29 Tahun Menyemai Cinta

30 November 1982

Tanggal yang sama 29 tahun lalu menjadi saksi lafaz sebuah ikatan perjanjian yang kuat. Yang cukup utuh.

Dan kemudiannya, bahtera rumahtangga itu memulakan pelayarannya. Dianugerahkan 4 cahaya mata sebagai hadiah dari Tuhan, yang satu lagi diambil kembali oleh Dia, menunggu di sana tanpa sempat melihat dunia. Mungkin kita akan bertemu  suatu hari nanti, dik jika diizinkan Allah.

Hari demi hari yang berlalu, cahaya mata yang makin membesar mengenali dunia, makin bertambah kerenahnya, dan suami isteri itu sekarang memikul tanggungjawab seterusnya, menjadi ma dan abah.

Episod kenakalan anak-anak yang pelbagai ragam pasti mencabar kedua jiwa itu. Namun tetap sabar melayan, kerana mengenang janji mereka kepada Tuhan.

Ada yang memecahkan cermin almari tanpa sengaja hanya kerana ingin menunjukkan aksi “summersout”nya, ada yang sakit sejak kecil sehingga dewasa dan ditunggu ma dan abah berhari-hari di hospital, ada yang menconteng sofa rumah dek marahkan ibunya, ada yang sentiasa menelefon untuk pulang ke rumah setiap minggu walaupun berasrama penuh, ada yang menangis selepas pulang dari klinik atas satu sebab fitrah seorang lelaki, ada yang setiap masa menelefon ma dan abah untuk bertukar dari mengajar di Sabah, ada yang merajuk ke luar rumah disebabkan berebut ingin menonton cerita “Suria Baju Hitam” sementara ma ingin menonton drama kegemaran dan tertidur di garaj menunggu kepulangan abah yang pergi mengambil abang dan kakak di sekolah fardu ain, ada yang mengadu kepada kakak kerana tidak setuju dengan pilihan ma dan abah tentang bidang pengajian.

Kali ini mari kita imbas kembali kehidupan yang lalu:

– Kita perlukan pertolongan, kita cari ma dan abah.

– Kita rasa kesusahan, kita cari ma dan abah.

– Kita kesakitan, kita dibimbangi ma dan abah.

– Kita berbuat silap, dimarahi ma dan abah.

Bila ma dan abah marah, adakah maksudnya ma dan abah membenci? Bila seorang ayah bermasam muka, bukan bermakna tak menyenangi anak-anaknya, tapi kerana bimbang dan mengambil berat tentang kehidupan anaknya, tentang kejayaan anaknya. Bila seorang ibu berleter, adakah kerana putus asa dengan anaknya? Tidak, bahkan itulah kasih sayang seorang ibu. Yang terlalu banyak berfikir tentang anaknya.

Dan kita, sebanyak mana yang sudah kita lakukan buat ma dan abah yang tidak seperti sesetengah ibubapa yang lain. Pernah dijentikkah kita? TIDAK. Pernah dipukulkah kita? TIDAK. Pernahkah dibiarkan masalah yang kita hadapi ditanggung sendiri? TIDAK.

Bila ibubapa yang lebih menjaga hati. Sedangkan anak-anak terkadang lupa diri.

Kali ini mari kita mula belajar erti sebenar sebuah kesyukuran. Dipilih oleh Allah untuk menjadi anak-anak bagi sebuah pasangan yang cukup banyak diuji Tuhan. Tarbiyyah awal dari kecil sehingga dewasa, untuk mempersiapkan kita bagi menjadi seseorang.

Syukur dilahirkan dalam sebuah keluarga penuh kesederhanaan. Dilahirkan dalam suasana kampung untuk kita kenal apa ertinya hidup susah tapi membahagiakan. Dilahirkan dalam keadaan yang awalnya serba kekurangan tapi diajar tentang erti usaha yang akhirnya membawa kejayaan. Diajar untuk tidak hidup bermewah-mewahan supaya hati kita tidak terikat kepada harta keduniaan.

Mungkin kita pernah lupa. Jadi mari kita ingat kembali.

Berapa ramai yang pernah merasa mandi disubuh hari dengan air perigi? Sejuk! Saat yang paling menggembirakan adalah bila tiada air dan dapat mandi di sungai walaupun sejuk. Sedangkan orang lain senang merasa dingin dengan hot shower. Berapa ramai pernah merasa makan jagung yang dipetik sendiri di kebun, dibakar dan dimakan beramai-ramai bersama saudara mara pada pagi yang panas tapi cukup mendamaikan, sedangkan yang lain kecil-kecil sudah diajar pizza, kfc. spaggeti, etc. Tak perlu usaha, hanya perlukan duit. Berapa ramai yang dapat merasa berpicnic sambil bermain buaian semulajadi pohon (tak ingat nama pokok besar tu apa) sementara menunggu ibubapa yang sedang berkebun. Terkadang ada tangan yang turut sama ingin mencabut ranting tetapi ditegah abah lantaran takut terluka. Sedangkan yang lain dibawa shopping ke mall-mall besar, diberi permainan yang mahal-mahal.

Itu kisah dahulu. Itulah kisah kehidupan kampung.

Syukur tidak dilahirkan dengan hidup terlalu mewah, supaya hati tidak terikat pada dunia, supaya hati sensitif dengan kesusahan yang lain, kerana kita pernah merasa. Tapi, mungkinkah sekarang kita terlupa.

