11.10.11- Dalam Cinta Sempurna

Pesanan: Sila mulakan pembacaan dengan menonton video di bawah.

Kisah 1:

Aku lihat anak kecil itu melompat ke sana sini di hadapan gerai lemang yang berderetan di Kijal, Terengganu sambil memanggil-manggil pemandu dan penumpang kenderaan yang berhenti di depan gerai. Walaupun dia berlarian di hadapan gerai lain yang bukan miliknya, pemilik gerai cuma tersenyum. Pelik dengan gelagat anak kecil yang terlalu aktif itu, aku sekadar menggeleng-gelengkan kepala.

Abah menuju ke salah sebuah gerai dan anak kecil itu mendekati. Melihatnya kukira usianya sekitar 8 atau 9 tahun. Rupanya gerai itu milik kakaknya. Sambil kakaknya menyediakan pesanan abah, dia turut sibuk untuk menolong walaupun dihalang kakaknya. Tiba-tiba aku sedar bahawa dia seperti bercakap sendirian dengan kata-kata yang agak sukar untuk aku fahami. Dan tanpa menghabiskan kerjanya, dia ke bahagian belakang gerai dan kelihatan seperti sedang mencari sesuatu sambil mulutnya masih berbicara sendiri.

Mungkin tersedar aku memerhatikan adiknya, kakak itu tersenyum dan berkata, “dia memang macam tu. Dia sakit sebenarnya. Penyakit budak-budak aktif sangat tu. Bila ok, ok lah. Bila dah datang penyakitnya, mulalah.” Aku tersentak kerana faham apa yang dimaksudkan kakaknya. Attention deficit hyperactive disorder (ADHD). Abah mengangguk sambil bertanya, “pergi sekolah?” mungkin kerana melihat si anak kecil yang masih berpakaian sekolah yang lusuh.

“Pergi. Tapi macam tu la.” jawab kakak itu sambil tersenyum lagi. Bila si anak kecil kembali ke depan, abah hulurkan RM1. Pada awalnya dia hanya terkebil-kebil memandang huluran abah. Selepas sejenak, dia menyambut huluran abah sambil tersenyum malu.

Kisah 2:

Kira-kira pukul 9 pagi, Chemist Warehouse Torrensville, Adelaide itu masih lagi lengang tanpa pembeli yang kebiasaannya penuh. Ini merupakan minggu terakhir aku bekerja di sini sekaligus tamatlah placementku yang telah diwajibkan oleh pihak UniSA. Tapi masih ada beberapa tugasan yang perlu aku siapkan sebelum menghantar practical book kepada lecturer. Salah satu tugasan yang masih belum selesai adalah menyiapkan Diabetes Management Evaluation Tool (DMERT) untuk pesakit yang menghidap kencing manis. Dan misiku pada hari itu adalah untuk menginterview pesakit tersebut.

Untuk menunggu preceptor yang memilih pesakit, pasti akan memakan masa. Jadi, dengan melihat pada preskripsi yang masuk, terus aku kenal pasti pesakit yang mengidap diabetes. Aku meminta izin daripada pakcik tersebut untuk bertanya beberapa soalan. Dengan senyuman, dia bersetuju untuk meluangkan masa.

Dalam bertanyakan soalan untuk memenuhkan ruangan DMERT, pakcik tersebut bercerita tentang kisah hidupnya. Dia datang untuk mengambil preskripsi untuk dia dan isterinya yang sudah tidak dapat berjalan. Bilaku lihat pada preskripsi milik isterinya, tahulah aku bahawa isterinya menghidap barah. “We’ve been married for more than 30 years. And I love her so much that I want to take care of her until the end of her life,” ucap pakcik tersebut yang memiliki tangan tanpa bilangan dan keadaan jari yang sempurna. Bila dia pulang, aku diberitahu bahawa tangannya itu sebegitu akibat terlibat dalam kemalangan beberapa tahun lepas.

Kisah 3:

Pada usia 7 tahun, dia telah disahkan menghidap penyakit mata yang akhirnya menyebabkan kedua-dua belah matanya buta. Dan mulai pada saat itu, dia telah menjalani kehidupan ini dengan menggunakan pandangan mata hati. Walaupun dalam kekurangan itu, Allah telah mengurniakan kelebihan lain kepadanya. Dengan menggunakan tongkat yang sama sebagai penunjuk arah, dia telah diajak beberapa rakan untuk bermain gendang dan kompang di majlis-majlis tertentu. Dalam kekurangan itu, dialah yang dulunya diberikan kepercayaan oleh orang-orang kampung untuk menjadi bilal di masjid pada waktu-waktu tertentu.

