Swot Vac: Minggu Persediaan atau Minggu Macam-macam?

1 September 2011, Adelaide.

Aiman terjaga daripada lena. Jam loceng di tepi katil menunjukkan pukul 4 pagi. Aiman bergegas bangun dan menuju ke bilik air untuk membersihkan diri, mengambil wudhuk dan sujud menemui Rabbul ‘alamin di dinihari. Di saat unggas-unggas masih belum bangkit untuk memulakan kitaran hidup di siang hari.

Setelah selesai solat Subuh dan membaca Mathurat, seperti biasa perkara pertama yang dilakukan adalah membuka internet dan membaca berita-berita online untuk mengetahui isu-isu semasa yang berlaku di segenap ceruk dunia. Aiman menggeleng-gelengkan kepala melihat pelbagai jenayah yang berleluasa yang terkadang melampaui imaginasinya sebagai manusia. “Takde perasaan ke diorang ni?” keluh Aiman bersendirian.

Melihat timetable yang ditampal di dinding, kelasnya pada hari ini agak padat dan hanya tamat pada pukul 5 petang. Itupun, dia masih ada group discussion dengan beberapa orang teman sekelasnya dan juga dia perlu mencari masa untuk mengumpul bahan dan maklumat yang diperlukan bagi menyiapkan assignment.  Terasa penuh sekali jadual kehidupannya.

Tiba-tiba Aiman teringat, “Alamak! Lupa pulak. Abang Khalid suruh prepare bahan untuk usrah esok. Sempat ke ni?” Terfikir di hati untuk menelefon abang Khalid dan menyatakan tentang kesibukkannya. Tetapi bila dipandangnya kembali kepada jadual, ada kekosongan waktu selama 2 jam antara pukul 12 tengahari sehingga pukul 2 petang.

“Em.. sempat la prepare time ni. Lagipun aku puasa. Takde lah terkejar-kejar nak makan ke apa. Nak mencari ilmu duniawi, kena seimbangkan jugak dengan ilmu ukhrawi,” Aiman bermonolog sendirian sambil mengingatkan dirinya sendiri supaya tidak larut dengan mengejar kejayaan dunia semata-mata.

30 Oktober 2011

Tak sedar masa berlalu begitu pantas. Akhirnya hanya seminggu sahaja tempoh yang tinggal sebelum Aiman menduduki kertas pertama final exam untuk tahun pertama pengajiannya. Oleh sebab terasa banyak lagi pelajaran yang belum di cover sepenuhnya, Aiman bercadang untuk stay up bagi mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan assignment terakhir untuk semester ini yang perlu dihantar selewat-lewatnya esok. Teman serumahnya tidak pulang kerana menyiapkan kerja di universiti.

Pada awalnya, Aiman ingin menunggu waktu Subuh sebelum melelapkan mata sebentar setelah siap menaip baki assignmentnya kerana jam pada waktu itu sudah menunjukkan pukul 4 pagi. Namun, disebabkan kepenatan kerana sudah 3 hari berturut-turut berjaga malam, Aiman tertidur di atas meja. Dia hanya tersedar apabila dikejutkan dengan deringan telefon Abang Khalid yang ingin bertemunya hari ini.

“Hah! Dah pukul 6.30!” terus Aiman bingkas bangun ke bilik air sedangkan sudah melebihi waktu syuruk.

Jam sudah menunjukkan pukul 1 petang. Telah masuk waktu Zohor, namun kelihatan Aiman tetap tekun mengulangkaji di mejanya tanpa berganjak sedikitpun. “Kejaplah, kejap je lagi. Nak habiskan lecture note yang ni.” seakan-akan syaitan berbisik di telinga Aiman dan diiakan oleh kata hati Aiman sendiri. Kebiasaannya, Aiman memang selalu bersiap awal untuk waktu solat dan tidak bertangguh-tangguh dalam mengerjakannya. Namun, adakah disebabkan peperiksaan yang makin dekat, “rutin” kebiasaan menjadi “rutin” yang di”asing”kan?

Refleksi Diri: Kisah Aiman dan Kisah Kita

Sekadar sebuah kisah untuk muhasabah diri berdasarkan pengalaman dan pemerhatian peribadi. Apabila tiba diambang peperiksaan, terasa semua serba tak kena. Adrenalin yang dirembes-rembes menambahkan debaran, stok kopi yang disimpan untuk membantu menahan mata supaya sentiasa terang, bekalan coklat atau snack ringan di tepi meja study untuk mengisi perut yang mungkin meminta-minta untuk diisi akibat daripada penggunaan tenaga yang SEDIKIT berlebihan ketika waktu study, dan tak lupa bermulalah era ber”kabung” setiap pelajar. Ada yang menyendiri di library, ada yang mula mencari rakan-rakan untuk group discussion, dan tak lupa yang mempacking kain baju dan ber”pindah” ke rumah rakan lain buat sementara waktu bermula dari minggu Swot Vac sehingga tamat kertas terakhir dengan alasan akan lebih bermotivasi apabila mengulangkaji di rumah orang lain.

Terkadang apabila melihat kerenah yang pelbagai ini membuatkan saya menyedari betapa besarnya impak “Minggu Persediaan” kepada “kehidupan normal” kita. Paling kronik sehinggakan katil, rumah dan makan minum sendiri kurang terjaga semata-mata ingin menggunakan setiap waktu yang ada untuk mengulangkaji. Hebatnya semangat jihad masing-masing untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi peperiksaan akhir semester. Setiap rutin kebiasaan yang mampu dilakukan pada hari-hari lain telah bertukar menjadi luar biasa apabila tiba minggu Swot Vac.

Zero to Hero atau Hero to Zero?