Kalau terlupa, mari kita ingatkan diri kembali. Ingatkan diri untuk SENTIASA menyayangi ma dan abah. Marah mereka kerana sayang. Leteran mereka kerana bimbang.

Kalau dulu kita hanya menerima, kali ini biar kita pula yang memberi. Memberi kegembiraan kepada ma dan abah setulus hati. Memberi kebahagian kepada dua jiwa yang makin menginjak usia selagi mana mereka disisi.

Dan paling utama, biarlah kita yang menjadi asbab dan mampu menghulurkan tangan kepada mereka pada suatu ketika nanti sambil berkata, ” Ma, abah. Jom ke syurga!”

Kali ini ku ucapkan, “Selamat Hari Ulangtahun Perkahwinan ke-29 tahun buat ma dan abah. Yu sayang ma dan abah!”

Sepak Takraw dan Wanita

Sukan SEA sedang rancak berlangsung di arena masing-masing. Dan ahli rumah tak terkecuali untuk menghadap di depan televisyen lebih-lebih lagi bila tiba acara perlawanan bola sepak. Gegak gempita memberi sokongan kepada pasukan Harimau Muda. Tapi adat penyokong; main ok, sorak sekampung, main ko, berterabur kritikan. Benarlah kita pengkritik terhebat.

Saya memang peminat sukan, cuma terasa dah lama meninggalkan alam “kelab penyokong” atas sebab-sebab tertentu. Dah 3  tahun barangkali. Ada perkara lain yang perlukan perhatian yang lebih berbanding menunggu update laporan harian sukan-sukan sebegini. Tapi kali ini kerana menjaga si kecil di depan TV, sesekali menonton juga sorotan semasa. Jiwa “kelab penyokong” masih ada rupanya.

Dalam banyak-banyak sukan yang dipertandingkan dalam Sukan SEA ini, tiba-tiba diimbasnya satu jenis sukan yang membuatkan saya tersentak. Sepak takraw. Bukanlah sukan yang asing di Malaysia. Malahan seakan tradisi Melayu. Terasa suasana kampungnya. Tapi kali ini maaf, hati saya kurang senang, dan kurang berkenan. Kerana ia adalah sepak takraw yang dimainkan oleh perempuan. Sepak Takraw Wanita.

“Isk, tengok. Yang main pun dah macam lelaki dah,” ucap salah seorang ahli keluarga.

Saya tiada hak untuk menghakimi sesiapa. Saya bukan teman mereka, dan memang langsung tak mengenali mereka secara dekat. Tapi satu perkara yang saya tahu tentang mereka. Mereka adalah wanita.

Secara lumrahnya, setiap wanita memang dilahirkan dengan karakter yang berbeza-beza. Ada yang totally lemah lembut, ada yang sedikit kasarnya, ada yang separuh-separuh. Tapi, walau bagaimana “kasar”nya seorang wanita itu, sifat kelembutan seseorang yang dilabelkan sebagai wanita PASTI masih ada dalam diri.

Mungkin ada yang melabelkan saya sebagai seorang yang kolot dengan peredaran semasa. Dengan mengatakan para wanita zaman kini sudah maju. Yang sudah sampai setaraf dengan lelaki. Benar, saya setuju dengan perkembangan ini lebih-lebih lagi dalam jawatan kepimpinan pun sudah ramai yang dipegang wanita menunjukkan wanita sudah menjadi semakin hebat seperti lelaki. Namun, tak perlulah menjadi “lelaki”.

Menjadi seorang wanita. Adakah kita tidak berbangga dengan fitrah ciptaan Tuhan yang menghiaskan kita dengan sifat-sifat penuh kelembutan? Wanita adalah perhiasan dunia, jika mampu menjadikan diri menjadi wanita solehah. Mana mungkin perhiasan yang digemari berwarna hitam, kelabu, dan gelap. Pasti perhiasan yang menarik hati berwarna terang, cerah dan lembut (Ini bukan merujuk kepada warna pakaian yang dipakai, ye). Dan kelembutan yang cuba dihiaskan dalam diri seorang wanita ini bukanlah untuk menarik perhatian lelaki bermata keranjang melainkan semata-mata ingin menarik perhatian satu-satunya Tuhan yang menciptakan.

Kelembutan seorang wanita bukan menunjukkan bahawa dia lemah. Kelembutan seorang wanita sebenarnya adalah aset yang amat berharga buat ummah. Aset yang bermakna jika ia datang dengan ketegasan yang utuh. Bagi yang belum mendirikan rumah tangga, kita adalah bakal ibu kepada anak-anak yang diharapkan untuk menjadi generasi Quran. Anak-anak yang perlu dilentur dengan kelembutan dalam ketegasan. Jika sifat kelembutan itu sengaja dihilangkan, percayalah ia bakal menyakitkan diri anak-anak yang dibesarkan. Yang benar-benar dahagakan kasih sayang seorang wanita bergelar ibu apabila si kecil hanya mempunyai “dua orang ayah” di sisi.

Bukankah dengan kelembutan seorang wanita bernama Asiah lah yang mampu melenturkan dan mencairkan hati sekeras dan sekejam Firaun untuk mengambil dan membela Nabi Musa as di dalam istananya sendiri? Jika tanpa pujuk rayu Asiah, kita mungkin kehilangan pewaris agama Tauhid ini. Tapi, ketentuan Allah adalah sebaik-baik takdir.

