Buyutuna fi Ramadhan Episod 1 – Jom Sahur!

“Mar! Ammar! Bangun sahur, nak. Dah dekat 5.30 dah ni. Nanti habis pulak waktu.” Sayup-sayup kedengaran suara Mak Sofiyyah dari dapur.

“Hmm, kejaplah umi.” Jawab Ammar malas sambil matanya masih tertutup rapat.

Mak Sofiyyah masuk ke bilik Ammar. “Ya Allah budak ni. Dah berpuluh-puluh kali dah umi panggil. Liatnya nak bangun. Ammar, bangun nak. Sahur. Nanti dah masuk Subuh pulak. Hari ni kan hari pertama puasa. Nanti kalau tak sahur, Ammar tak larat pulak nak puasa.”

“Ala umi ni. Macam la Ammar ni tak pernah puasa. Selama ni, selalu je tak sahur. Ok je Ammar.”

“Ish budak ni, pandai betul menjawab.” Gumam Mak Sofiyyah dalam hati.

“Ikut Ammar la. Umi dah ajak sahur. Kalau tak nak bangun, takpe lah. Umi sahur dengan abah je.” Mak Sofiyyah kembali ke dapur meninggalkan Ammar yang kembali menyambung tidurnya.

Lokasi: Sekolah Menengah Agama Barokah, Kuala Kangsar.

Jam dinding di kelas 4 Hanan tepat menunjukkan pukul 12.30 tengahari. Seperti biasa, Cikgu Umayr sentiasa bersemangat mengajar pelajar-pelajarnya subjek kegemaran mereka, matematik tambahan.

Di satu sudut di hujung kelas, kelihatan seorang pelajar yang gigih mengangguk-angguk setiap apa yang diajarkan Cikgu Umayr. Mungkin faham dengan apa yang diajar.

“Siapa yang boleh jawab soalan nombor 5 ni?” Semua pelajar menundukkan muka setiap kali bertentang mata dengan Cikgu Umayr.

Bimbang jika dipanggil. Cikgu Umayr menggeleng-gelengkan kepala melihat gelagat pelajar-pelajarnya. Matanya terhenti kepada Ammar yang masih mengangguk-angguk.

“Ha! Ammar, daripada tadi cikgu tengok awak ni faham je semua. Mesti boleh jawab soalan ni. Senang je ni.”

Ammar masih lagi mengangguk-angguk.

“Ammar, bangun Ammar! Cikgu panggil tu.” Khalid cuba mengejutkan kawannya yang masih belum sedar.

“Ha?!” Mata Ammar terkebil-kebil. Merah padam muka Ammar bila terasa semua mata tertumpu ke arahnya.

Cikgu Umayr tersenyum. “Penat puasa ke Ammar?”

“Hehe. Taklah cikgu. Emm.. sikit la.” Ammar tersipu-sipu.

“Awak sahur tak pagi tadi?”

“Emm… Tak.” Jawab Ammar pendek.

“Oh, yeke.”

“Selama ni selalu je saya tak sahur kalau puasa sunat. Ok je, cikgu. Active macam biasa. Tapi hari ni, entahlah. Badan rasa macam tak best.”

“Ammar tahu tak kenapa sebenarnya kita kena bangun sahur?” soal Cikgu Umayr ingin mencungkil pengetahuan dan kefahaman anak muridnya itu tentang sahur.

“Em… Sebab Nabi pun sahur. Pastu sebab nak bagi cukup tenaga untuk puasa. Betul tak, cikgu?”

Cikgu Umayr mengangguk tanda setuju. “Tahu pun awak sahur tu sunnah Rasulullah. Jadi sangat bagus la kalau kita bangun sahur, kan? Kalau susah sangat nak tolak selimut tu, sekurang-kurangnya minum la seteguk air. Letak kat tepi katil siap-siap. Nak lagi bagus, sekurang-kurangnya makan la kurma.”

“Dan yang paling penting, sahur tu bukan sekadar nak dijadikan sebagai bekalan tenaga untuk kita berpuasa. Tapi kita bangun sahur untuk kita kejar rahsia keberkatan yang Allah letakkan dalam sahur tu sendiri.” Cikgu Umayr memandang sekeliling kelas.

“Keberkatan tu bukan macam matematik. Bukan macam mathematical reasoning yang kita baru belajar ni.If p, then q. If q, then p. Bukannya bermaksud kalau kita bangun sahur, jadi kita akan bertenaga. Dan kalau tengok orang tu lemah je dalam kelas, ha! Sah orang ni tak bangun sahur. Kesan sahur tu tak semestinya macam ni. Tapi…” Cikgu Umayr berhenti seketika.
“Untuk kes Ammar ni, boleh la kalau nak guna formula ni.” Ujar Cikgu Umayr mengusik.

Kawan-kawan yang lain ketawa mendengar gurauan Cikgu Umayr. Ammar menjeling tajam ke arah kawan-kawannya.

“Kita kena ingat. Kita bangun sahur sebab nak dapatkan keberkatan tu. Dan nilai keberkatan tu kita takkan pernah tahu macam mana kiraannya. Berapa kali ganda pahala yang Allah selitkan dalam sahur tu. Keberkatan tu tak ada formula tetap. If p mungkin kita boleh dapat r pahala. Tak pun s, t. Wallahu a’lam. Allah je yang tahu, kan?” sambung Cikgu Umayr.

“Jadi, bila kita dah tahu ganjaran yang banyak macam ni, takkan kita tak nak berlumba-lumba untuk dapatkan sebanyak mungkin keberkatan, sebanyak mungkin pahala yang Allah tengah offer sepanjang bulan Ramadhan ni.”

Ammar tekun mendengar setiap kata-kata Cikgu Umayr. “Cikgu Umayr ni, ajar add math. Tapi bila cakap macam ada gaya ustaz la pulak.” Bisik Ammar dalam hati.

“Ok ke Ammar?”

Ammar tersentak. “Ha? O.. ok cikgu. InsyaAllah esok saya bangun sahur. Seteguk air pun jadi la kan, cikgu?” Cikgu Umayr mengangguk.

“Ok la. Dah habis waktu dah. Kita sambung esok pulak. Jangan lupa siapkan homework yang cikgu bagi tu. Dan Ammar, sahur tau. Jangan tak sahur.” Cikgu Umayr kembali mengingatkan Ammar.

Bersambung…

Daripada Anas r.a, Baginda s.a.w. bersabda: “Bersahurlah kamu. Sesungguhnya dalam sahur itu ada berkat.” (H.R. Bukhari dan Muslim)

Daripada Abu Sa’id al-Khudri, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Makan sahur itu berkat, oleh sebab itu jangan kamu meninggalkannya walaupun salah seorang daripada kamu kemudiannya meneguk seteguk air. Maka sesungguhnya Allah s.w.t. berselawat ke atas orang-orang yang bersahur.”(H.R. Imam Ahmad)

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sebaik-baik makanan sahur orang yang beriman ialah buah tamar.” (H.R. Abu Daud)

http://www.ismaaustralia.com/buyutuna-fi-ramadhan-episod-1-jom-sahur/

Advertisements

Tinggalkan Nota

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s