Adakah pertukaran rutin kehidupan biasa kepada keadaan luar biasa ini menunjukkan kita telah selangkah bergerak dari zero kepada hero? Sekilas pandang, sangat hebat mujahadah yang kita lakukan sehingga mampu memperuntukkan sepenuhnya setiap saat waktu yang ada untuk menuntut ilmu. Dan hebatnya mujahadah kita dalam memastikan bekalan bagi menghadapi “peperangan ijazah” telah lengkap secukupnya.

Paling saya “tabik spring” pada sesetengah daripada kita yang “mampu” untuk men”deactivate” facebook dan menghentikan tabiat chatting dalam tempoh mujahadah ini dengan alasan ingin mengurangkan menghadap perkara-perkara lagha. (Alangkah baiknya jika kesedaran ini timbul dalam rutin kehidupan biasa kita. Bukan hanya ketika kita bertukar menjadi “luar biasa”).

Namun dalam mengatur perjalanan untuk melengkapkan transformation Zero kepada Hero, tanpa kita sedar ada antara langkahan kita yang tersilap dan terpijak lopak-lopak air dan lubang di pertengahan jalan yang mungkin menghentikan atau membantutkan transformation kita yang akhirnya membawa kepada pengakhiran Hero kepada Zero. Ini akan terjadi apabila usaha untuk mengumpul bekalan bagi “peperangan ijazah” tidak selari dengan usaha bagi melengkapkan bekalan menghadapi “peperangan memberatkan timbangan amal”.

Ramai daripada kita yang terlupa betapa besarnya peluang yang telah diberikan oleh Rabbul ‘alamin bagi kita para pelajar di mana bekalan untuk “peperiksaan ijazah” ini secara langsung akan menambahkan bekalan bagi memberatkan timbangan amal.

Muhasabah diri. Apabila tiba minggu Swot Vac, ramai yang memilih untuk stay up sehingga awal pagi. Bukanlah satu kesalahan kerana setiap daripada kita punya cara mengulangkaji tersendiri, dan waktu mengulangkaji yang berbeza-beza. Namun apa yang menjadi kesalahan adalah apabila sikap bermujahadah dalam peperiksaan dunia ini menyebabkan berkurangnya mujahadah dalam menghadapi peperiksaan akhirat.

Subuh yang kadangkala terlambat atau terlepas, qiam yang berkurang kerana terlalu penat mengulangkaji, solat yang mula dilambat-lambatkan untuk menghabiskan bab yang sedang dibaca, bacaan Quran yang makin pendek kerana ingin memperuntukkan waktu seoptima yang mungkin untuk study dan yang paling terkesan pada saya adalah apabila virus-virus ukhuwwah yang menyelit perlahan-lahan. Contoh paling mudah, giliran masak yang memang menjadi rutin kebiasaan yang jarang ada halangannya, tiba-tiba apabila kehidupan “luar biasa” bermula, ramai yang mula melupakan tanggungjawab masing-masing. Menggunakan alasan sibuk study untuk lari daripada rutin ini. Sedangkan apabila tiba Swot Vac  dan dalam tempoh exam, program-program tarbiyyah telah dihentikan buat sementara waktu untuk memberi laluan kepada kita untuk menumpukan sepenuhnya mujahadah kepada ijazah. Dan ukhuwwah sebenarnya adalah salah satu bekalan dan tolakan kuat untuk membantu kita memastikan iman sentiasa berada dalam keadaan “segar”.

Sementara ada kesempatan waktu, kita nilai kembali sikap kita sebelum ini apabila tiba Swot Vac. Adakah kita sedang mempersiapkan diri untuk transform sepenuhnya daripada Zero kepada Hero atau mujahadah yang makin kelam dengan produk terakhir, Hero kepada Zero.

Biasa mendengar pesanan untuk mengikat tali unta sekuatnya sebelum exam, tapi ikatan yang dipesan Rasulullah bukanlah sekadar untuk mencukupkan syarat. Tapi ikatan yang hendak dilakukan perlulah seteliti mungkin. Check sama ada tali yang diikat itu masih baik dan tidak rosak atau putus di mana-mana dan ikatan yang disimpulkan perlulah dengan bersungguh-sungguh dan cukup kemas sebelum kita yakin untuk meninggalkannya di luar. Dan yang pasti, unta yang ingin kita tinggalkan di luar bukanlah sekadar unta biasa tetapi seekor unta merah kepunyaan Hero. Seterusnya, bismillahi tawakkal tu ‘alAllah.

Dalam riwayat Imam Al-Qudha’i disebutkan:


“Ertinya : Amr bin Umayah Radhiyallahu ‘anhu berkata, ‘Aku bertanya, ‘Wahai Rasulullah !!, Apakah aku ikat dahulu unta (tunggangan) ku lalu aku bertawakkal kepada Allah, atau aku lepaskan begitu saja lalu aku bertawakkal ? ‘Beliau menjawab, ‘Ikatlah kenderaan (unta) mu lalu bertawakkallah”. (Musnad Asy-Syihab, Qayyidha wa Tawakkal, no. 633, 1/368)

Keterangan: Dalam berusaha mengikat tali, bukanlah kita bergantung harap kepada tali tersebut semata-mata. Untuk memastikan unta tidak lari bukan kerana kemasnya ikatan kita. Semuanya disandarkan kembali kepada Allah. Namun syaratnya, kita perlu usaha.

Konsep rezeki yang Allah bentangkan buat kita cukup sempurna, sepatutnya kita tidak perlu risau lagi andai kita betul-betul mengikut apa yang telah Allah gariskan. Selamat berusaha sambil bertawakkal.

Advertisements

2 comments on “Swot Vac: Minggu Persediaan atau Minggu Macam-macam?

Tinggalkan Nota

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s