Dari mana datangnya pengaruh kelelakian dalam diri seorang wanita? Tak perlu mencari puncanya jauh-jauh. Kita kembali kepada langkah awal ancaman tentera-tentera kuffar dalam misi menjatuhkan Islam. Serangan pemikiran- 5S. Sex, smoke, song, sport, screen. Antara contoh terawal yang saya katakan,

SPORT: Memperkenalkan sepak takraw sebagai satu permainan wanita. Mendidik wanita menjadi seperti lelaki.

SMOKE: Sekarang iklan di TV hanya memaparkan kesan-kesan buruk merokok (Cayalah! Saya memang TAK suka orang merokok! Lebih-lebih lagi yang bergelar wanita! Tak sesuai la kak!) tapi dalam drama-drama dan filem, adegan wanita merokok masih wujud (Nak tunjuk macho tak bertempat la, sis!)

SONG: Tak perlu cakap, fikir sendiri. Menyalahkan lelaki dan mencari hak kesamarataan. Atau merasakan diri lebih baik (Sebenarnya saya pun dah lama tak dengar lagu-lagu “luar takungan”. Jadi, dah tak tahu update hiburan terkini).

Sekadar gambar hiasan. Saya pun tak tahu ceritanya tentang apa.

SCREEN: Media-media yang memaparkan gaya hidup tomboy, pengkid. Ayat-ayat orang filem yang hanya mahukan keuntungan dengan mengatakan cerita hanyalah untuk memberi pengajaran kepada golongan ini namun kesan disebaliknya adalah memaparkan kehidupan tomboy dan pengkid yang akan diikuti oleh masyarakat, iaitu wanita yang belum kuat jati dirinya.

Feminisme, perjuangan hak-hak wanita yang dilaung-laungkan. Untuk menaikkan taraf wanita sama level dengan lelaki.

Bukankah setiap wanita dilahirkan dari tulang rusuk seorang lelaki? Bagaimana kita yang hanya datang dari BAHAGIAN seorang lelaki ingin menjadi lebih hebat daripadanya?

Tuhan menciptakan kita sebegini dengan satu sebab yang sangat indah. Bukan ingin meremeh-remehkan atau meletakkan wanita di bawah. Tuhan meletakkan kita di SISI seorang lelaki.

Tercipta engkau dari rusuk lelaki
Bukan dari kaki untuk dialasi
Bukan dari kepala untuk dijunjung
Tapi dekat di bahu untuk dilindung
Dekat jua di hati untuk dikasihi

Bagi saya, saya bangga dengan penciptaan seorang wanita BUAT seorang lelaki. Bangga untuk menjadi peneman hidup DISAMPING seorang lelaki, bukan dinombor duakan selepas seorang lelaki. Bangga untuk DILINDUNGI seorang lelaki, bukan memijak di atas seorang lelaki. Bangga untuk menjadi PENYEJUK MATA seorang lelaki, bukan pencetus amarah seorang lelaki.

~Kerana aku dari tulang rusuknya~

Hanya Seorang Ayah

“Ayah! Cepatlah! Thariq dah lambat nak pergi sekolah ni!” Masam mencuka wajah Thariq di depan pintu menunggu ayahnya yang sedang menyiapkan bekalan sekolah untuknya.

“Kejaplah. Ayah tengah nak letak nasi goreng dalam bekas ni.” Ayahnya cepat-cepat mencapai penutup bekas makanan. Sedikit keluhan dilepaskan.

“Dah. Jom. Nanti lambat pulak nak ke sekolah.” Ujar Arman kepada anaknya yang menunggu di depan pintu sambil menghulurkan beg sekolah anaknya. Sedikit senyuman dihadiahkan buat Thariq dengan harapan mampu menyejukkan kemarahan hati si kecil itu.

“Alah, kalau lambat pun sebab ayahlah. Tak payah nak tapau makanan pun. Thariq boleh beli kat kantin la ayah. Nanti lambat, Thariq yang kena marah dengan cikgu, bukannya ayah!” Terkedu wajah Arman di muka pintu mendengar kata-kata anaknya.

Segera dia beristighfar. Bimbang hati lelakinya akan dicucuk-cucuk syaitan yang mungkin mengundang kemarahannya buat si anak.

Bagi Thariq, dia sengaja berkata begitu kepada ayahnya untuk melepaskan kemarahan kerana semalam adalah hari jadinya. Namun, tiada hadiah yang diberikan ayah kepadanya. Bahkan ucapan selamat hari lahirpun tiada. Terkadang terasa bahawa ayahnya tidak langsung menyayanginya.

Setelah sampai di hadapan sekolah, segera Thariq keluar dari pintu kereta tanpa menyalami tangan Arman seperti biasa. Merajuk barangkali. Sekadar menggelengkan kepala, Arman ingin segera beredar.

“Thariq!” Satu suara yang dikenalinya sayup-sayup kedengaran. Faruqi melambai-lambai dari jauh. Tersengih-sengih Faruqi menunjukkan giginya yang sedikit jarang.

“Eh Thariq. Jap lagi aku nak tengok kau punya praktikal Sains minggu lepas. Hehe.. Nak check betul atau tak aku punya ni.”