Dalam usia yang menginjak kepada angka 60-an, dialah bapa saudara aku yang tak pernah melupakan suaraku walaupun tak pernah melihat aku. Teringat kenangan pada masa kecilku di rumah nenek. Bila aku datang, dia akan meraba-raba tabung di bawah katilnya dan menghulurkanku syiling RM1. Pada waktu itu, nilai RM1 sangat besar untuk aku. Belanja sekolah untuk dua hari. Kurniaan Allah yang memberikannya ingatan yang kuat, dia ingat tika mana aku menyambungkan pelajaran ke luar negara. Dan bila pulang, dia masih boleh mengecam suara aku yang menyapanya.

Kisah kita:

“Kau ni cantiklah” atau “tengok dia tu, perasan cantiklah” atau “dia tu tak sedar, diri tu hodoh, ada hati nak…” atau “tak apalah tak cantik pun, asalkan hati baik”

Manusia yang hidup dengan mencari-cari kesempurnaan. Ramai yang menjadikan diri sendiri sebagai pengkritik hebat setiap ciptaan Tuhan. Menilai siapa yang cantik, siapa yang hodoh, siapa yang kacak, siapa yang buruk, apa yang lebih, apa yang kurang. Meletakkan penilaian di atas neraca dunia semata-mata.

“… dan Dialah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu (menentukan keadaan makhluk itu) dengan ketentuan takdir yang sempurna” (Al-Furqan:2)

Bukankah Allah telah menciptakan manusia sebagai makhluk yang paling sempurna? Sempurna dalam keadaan yang berbeza-beza. Bukan bermakna gelapnya dia, dia hodoh. Bukan bermakna matanya sepet, dia buruk. Sempurna pada pandangan Pencipta dalam penciptaanNya yang berbeza untuk menunjukkan kekuasaanNya.

Nilaian pada sisi Allah hanyalah taqwa semata-mata.

Kita hanyalah hamba yang hina. Apa hak kita untuk menyombongkan diri dengan kelebihan fizikal kurniaan Tuhan. Menunjuk-nunjuk kepada manusia lain bagaikan kecantikkan ini adalah milik kita yang abadi. Dan apa hak kita untuk memperlekehkan orang lain dan juga diri sendiri akan setiap ketetapan takdir Ilahi yang memberikan kekurangan kepada kita daripada segi fizikal.

Susahnya manusia untuk menanamkan perasaan syukur ke dalam diri. Yang cantik, lebih besar tuntutan syukur yang Allah tetapkan untuk kita. Renung kembali pada diri-sendiri. Adakah setiap kali bangun pagi, kita ucapkan syukur pada Ilahi yang masih kekalkan kita dalam keadaan yang sedia ada? Pernah bersyukurkah kita dengan nikmat yang masih belum ditarik oleh Allah walau sedikitpun. Syukur tidak diuji dengan ujian kelumpuhan, ujian kecacatan, ujian dikhianat orang dengan simbahan asid, ujian kemalangan, yang mana tak akan sesekali kita mampu untuk menghalang ia terjadi jika sudah ditetapkan dalam lembaran catatan Tuhan.

Yang diberikan sedikit nikmat pada fizikal, syukurlah dengan apa yang sedia ada tanpa sedikitpun tercalit perasaan di hati akan kesedihan akibat kekurangan yang diberi. Bukankah kita di kalangan orang-orang yang beruntung? Yang tidak diuji Allah dengan kecantikkan dunia? Supaya kita tak tercampak ke dalam golongan orang-orang yang berbangga dengan kelebihan yang sementara ini. Dan bersabarlah dengan ujian ini. Bukankah janji Allah akan sentiasa bersama orang-orang yang sabar?

Buanglah perasaan berbangga, buanglah sikap menunjuk-nunjuk. Buanglah perangai memperlekeh-lekeh orang lain.

Berhentilah bertanya-tanya kepada Tuhan, “kenapa jadikan aku begini dan begitu.” Sedangkan nikmat Allah itu tak pernah mampu kita hitung. Nikmat yang Allah berikan bermula daripada kita lahir ke dunia sehingga kini. Nikmat udara, nikmat air, nikmat makanan, nikmat keluarga, nikmat kawan-kawan, nikmat kesihatan dan banyak lagi. Dan nikmat terbesar adalah Islam itu sendiri.

Belajarlah apa itu erti syukur: Rasulullah s.a.w bersabda,

“Pandanglah orang-orang yang lebih rendah daripada kamu dan janganlah memandang orang-orang yang lebih tinggi daripada kamu kerana ia lebih baik dari kamu untuk menjadikan kamu tidak memperkecil-kecilkan nikmat Allah yang telah dianugerahkanNya kepada kamu” (Riwayat Muslim)

~Carilah kesempurnaan yang menyempurnakan~

Mencintai aku dengan seadanya

Mencintai aku bukan kerna rupa

Dalam waktu sedu

Dalam waktu hiba

Ku harapkan dia rela

Mencintai aku dengan seadanya

Sanggup menerima insan tak sempurna

Atau mungkin cinta sebegitu hanya

Kisah dongeng saja

Advertisements

Tinggalkan Nota

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s