itu sendiri. Itulah kalam Allah. Itulah ayat-ayat cinta Allah. Buat hamba-hamba yang disayangiNya. Jadi, bila kita dah dapat surat cinta daripada Allah, takkan kita nak biarkan macam tu je. Padahal kita kata kita sayang Allah. Jadi, mestilah kita nak baca surat tu tiap-tiap hari. Kalau nak tunjukkan betapa kita suka kepada surat Allah ni, kita hafal sekali. Dan kita baca tafsirnya jugak supaya kita faham apa yang Allah nak beritahu pada kita. Paling sweetnya surat cinta Allah ni bila mana Allah dah terangkan apa natijahnya kalau kita ikut langkah-langkah yang Allah dah sediakan dalam surat tu.”

Tekun Ammar mendengar setiap penjelasan atoknya.

“Kalau kita ikut isi kandungan surat tu, akhirnya dapatlah kita bertemu dengan Allah yang kita cintai. Tapi kalau kita tak nak ikut, maknanya kita tak cukup membuktikan yang kita cinta pada Allah. Allah pun tak nak la jumpa kita jugak.”

Ammar mengangguk tanda faham. “Oh, macam tu ye atok. Jadi, kalau Ammar sayang kat Allah, tiap-tiap hari la Ammar kena baca ayat-ayat Allah, kan? Kalau tak, nanti Allah tak nak jumpa Ammar.”

Atok tersenyum lagi, “Betul tu. Lagi-lagi bulan Ramadhan ni. Berganda-ganda pahala yang Allah sediakan kalau tiap-tiap hari kita baca Al-Quran. Satu lagi, hari ni 17 Ramadhan kan, Ammar. Hari ni la tarikh bila mana Al-Quran diturunkan kepada Rasulullah di Gua Hira’.

Ayat cinta pertama Allah kepada hambaNya. Dan Ammar mesti tahu kan apa ayat pertama tu.” Atok bertanya.

“Iqra’ kan, atok?”

Atok mengiakan jawapan Ammar. “Betul. Iqra’ bermakna bacalah.

Kalau kita fahami betul-betul ayat ni, langkah pertama untuk buktikan cinta kita pada Allah adalah dengan membaca. Tapi baca apa?
Bacalah Al-Quran itu sendiri. Sebagai panduan untuk kita sampai kepada Allah….”

Dan setahun selepas itu, atok dijemput Ilahi, kekasih yang selama ini dirinduinya.

Bunyi bising kanak-kanak yang bermain di bendang sawah mengejutkan Ammar daripada lamunan. Ada setitis air mata mengalir di pipi.

“Ah, rindunya arwah atok.”

Ammar segera masuk ke rumahnya. Uminya telah keluar ke rumah jiran sementara abah masih belum pulang daripada tempat kerja. Ammar ingin mencari Al-Quran itu. Sejak kematian atok, dia telah berjanji pada dirinya untuk memastikan uminya tidak lagi bersedih. Wajah kesedihan umi yang benar-benar meruntun hati.

Di sebalik buku teks sekolah rendahnya, Ammar terlihat kelibat sebuah buku berwarna hijau. Naluri hatinya amat yakin, itulah yang dicari umi.

“Wudhuk dah ada ni. Bolehlah pegang.” Ammar mencapai kitab itu. Dia mengelap debu-debu yang membalutinya. Dan Ammar letakkan Al-Quran itu di atas meja di ruang tamu. Dia tersenyum puas.

“Umi, inilah kitab cinta yang umi cari. Moga umi tak bersedih lagi.” Bisik Ammar dalam hati.

Bersambung…

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia. Yang mengajar (manusia) dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Al-Alaq: 1-5)

Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.” (Al-Baqarah: 2)

dan agar aku membacakan Al-Quran (kepada manusia). Maka barangsiapa mendapat petunjuk maka sesungguhnya dia mendapat petunjuk untuk (kebaikan) dirinya…” (An-Naml: 92)

Titisan Tinta: ISMA Australia

Buyutuna fi Ramadhan Episod 1 – Jom Sahur!

“Mar! Ammar! Bangun sahur, nak. Dah dekat 5.30 dah ni. Nanti habis pulak waktu.” Sayup-sayup kedengaran suara Mak Sofiyyah dari dapur.

“Hmm, kejaplah umi.” Jawab Ammar malas sambil matanya masih tertutup rapat.

Mak Sofiyyah masuk ke bilik Ammar. “Ya Allah budak ni. Dah berpuluh-puluh kali dah umi panggil. Liatnya nak bangun. Ammar, bangun nak. Sahur. Nanti dah masuk Subuh pulak. Hari ni kan hari pertama puasa. Nanti kalau tak sahur, Ammar tak larat pulak nak puasa.”

“Ala umi ni. Macam la Ammar ni tak pernah puasa. Selama ni, selalu je tak sahur. Ok je Ammar.”

“Ish budak ni, pandai betul menjawab.” Gumam Mak Sofiyyah dalam hati.

“Ikut Ammar la. Umi dah ajak sahur. Kalau tak nak bangun, takpe lah. Umi sahur dengan abah je.” Mak Sofiyyah kembali ke dapur meninggalkan Ammar yang kembali menyambung tidurnya.

Lokasi: Sekolah Menengah Agama Barokah, Kuala Kangsar.

Jam dinding di kelas 4 Hanan tepat menunjukkan pukul 12.30 tengahari. Seperti biasa, Cikgu Umayr sentiasa bersemangat mengajar pelajar-pelajarnya subjek kegemaran mereka, matematik tambahan.