“Sains? Eh, hari ni mana ada subjek Sains.” Berkerut-kerut dahi Thariq dengan pertanyaan Faruqi. Hatinya mula berdebar kerana dia amat yakin yang buku itu ditinggalkan di rumah.

“Memanglah Sains takde. Tapi Cikgu Latifah kan suruh hantar buku tu hari ni. Jangan pulak kau kata tak bawak. Habislah kau.” Kata Faruqi sekadar mengusik.

“Hah? Serius ke? Alamak! Aku memang tak bawak la. Macam mana ni? Aduh, mesti kena marah lagi.” Thariq sudah menarik-narik tali lehernya. Terasa seakan tersesak nafasnya dek terlalu risau.

“Kau pergilah telefon ayah kau suruh pergi ambik jap. Bukannya jauh pun office ayah kau dengan rumah.”

“Aku baru je lepas marah ayah. Nak ke ayah pergi ambik buku aku? Takpe lah. Cuba je dulu.” Thariq berkira-kira dalam hati.

Terus dia menuju ke telefon awam yang berada di tepi pondok pengawal.

…..

Arman sudah sampai di parking lot pejabatnya. Dilihat jam di tangan sudah 7.50 pagi. Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering.

“Ayah! Thariq ni.” Kedengaran suara anak kecilnya di talian. “Oh, Thariq. Kenapa nak?”

“Em..” Thariq sedikit teragak-agak.

“Ayah, Thariq tertinggal buku praktikal kat rumah. Kena hantar hari ni. Kalau tak cikgu marah. Ayah tolong hantarkan, boleh tak? Buku tu ada kat atas meja dalam bilik.”

“Oh.” Arman kembali melihat jam di tangan.

“Ok, jap lagi ayah hantarkan.” Arman sudah serba salah.

Pagi ini dia perlu menemani ketuanya untuk bermesyuarat dengan syarikat penaja pengiklanan untuk produk terbaru keluaran syarikatnya yang bermula pukul 8.15 pagi. Tetapi yang pastinya dia tidak mahu anak kesayangannya itu dimarahi guru. Biarlah dia yang berkorban sedikit buat anak tunggalnya itu.

Seperti yang dijangka, Arman dimarahi ketuanya kerana terlambat ke pejabat semula setelah menghantar buku Thariq. Dia tidak menceritakan apa sebenarnya yang terjadi kerana sudah seringkali anaknya menjadi sebab atas kelewatannya ke tempat kerja. Bagi Arman, kesalahan itu memang terletak di atas bahunya sendiri kerana tidak pandai dalam mengurus masa dan kehidupannya dengan baik.

“Siti, kalaulah awak masih di sisi abang.” Tiba-tiba hatinya terasa sayu mengenangkan arwah isterinya.

Isterinya yang meninggal dunia kerana lemas ketika menyelamatkan Thariq yang mandi di laut lima tahun yang lalu. Kejadian yang benar-benar memberikan tamparan hebat buat dirinya.

Arman masih teringat bila mana dia yang ketika itu sedang berada di Indonesia atas urusan kerja tiba-tiba mendapat panggilan telefon daripada mertuanya. Satu panggilan yang benar-benar meluruhkan jantungnya. Kehilangan seorang isteri tersayang.

“Sebab kaulah isteri aku mati!” terbayang di ingatannya saat dia memarahi Thariq kerana tidak dapat menerima hakikat kematian isterinya. Anak kecil yang baru berusia lima tahun yang masih tidak dapat memahami apa sebenarnya yang berlaku hanya meraung-raung di sisi neneknya kerana dimarahi ayah.

Setelah peristiwa itu, setahun Thariq ditinggalkan di bawah penjagaan mertuanya. Arman yang pergi membawa diri. Sehinggalah pada suatu hari dia menerima berita bahawa anaknya demam panas.

Walaupun hatinya masih sakit, namun naluri kebapaannya masih kuat. Di saat dia menatap wajah sugul anaknya yang mirip dengan arwah isterinya, ego lelakinya runtuh. Dipeluknya Thariq sekuat hati.

“Maafkan ayah, nak. Ayah tak patut salahkan Thariq. Bukan salah Thariq.” Teresak-esak Arman melutut di sisi anaknya. Menyesali akan perbuatannya, Arman sudah berjanji untuk menjaga Thariq sebaik mungkin dan melunaskan janjinya buat arwah isterinya.

Janji yang dibuat saat Thariq dilahirkan ke dunia. Janji untuk mendidik anak itu sebaik mungkin supaya menjadi buah amal di Akhirat kelak.

Alhamdulillah, Allah S.W.T masih memberikan peluang kepadanya untuk berusaha menjadi seorang ayah kepada Thariq. Walaupun terkadang kerenah anaknya itu benar-benar mencabar kesabarannya, namun Arman seringkali terkenangkan perbuatannya yang meninggalkan Thariq selama setahun dan hanya menjenguknya beberapa kali.

“Mungkin ini adalah ujian yang Allah S.W.T berikan kepada aku atas sebab perbuatan aku dulu. Dan semuanya sebab Allah S.W.T sayang aku. Allah S.W.T nak peringatkan tentang kesilapan aku,”kata-kata yang seringkali ditekankan Arman sebagai sebuah peringatan buat dirinya sendiri.

…..

