Buyutuna fi Ramadhan Episod 3 – Quran Hijau Atok

Ammar memandang sepi ke arah sawah padi yang terdampar hijau indah di belakang rumahnya. Kata-kata uminya pagi tadi terngiang-ngiang di telinga.

“Ammar, ada nampak tak Al-Quran hijau yang arwah atok punya? Seingat umi, umi letak atas almari depan tu tahun lepas. Umi cari tadi tak jumpa pulak.”

Ammar yang sedang menonton tv memandang uminya. “Entahlah umi. Ammar rasa macam pernah nampak. Tapi dah lupa la.”

Kehampaan jelas tergambar di wajah uminya. Wajah yang bermain-main di fikiran Ammar saat ini. Ammar tahu kenapa uminya tercari-cari senaskah Al-Quran itu. Naskah Al-Quran yang merupakan hadiah peninggalan yang diberikan oleh arwah atok kepada umi.

Dan tarikh hari ini, 17 Ramadhan 1432 H adalah hari ulangtahun kematian atok yang kelima. Kematian yang menjemput atoknya di saat baru pulang daripada bazaar Ramadhan untuk membawa pulang juadah berbuka puasa. Bila mana kenderaan bersimpang-siur apabila semua berkejar untuk pulang berbuka di rumah, saat itulah sebuah van telah merempuh motorsikal atok dan menyebabkan kepalanya jatuh terhentak ke penjuru jalan raya. Dan atok telah disahkan meninggal dunia saat tiba di Hospital Besar Kuala Kangsar.

Masih jelas terbayang di ingatan Ammar bagaimana wajah kesedihan uminya benar-benar meruntun jiwa. Tapi ketika jenazah arwah tiba di rumah, wajah umi kembali tenang. Hairan dengan perubahan sikap yang tiba-tiba pada umi, Ammar memandang uminya dengan penuh perasaan ingin tahu.

Mungkin tersedar diperhatikan, Mak Sofiyyah berkata lembut.

“Umi nak arwah atok pergi tinggalkan kita dengan tenang. Dah tiba saatnya atok untuk bertemu pemiliknya kembali. Dan tak lama lagi kita pun pasti menyusul. Moga Allah redha dengan atok sebagaimana kita redha dengan pemergiannya.”

Apabila uminya menyebut tentang Al-Quran hijau itu, kenangan bersama arwah atok menyapa di ingatan. Dengan arwah atoklah Ammar belajar mengaji. Memang tak dinafikan bacaan atok sentiasa menusuk ke hati Ammar. Namun dek kerana kenakalannya, Ammar seringkali melarikan diri bila tiba sesi mengaji. Baginya, dia sudah pandai mengaji. Sudah kenal setiap huruf. Kenapa masih perlu berguru?”

Dan setiap kali melarikan diri, pasti arwah atok akan mencarinya walau di mana sekalipun dia berada.

“Hish, pakcik-pakcik ni sibuk la.” Ammar sentiasa berasa geram di hati setiap kali dia tertangkap disebabkan orang-orang kampung yang memberitahu atok di mana dia berada.

Pernah sekali Ammar berkata kepada atoknya, “Atok, Ammar kan dah boleh baca Al-Quran sendiri. Bila Ammar rajin, Ammar bacalah. Tak perlu lah nak baca tiap-tiap hari.”

Atok tersenyum. “Ammar pernah jatuh cinta tak?”

Tiba-tiba Ammar tersipu-sipu malu. “Ish atok ni. Ammar kecik lagi la. Baru 10 tahun.”

Tergelak atoknya melihat muka Ammar yang merah padam.

“Meh atok nak kongsikan sikit perangai orang yang jatuh cinta ni. Kalau kita cintakan seseorang, kita mesti tak sabar-sabar nak jumpa dia selalu, nak cakap dengan dia selalu. Paling kita suka kalau dapat surat cinta daripada si dia. Tak sabar nak baca. Kalau boleh, tiap-tiap hari nak dapat surat baru, sebab nak tahu apa yang cuba disampaikan oleh orang yang kita cinta tu kepada kita. Terkadang tu satu surat tu banyak kali kita baca sampai dah boleh hafal dah isi kandungan surat tu.”

Ammar mendengar dengan penuh minat. Dalam hatinya dia tertanya-tanya, “Kenapa atok ni. Orang cakap pasal Al-Quran. Dia cakap pasal cintan-cintun pulak. Bukan ke salah kalau bercinta sebelum kahwin?”

Atok tersenyum melihat wajah Ammar yang berkerut-kerut. Dia yakin Ammar pasti keliru dengan kata-katanya.

“Ammar sayang Allah tak?”