Di satu sudut di hujung kelas, kelihatan seorang pelajar yang gigih mengangguk-angguk setiap apa yang diajarkan Cikgu Umayr. Mungkin faham dengan apa yang diajar.

“Siapa yang boleh jawab soalan nombor 5 ni?” Semua pelajar menundukkan muka setiap kali bertentang mata dengan Cikgu Umayr.

Bimbang jika dipanggil. Cikgu Umayr menggeleng-gelengkan kepala melihat gelagat pelajar-pelajarnya. Matanya terhenti kepada Ammar yang masih mengangguk-angguk.

“Ha! Ammar, daripada tadi cikgu tengok awak ni faham je semua. Mesti boleh jawab soalan ni. Senang je ni.”

Ammar masih lagi mengangguk-angguk.

“Ammar, bangun Ammar! Cikgu panggil tu.” Khalid cuba mengejutkan kawannya yang masih belum sedar.

“Ha?!” Mata Ammar terkebil-kebil. Merah padam muka Ammar bila terasa semua mata tertumpu ke arahnya.

Cikgu Umayr tersenyum. “Penat puasa ke Ammar?”

“Hehe. Taklah cikgu. Emm.. sikit la.” Ammar tersipu-sipu.

“Awak sahur tak pagi tadi?”

“Emm… Tak.” Jawab Ammar pendek.

“Oh, yeke.”

“Selama ni selalu je saya tak sahur kalau puasa sunat. Ok je, cikgu. Active macam biasa. Tapi hari ni, entahlah. Badan rasa macam tak best.”

“Ammar tahu tak kenapa sebenarnya kita kena bangun sahur?” soal Cikgu Umayr ingin mencungkil pengetahuan dan kefahaman anak muridnya itu tentang sahur.

“Em… Sebab Nabi pun sahur. Pastu sebab nak bagi cukup tenaga untuk puasa. Betul tak, cikgu?”

Cikgu Umayr mengangguk tanda setuju. “Tahu pun awak sahur tu sunnah Rasulullah. Jadi sangat bagus la kalau kita bangun sahur, kan? Kalau susah sangat nak tolak selimut tu, sekurang-kurangnya minum la seteguk air. Letak kat tepi katil siap-siap. Nak lagi bagus, sekurang-kurangnya makan la kurma.”

“Dan yang paling penting, sahur tu bukan sekadar nak dijadikan sebagai bekalan tenaga untuk kita berpuasa. Tapi kita bangun sahur untuk kita kejar rahsia keberkatan yang Allah letakkan dalam sahur tu sendiri.” Cikgu Umayr memandang sekeliling kelas.

“Keberkatan tu bukan macam matematik. Bukan macam mathematical reasoning yang kita baru belajar ni.If p, then q. If q, then p. Bukannya bermaksud kalau kita bangun sahur, jadi kita akan bertenaga. Dan kalau tengok orang tu lemah je dalam kelas, ha! Sah orang ni tak bangun sahur. Kesan sahur tu tak semestinya macam ni. Tapi…” Cikgu Umayr berhenti seketika.
“Untuk kes Ammar ni, boleh la kalau nak guna formula ni.” Ujar Cikgu Umayr mengusik.

Kawan-kawan yang lain ketawa mendengar gurauan Cikgu Umayr. Ammar menjeling tajam ke arah kawan-kawannya.

“Kita kena ingat. Kita bangun sahur sebab nak dapatkan keberkatan tu. Dan nilai keberkatan tu kita takkan pernah tahu macam mana kiraannya. Berapa kali ganda pahala yang Allah selitkan dalam sahur tu. Keberkatan tu tak ada formula tetap. If p mungkin kita boleh dapat r pahala. Tak pun s, t. Wallahu a’lam. Allah je yang tahu, kan?” sambung Cikgu Umayr.

“Jadi, bila kita dah tahu ganjaran yang banyak macam ni, takkan kita tak nak berlumba-lumba untuk dapatkan sebanyak mungkin keberkatan, sebanyak mungkin pahala yang Allah tengah offer sepanjang bulan Ramadhan ni.”

Ammar tekun mendengar setiap kata-kata Cikgu Umayr. “Cikgu Umayr ni, ajar add math. Tapi bila cakap macam ada gaya ustaz la pulak.” Bisik Ammar dalam hati.

“Ok ke Ammar?”

Ammar tersentak. “Ha? O.. ok cikgu. InsyaAllah esok saya bangun sahur. Seteguk air pun jadi la kan, cikgu?” Cikgu Umayr mengangguk.

“Ok la. Dah habis waktu dah. Kita sambung esok pulak. Jangan lupa siapkan homework yang cikgu bagi tu. Dan Ammar, sahur tau. Jangan tak sahur.” Cikgu Umayr kembali mengingatkan Ammar.

Bersambung…

Daripada Anas r.a, Baginda s.a.w. bersabda: “Bersahurlah kamu. Sesungguhnya dalam sahur itu ada berkat.” (H.R. Bukhari dan Muslim)

Daripada Abu Sa’id al-Khudri, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Makan sahur itu berkat, oleh sebab itu jangan kamu meninggalkannya walaupun salah seorang daripada kamu kemudiannya meneguk seteguk air. Maka sesungguhnya Allah s.w.t. berselawat ke atas orang-orang yang bersahur.”(H.R. Imam Ahmad)

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sebaik-baik makanan sahur orang yang beriman ialah buah tamar.” (H.R. Abu Daud)

http://www.ismaaustralia.com/buyutuna-fi-ramadhan-episod-1-jom-sahur/