Selesai Pendidikan Jasmani pada waktu pagi, Thariq masuk ke kelas untuk menukar baju. Hanya beberapa orang rakannya berada dalam kelas sedangkan yang lain masih berlegar-legar di kantin untuk mengisi tekak yang kehausan. Apabila dibuka beg sekolahnya, matanya terpandang sebuah bungkusan kecil yang dibalut kemas berada di dalam beg.

Dalam kehairanan, dia membuka bungkusan tersebut. Dia tersenyum riang melihat seutas jam tangan yang diidam-idamnya selama ini berada di dalam kotak itu dan sekeping kad terselit di dalamnya. Thariq membuka kad tersebut.

Buat buah hati ayah yang tersayang,

Selamat hari lahir yang ke-10. Ayah minta maaf sebab terlambat bagi hadiah ni pada Thariq. Ayah memang teringin untuk sambut birthday Thariq semalam tapi ayah dah tertidur.

Thariq,

Ayah betul-betul nak minta maaf sebab tak mampu menjadi ayah yang terbaik buat Thariq. Ayah tak mampu nak masak makanan kegemaran Thariq sedap-sedap, ayah tak mampu nak siapkan baju sekolah untuk Thariq pagi-pagi, ayah tak mampu nak luangkan masa untuk bermain dengan Thariq setiap hari, ayah tak mampu nak tolong Thariq siapkan kerja rumah, ayah tak mampu nak belikan semua barang mainan yang Thariq minta. Banyak perkara yang tak mampu ayah buatkan untuk Thariq.

Mungkin sebab ayah hanyalah seorang ayah. Ayah tak mampu menjadi sesempurna seorang ibu yang mampu memberikan kelembutan kasih sayang yang lebih baik buat Thariq. Tapi ayah harapkan dalam kekurangan ini, ayah mampu membuatkan Thariq bahagia seadanya. Dan ayah nak Thariq tahu yang ayah benar-benar sayangkan Thariq. Setiap masa.

Ikhlas,

Ayah.

Basah pipi si anak kecil. “Ayah, maafkan Thariq.” Ada sedikit kekesalan di hati Thariq atas sikapnya pagi tadi. Jauh di sudut hati, dia tidak sabar untuk pulang ke rumah hari ini. Ingin menemui ayah yang tersayang.

…..

Kring!!! Loceng sekolah berbunyi.Tidak seperti biasa, Thariqlah orang pertama yang keluar dari kelasnya menuju ke pintu pagar.

Di bibirnya tersenyum riang apabila terbayang ayahnya menunggu di dalam kereta dan sebuah pelukan erat ingin diberikan buat ayahnya. Bukan atas penghargaan hadiah yang diberikan ayahnya semata-mata, tetapi kerana pada saat ini, Thariq benar-benar ingin ucapkan sebuah kata-kata yang tidak pernah diucapkannya buat ayah selama ini.

Kata-kata yang disimpan dek kerana hatinya yang dipenuhi pelbagai prasangka buruk terhadap kasih sayang ayah kepadanya. Mungkin kerana tamparan kisah silam yang masih tersimpan kemas dalam ingatannya.

Sampai di depan pintu pagar, masih belum nampak kelibat ayahnya. Hatinya tiba-tiba terasa kurang enak. Ditepisnya pelbagai perasaan yang bercampur baur dalam diri.

Ayah Faruqi sudah sampai dengan wajah yang agak cemas. Dia kelihatan sedang menjelaskan sesuatu kepada Faruqi, perasaan ingin tahu Thariq membuak-buak dalam hati.

“Thariq, kereta ayah kau Myvi hitam, kan?” tanya Faruqi.

Muka Thariq berubah.

“A’ah. Kenapa?” Thariq bertanya dengan perasaan berdebar-debar.

“Em.. ada kereta Myvi hitam accident kat depan simpang sana. Ayah aku nak patah balik pergi tengok. Kau nak ikut?”

Thariq seperti kehilangan nafas seketika. Jantungnya berdegup kencang. Tidak mampu bersuara, dia sekadar mengangguk.

Di simpang tiga itu kelihatan orang ramai sudah berkerumun. Sebuah ambulan sudah berada di tempat kejadian dan kelihatan polis trafik sedang mengawal lalu lintas yang mulai sesak.

Air mata Thariq kelihatan sudah mula menitik. Langkahnya kaku melihat kereta Myvi yang remuk itu.

“Ayah… Ayah!!” Thariq berlari menuju ke arah sebujur tubuh yang sudah ditutupi kain putih.

“Ayah! Ayah jangan tinggalkan Thariq ayah. Ayah! Jangan tinggalkan Thariq sorang diri. Mak dah takde. Takkan ayah pun nak tinggalkan Thariq jugak. Ayah!” Thariq meraung sambil tangannya memeluk erat tubuh yang sudah tidak bernyawa itu. Terasa gelap seketika dunianya.

“Thariq?” terasa bahunya disentuh lembut. Dengan pandangan mata yang kabur disebabkan air mata yang berlinangan, Thariq memandang ke belakang. Yang kelihatan satu susuk tubuh yang amat dikenalinya memandangnya dengan pandangan kehairanan.

“Ayah!” dipeluk erat tubuh ayahnya. Arman hanya tercengang kurang mengerti. Melihat sekeliling dan matanya terpandang sebuah Myvi hitam yang remuk teruk tersadai di tepi jalan. Barulah dia mengerti apa yang sebenarnya terjadi.