“Eh, mestilah sayang. Umi kata kita kena sayang Allah sebab Allah pun sayang kita. Betul tak, atok?” bersungguh-sungguh Ammar menjawab pertanyaan atoknya.

Atok mengangguk. “Betul, kita kena sayang Allah. Kita kena cintakan Allah. Tapi Ammar tahu tak apa yang sweetnya cinta Allah berbanding cinta manusia?”

Ammar menggelengkan kepalanya.

Sweetnya Allah tu pada surat cintaNya. Kenapa? Sebab surat cinta Allah tak mengharapkan balasan. Kita tak perlupun tulis apa-apa untuk balas balik surat Dia.”

“Surat cinta Allah?” Ammar bertanya penuh kehairanan.

“Al-Quran itu sendiri. Itulah kalam Allah. Itulah ayat-ayat cinta Allah. Buat hamba-hamba yang disayangiNya. Jadi, bila kita dah dapat surat cinta daripada Allah, takkan kita nak biarkan macam tu je. Padahal kita kata kita sayang Allah. Jadi, mestilah kita nak baca surat tu tiap-tiap hari. Kalau nak tunjukkan betapa kita suka kepada surat Allah ni, kita hafal sekali. Dan kita baca tafsirnya jugak supaya kita faham apa yang Allah nak beritahu pada kita. Paling sweetnya surat cinta Allah ni bila mana Allah dah terangkan apa natijahnya kalau kita ikut langkah-langkah yang Allah dah sediakan dalam surat tu.”

Tekun Ammar mendengar setiap penjelasan atoknya.

“Kalau kita ikut isi kandungan surat tu, akhirnya dapatlah kita bertemu dengan Allah yang kita cintai. Tapi kalau kita tak nak ikut, maknanya kita tak cukup membuktikan yang kita cinta pada Allah. Allah pun tak nak la jumpa kita jugak.”

Ammar mengangguk tanda faham. “Oh, macam tu ye atok. Jadi, kalau Ammar sayang kat Allah, tiap-tiap hari la Ammar kena baca ayat-ayat Allah, kan? Kalau tak, nanti Allah tak nak jumpa Ammar.”

Atok tersenyum lagi, “Betul tu. Lagi-lagi bulan Ramadhan ni. Berganda-ganda pahala yang Allah sediakan kalau tiap-tiap hari kita baca Al-Quran. Satu lagi, hari ni 17 Ramadhan kan, Ammar. Hari ni la tarikh bila mana Al-Quran diturunkan kepada Rasulullah di Gua Hira’.

Ayat cinta pertama Allah kepada hambaNya. Dan Ammar mesti tahu kan apa ayat pertama tu.” Atok bertanya.

“Iqra’ kan, atok?”

Atok mengiakan jawapan Ammar. “Betul. Iqra’ bermakna bacalah.

Kalau kita fahami betul-betul ayat ni, langkah pertama untuk buktikan cinta kita pada Allah adalah dengan membaca. Tapi baca apa?
Bacalah Al-Quran itu sendiri. Sebagai panduan untuk kita sampai kepada Allah….”

Dan setahun selepas itu, atok dijemput Ilahi, kekasih yang selama ini dirinduinya.

Bunyi bising kanak-kanak yang bermain di bendang sawah mengejutkan Ammar daripada lamunan. Ada setitis air mata mengalir di pipi.

“Ah, rindunya arwah atok.”

Ammar segera masuk ke rumahnya. Uminya telah keluar ke rumah jiran sementara abah masih belum pulang daripada tempat kerja. Ammar ingin mencari Al-Quran itu. Sejak kematian atok, dia telah berjanji pada dirinya untuk memastikan uminya tidak lagi bersedih. Wajah kesedihan umi yang benar-benar meruntun hati.

Di sebalik buku teks sekolah rendahnya, Ammar terlihat kelibat sebuah buku berwarna hijau. Naluri hatinya amat yakin, itulah yang dicari umi.

“Wudhuk dah ada ni. Bolehlah pegang.” Ammar mencapai kitab itu. Dia mengelap debu-debu yang membalutinya. Dan Ammar letakkan Al-Quran itu di atas meja di ruang tamu. Dia tersenyum puas.

“Umi, inilah kitab cinta yang umi cari. Moga umi tak bersedih lagi.” Bisik Ammar dalam hati.

Bersambung…

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia. Yang mengajar (manusia) dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Al-Alaq: 1-5)

Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.” (Al-Baqarah: 2)

dan agar aku membacakan Al-Quran (kepada manusia). Maka barangsiapa mendapat petunjuk maka sesungguhnya dia mendapat petunjuk untuk (kebaikan) dirinya…” (An-Naml: 92)

Titisan Tinta: ISMA Australia

Advertisements

Tinggalkan Nota

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s