“Ayah! Ayah jangan tinggalkan Thariq ayah. Thariq mintak maaf sebab kasar dengan ayah pagi tadi. Jangan tinggalkan Thariq lagi, ayah,” Teresak-esak Thariq memeluk ayahnya. Dalam hati, sejuta kesyukuran bertandang apabila menyedari ayahnya masih di sisi. Arman tersenyum memandang anaknya.

Perasaan gelisah bila melihat anaknya tiada di depan pintu pagar sekolah benar-benar terubat kini. Jika tidak kerana pengawal sekolah yang memberitahunya bahawa Thariq telah pulang bersama Faruqi, mungkin dia telah hilang arah untuk mencari anaknya yang tiada di sekolah.

…..

Jam sudah menunjukkan angka sebelas malam. Arman bersiap-siap untuk tidur. Pakaiannya dan Thariq sudah siap digosok. Bimbang jika esok terlewat bangun lagi. Di fikirannya sedang berkira-kira sarapan apa yang ingin disiapkan buat anaknya.

Tiba-tiba pintu biliknya diketuk perlahan.

“Ayah, boleh Thariq tidur dengan ayah?” Ujar Thariq teragak-agak sambil tangannya memegang bantal busuk Doraemonnya.

Arman tersenyum. Hatinya terasa bersyukur dengan perubahan sikap Thariq yang tiba-tiba.

Adakah kejadian hari ini benar-benar terkesan di hati anaknya?

Thariq naik ke katil lantas meletakkan kepalanya di bantal sebelah ayahnya.

“Selamat malam Thariq. Jangan lupa baca doa tidur,” Arman tersenyum sambil menutup lampu.

“Selamat malam ayah. Thariq sayang ayah.” Arman terkedu dalam kegelapan. Kata-kata yang dinanti-nantikan selama ini. Kata-kata yang benar-benar dirindui untuk didengari oleh Arman.

Setitis air mata mengalir ke pipinya.

“InsyaAllah, esok Tuhan pasti menjanjikan hari yang lebih baik buat kita berdua.” Bisik Arman dalam hatinya.

 

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik.” (Al-Isra’:23)

Nota: Hargailah kedua ibubapa yang masih berada di sisi. Kerana kita tidak akan pernah tahu apa yang bakal menanti pada esok hari.

 

Titisan Tinta: Wanita ISMA, I Luv Islam

A Single Step

Bercakap tentang hobi. Terkadang saya tertanya-tanya. How do you define hobby? Adakah hobi tu adalah sesuatu yang kita selalu buat atau pun kita suka buat walaupun jarang buat? Hehe. Pening.

Jadi bila ditanya soalan tentang hobi, saya akan jawab- dengar lagu. Sebab boleh kata setiap hari akan dengar lagu. Kalau mengadap laptop macam satu kewajipan untuk on the playlist. Kalau dulu masa study, masak, buat homework, dalam bas, ngantuk dalam lecture hall, jalan balik kelas along North Terrace, mesti saya dengar lagu. So, I decide to define that as a hobby.

Dan saya ada minat lain. Baca buku @ apa-apa yang boleh dibaca- artikel, blog, novel etc. Dan menulis. Artikel, cerpen, skrip, blog. But I define this as interest. Beza ke? Entah, saya pun tak tahu.

Tapi bila minat campur hobi ni buatkan saya menyimpan satu angan-angan. Angan-angan yang bermula ketika dalam persediaan A-level di INTEC, Shah Alam-2005. Untuk bekerja di sebuah kedai yang ada jual CD dan buku. Jadi, saya boleh melakukan both of my hobby and interest. Tapi yang pasti kedai tu bukan milik saya la sebab kalau tak, saya kena keluarkan modal untuk beli CD dan buku-buku. Kalau kerja saja, FOC. Contohnya macam kat MPH, Popular, Borders =)

Tapi berbalik kepada realiti. Alhamdulillah, saya tahu saya dah buat pilihan yang tepat dan terbaik. A pharmacist.

Okey, entry ni bukan untuk bercerita tentang apa itu kerjaya farmasi bagi sesiapa yang beranggapan a pharmacist adalah orang-orang yang duk bagi ubat kat kaunter tu. Kalau kerja macam tu, tak adalah keperluan untuk saya bersengkang mata selama 4 tahun lebih untuk mendapatkan ijazah ni. Tapi tentang ni kita cerita kat entry lain, A Pharmacist- A Journey to Remember.

Yang nak diceritakan sekarang tentang minat saya. Menulis.

Baru-baru ni, seseorang menyampaikan hasrat untuk mula menulis blog. Dan saya adalah orang pertama yang diberitahu atas sebab-sebab tertentu. Dan pastinya saya menyokong 110%! =)

Tapi ada satu kata daripadanya yang dah acap kali saya dengar daripada orang lain jugak. “Tak tahu la boleh tulis atau tak.” Not the exact words, tapi lebih kurang macam tu la. Kalau sebelum-sebelum ni, ayat biasa, “tak reti nak tulis.” etc.

Jadi saya harapkan entry kali ini sedikit sebanyak mampu menjadi pemangkin semangat buat sahabat-sahabat yang ingin menulis tapi “takut-takut”.

 

Objektif Penulisan

“Setiap amalan bermula dengan niat.” Cliché tapi itulah hakikat sebenar. Ramai yang nak menulis dengan harapan ingin mengetuk hati-hati manusia. Tapi yang pasti sebenarnya kita nak jadikan ni adalah salah satu medan untuk membuahkan amal. Semata-mata untuk mendapat redha Allah. Jadi ikhlaskan niat semata-mata untuk Dia.

Tapi terkadang, Allah kurniakan kita something extra. Bila ada manusia-manusia di luar yang terkesan dengan penulisan kita. Itu adalah hadiah terbaik yang kita terkadang langsung tak sangka, tapi pasti sentiasa mendoakan moga impian dan niat di kabulkan.

“Jika seseorang mendapat hidayah daripada Allah lantaran kamu, ianya lebih baik bagimu daripada apa yang disinari matahari” (H.R Al-Tabrani)

 

Bukan Untuk Di “Like” Manusia

“Saya tulis ni, tak ada orang baca pun.” Luahan hati seorang sahabat. Berkerut-kerut dahi saya mendengar.

Peringatan terbaik adalah peringatan yang diucapkan paling dekat dengan telinga kita. Iaitu peringatan daripada diri sendiri (Memanglah tangan jauh dari telinga. Sort of metaphor. haih!)

Jadi, setiap penulisan yang kita tulis, sebenarnya bertujuan untuk mengingatkan diri sendiri. Bila sampai ke satu tahap, kita akan alami sesuatu keadaan yang buatkan kita perlukan suntikan semangat. Jadi, blog ni pasti menjadi salah satu suntikan semangat buat diri.

Kita boleh imbas kembali- kehidupan terdahulu, bila tarbiyyah bermula, bila ujian melanda. Dan apa catatan kita pada waktu itu. Kuat, lemah, sedih, pasrah, sabar, redha. Semua dah pernah kita lalui menjadikan siapa kita pada hari ini. Jadi, dengan apa perasaan kita dahulu, kita boleh bangkit kembali untuk memilih menjadikan diri kita kembali ke fasa ter”kuat” dulu.

Jadi, tak perlu untuk di “LIKE” manusia. Tetapi setiap penulisan adalah untuk kita kembali sentiasa di “LIKE” Pencipta.

 

Multi Level Marketing (MLM) terbaik

Untuk yang masih bertatih menulis, terkadang rasa hampa bila tengok statistik sebab tak ramai yang baca blog kita. Tapi macam yang saya tulis kat atas. Objektif utama adalah untuk diri sendiri. Dan medan blog adalah buah amal MLM terbaik untuk diri tanpa kita sangka. Mungkin hanya 2 orang yang baca blog kita. Tapi kalau daripada 2 orang tu, seorang yang terketuk hatinya dan disampaikan kepada orang lain. Dan next level of MLM hanya Dia yang tahu. Jadi, untuk ruang mudah yang dah diberi ni, takkan tak nak fastabiqul khairat!

 

Medan Alternatif

Gerabak tu sentiasa bergerak. Dengan kita dan tanpa kita. Lagi-lagi akhawat yang kadang-kadang terbatas pergerakan. Tapi masih tak ada sebab untuk buang tiket dan turun. Bila ditanya di akhirat nanti, tak pasti alasan akan diterima atau tak. Sebab kita masih punya medan. Melalui penulisan dan alam maya.

 

Style Penulisan

Bak kata Mat Lutfi, “just be yourself”. Tapi pada masa yang sama, please please please. Jangan mengkritik penulisan orang lain. Ada yang pandai tulis macam wartawan, ada yang pandai tulis artikel berkaitan sejarah, ada yang pandai tulis artikel bermotivasi, ada yang pandai menulis santai tapi mesej tersampai, ada yang pandai menulis puisi, ada yang pandai menulis cerpen etc.

Bukan hak kita untuk mengkritik gaya penulisan orang lain. Dan pada masa yang sama kita perlu memilih gaya penulisan yang kita selesa dengannya. Sebab kita nak menulis dari hati. Untuk cuba disampaikan kepada hati yang lain. Dan manusia mempunyai hati yang berbeza-beza dan mampu disentuh melalui jenis penulisan yang berbeza-beza. Orang lain adalah orang lain dan kita adalah kita. Jadi dalam penulisan, just be yourself.

 

Kehidupan Peribadi

Terkadang kita nak kongsikan sesuatu yang dekat dengan diri, tapi pastikan ia ada makna untuk orang lain ie bermanfaat. Jangan tersilap langkah sampai membuka aib sendiri. Sebab blog ni medan tatapan umum yang terrrrsangat luas. Yang tiada penghalang (melainkan kalau kita buat private la).

Kehidupan peribadi ni bagus sebab dekat dengan diri sendiri dan pembaca sebab ia adalah satu realiti. Tapi jangan kita memburuk-burukkan orang lain sampai satu dunia pandang serong padanya. Jika benar ada yang berbuat silap, teguran biarlah berhikmah. Dan penulisan adalah satu cabang untuk menyampaikan satu teguran secara indirect kepada orang-orang tertentu yang mungkin boleh dijadikan pengajaran kepada yang lain juga. Bukankah Islam tu agama yang cantik, yang mengajar kita untuk berbuat “cantik” kepada yang lain?

 

Extra- Bumper Penulisan

Kalau tengok, banyak blog-blog yang bersawang. Sebab melalui bumper penulisan. Antaranya kekangan masa, peletakan prioriti ke medan lain, takde idea etc. Halangan-halangan yang membuatkan kita berhenti menulis.

Bagi saya, antara bumper penulisan saya adalah tak tahu nak letak tajuk apa kepada entry. Draf yang tersusun tapi tak dapat nak publish sebab tak jumpa tajuk yang terbaik. Sebab untuk menulis kita kena ingat yang tak ramai yang suka membaca dan dah ada banyak bahan-bahan bacaan pun. Jadi, tajuk memainkan peranan yang sangat penting. Bak kata orang-first eye-catcher! Harapnya orang lain tak berjangkitlah dengan bumper penulisan macam saya.

Bumper kedua- stuck pada ending. Tulis-tulis cerpen, last-last tak tahu nak buat ending macam mana. In the end, tinggallah sebagai draf sampailah ilham datang balik. Kalau setahun baru datang ilham, setahun kemudian la baru publish.

Bumper ketiga- Nama-nama watak. Mungkin sebab suka berangan, jadi saya suka tulis cerpen. Doakan mampu tulis novel satu hari nanti, Amin! tapi masalah utama saya adalah memikirkan nama-nama watak. Tak dapat nak fikir nama sehebat watak-watak novel: Adam Mukhriz, Tengku Shahran, Hariz Iskandar etc. End up saya guna nama orang-orang di sekeliling. Jadi jangan terkejut kalau suatu hari nanti anda menemui nama anda dalam penulisan saya. Bukan saya berminat, tapi sebab takde idea. Heheh.

Bumper keempat- Banyak sangat entry dalam kepala. Kebanyakkan penulisan saya adalah ilham kehidupan sekeliling. Menjadi orang yang kuat memerhati membuatkan bila terjumpa sesuatu keadaan yang menarik, kepala saya mula menyusun idea. Tapi yang bermasalahnya bila satu hari terkumpul banyak sangat situasi yang tak dapat dibumikan. Sebab bila banyak sangat yang nak ditulis, akhirnya saya buat pilihan untuk langsung tak menulis. Sebab semua dah berselirat dalam kepala sahaja.

Pengajaran: Jadi, untuk mendapatkan tips menulis yang terbaik, mintalah daripada yang pakar.

 

Nota: Saya bukanlah orang terbaik yang mampu memberi guidelines terbaik untuk menulis sebab saya pun masih sangat-saaaaangat baru bertatih. Tapi bila asyik ditanya soalan-soalan eg akak, macam mana nak menulis, bagi tunjuk ajar etc, saya tak dapat nak jawab sebab tak tahu. Adeh. Memang tak tahu melainkan kalau anda rajin nak menghadiri bengkel-bengkel penulisan. Tapi satu nasihat, nak pandai menulis, kena la menulis. Macam anak-anak yang nak belajar mengaji, awalnya bertatih dengan buku Iqra’. InsyaAllah lama-lama boleh.

Bukan ke a journey of a thousand miles starts with a single step. Jadi, jom mulakan langkah pertama!

p.s: Bila bermasalah dengan tajuk penulisan, baru-baru ni dapat list tajuk daripada seorang murabbi:

1. Cinta di jalan dakwah
2. Cafe cinta
3. Baju kurung baju melayu
4. Ayah, carikan aku suami
5. Mak! Saya nak kawin
6. Kau bukan isteri ku yg pertama
7. Abang! Tolong sidai baju
8. Alamak! Nasi hangit!

Tajuk-tajuk yang mungkin sekadar gurauan beliau (saya agak la. hehe…) Tapi paling tertarik dengan tajuk  nasi hangit tu. Lain kali, insyaAllah! =)
By Fakhriah Ramli Posted in Santai

Memahami Takdir

Saidina Umar dan para sahabat ketika dalam perjalanan menuju ke Syam dikhabarkan bahawa di Syam sedang merebaknya penyakit taun. Ketika para sahabat bermesyuarat, Umar mencadangkan agar kembali sahaja ke Madinah. Manakala, Abu Ubaidah Amir bin al-Jarah berkata,

“Wahai Amirul mukminin, kenapa tuan ingin kembali ke Madinah dan lari dari qadar Allah?”

Berkata Umar,

Kami lari dari qadar Allah kepada qadar Allah.”

Penjelasannya, sunnatullah (hukum alam) menetapkan akal kita mampu berfikir bahawa:

A (pergi ke negeri yang dilanda taun) akan menyebabkan X (dijangkiti taun).

B (tidak pergi) pula akan menyebabkan Y (tidak dijangkiti).

Maka, melaksanakan sebab A (pergi) yang natijahnya adalah X (dijangiti)

atau

melaksanakan sebab B (tidak pergi) yang natijahnya adalah Y (tidak dijangkiti), itu juga dinamakan qadar Allah.

Akal dan hati fungsinya berfikir dan memilih. Hikmahnya, kita tidak boleh persalahkan Allah SWT dengan pilihan kita itu jika natijahnya buruk.

Apapun, sama ada kita memilih sebab A (pergi) yang bernatijahkan X (dijangkiti) atau memilih sebab B (tidak pergi) yang bernatijahkan Y (tidak dijangkiti), semua itu sudahpun ada dalam  ilmu dan pengetahuan Allah. Ia berlaku ke atas kita dengan izin Allah jua.

Sumber: Fatimah Syarha

Nota: Mari memilih takdir yang paling sempurna mengikut neraca Pencipta. Moga Dia redha.

“Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketaqwaannya, sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu), dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.” (Asy-Syams:8-10)