Sepak Takraw dan Wanita

Sukan SEA sedang rancak berlangsung di arena masing-masing. Dan ahli rumah tak terkecuali untuk menghadap di depan televisyen lebih-lebih lagi bila tiba acara perlawanan bola sepak. Gegak gempita memberi sokongan kepada pasukan Harimau Muda. Tapi adat penyokong; main ok, sorak sekampung, main ko, berterabur kritikan. Benarlah kita pengkritik terhebat.

Saya memang peminat sukan, cuma terasa dah lama meninggalkan alam “kelab penyokong” atas sebab-sebab tertentu. Dah 3  tahun barangkali. Ada perkara lain yang perlukan perhatian yang lebih berbanding menunggu update laporan harian sukan-sukan sebegini. Tapi kali ini kerana menjaga si kecil di depan TV, sesekali menonton juga sorotan semasa. Jiwa “kelab penyokong” masih ada rupanya.

Dalam banyak-banyak sukan yang dipertandingkan dalam Sukan SEA ini, tiba-tiba diimbasnya satu jenis sukan yang membuatkan saya tersentak. Sepak takraw. Bukanlah sukan yang asing di Malaysia. Malahan seakan tradisi Melayu. Terasa suasana kampungnya. Tapi kali ini maaf, hati saya kurang senang, dan kurang berkenan. Kerana ia adalah sepak takraw yang dimainkan oleh perempuan. Sepak Takraw Wanita.

“Isk, tengok. Yang main pun dah macam lelaki dah,” ucap salah seorang ahli keluarga.

Saya tiada hak untuk menghakimi sesiapa. Saya bukan teman mereka, dan memang langsung tak mengenali mereka secara dekat. Tapi satu perkara yang saya tahu tentang mereka. Mereka adalah wanita.

Secara lumrahnya, setiap wanita memang dilahirkan dengan karakter yang berbeza-beza. Ada yang totally lemah lembut, ada yang sedikit kasarnya, ada yang separuh-separuh. Tapi, walau bagaimana “kasar”nya seorang wanita itu, sifat kelembutan seseorang yang dilabelkan sebagai wanita PASTI masih ada dalam diri.

Mungkin ada yang melabelkan saya sebagai seorang yang kolot dengan peredaran semasa. Dengan mengatakan para wanita zaman kini sudah maju. Yang sudah sampai setaraf dengan lelaki. Benar, saya setuju dengan perkembangan ini lebih-lebih lagi dalam jawatan kepimpinan pun sudah ramai yang dipegang wanita menunjukkan wanita sudah menjadi semakin hebat seperti lelaki. Namun, tak perlulah menjadi “lelaki”.

Menjadi seorang wanita. Adakah kita tidak berbangga dengan fitrah ciptaan Tuhan yang menghiaskan kita dengan sifat-sifat penuh kelembutan? Wanita adalah perhiasan dunia, jika mampu menjadikan diri menjadi wanita solehah. Mana mungkin perhiasan yang digemari berwarna hitam, kelabu, dan gelap. Pasti perhiasan yang menarik hati berwarna terang, cerah dan lembut (Ini bukan merujuk kepada warna pakaian yang dipakai, ye). Dan kelembutan yang cuba dihiaskan dalam diri seorang wanita ini bukanlah untuk menarik perhatian lelaki bermata keranjang melainkan semata-mata ingin menarik perhatian satu-satunya Tuhan yang menciptakan.

Kelembutan seorang wanita bukan menunjukkan bahawa dia lemah. Kelembutan seorang wanita sebenarnya adalah aset yang amat berharga buat ummah. Aset yang bermakna jika ia datang dengan ketegasan yang utuh. Bagi yang belum mendirikan rumah tangga, kita adalah bakal ibu kepada anak-anak yang diharapkan untuk menjadi generasi Quran. Anak-anak yang perlu dilentur dengan kelembutan dalam ketegasan. Jika sifat kelembutan itu sengaja dihilangkan, percayalah ia bakal menyakitkan diri anak-anak yang dibesarkan. Yang benar-benar dahagakan kasih sayang seorang wanita bergelar ibu apabila si kecil hanya mempunyai “dua orang ayah” di sisi.

Bukankah dengan kelembutan seorang wanita bernama Asiah lah yang mampu melenturkan dan mencairkan hati sekeras dan sekejam Firaun untuk mengambil dan membela Nabi Musa as di dalam istananya sendiri? Jika tanpa pujuk rayu Asiah, kita mungkin kehilangan pewaris agama Tauhid ini. Tapi, ketentuan Allah adalah sebaik-baik takdir.

Dari mana datangnya pengaruh kelelakian dalam diri seorang wanita? Tak perlu mencari puncanya jauh-jauh. Kita kembali kepada langkah awal ancaman tentera-tentera kuffar dalam misi menjatuhkan Islam. Serangan pemikiran- 5S. Sex, smoke, song, sport, screen. Antara contoh terawal yang saya katakan,

SPORT: Memperkenalkan sepak takraw sebagai satu permainan wanita. Mendidik wanita menjadi seperti lelaki.

SMOKE: Sekarang iklan di TV hanya memaparkan kesan-kesan buruk merokok (Cayalah! Saya memang TAK suka orang merokok! Lebih-lebih lagi yang bergelar wanita! Tak sesuai la kak!) tapi dalam drama-drama dan filem, adegan wanita merokok masih wujud (Nak tunjuk macho tak bertempat la, sis!)

SONG: Tak perlu cakap, fikir sendiri. Menyalahkan lelaki dan mencari hak kesamarataan. Atau merasakan diri lebih baik (Sebenarnya saya pun dah lama tak dengar lagu-lagu “luar takungan”. Jadi, dah tak tahu update hiburan terkini).

Sekadar gambar hiasan. Saya pun tak tahu ceritanya tentang apa.

SCREEN: Media-media yang memaparkan gaya hidup tomboy, pengkid. Ayat-ayat orang filem yang hanya mahukan keuntungan dengan mengatakan cerita hanyalah untuk memberi pengajaran kepada golongan ini namun kesan disebaliknya adalah memaparkan kehidupan tomboy dan pengkid yang akan diikuti oleh masyarakat, iaitu wanita yang belum kuat jati dirinya.

Feminisme, perjuangan hak-hak wanita yang dilaung-laungkan. Untuk menaikkan taraf wanita sama level dengan lelaki.

Bukankah setiap wanita dilahirkan dari tulang rusuk seorang lelaki? Bagaimana kita yang hanya datang dari BAHAGIAN seorang lelaki ingin menjadi lebih hebat daripadanya?

Tuhan menciptakan kita sebegini dengan satu sebab yang sangat indah. Bukan ingin meremeh-remehkan atau meletakkan wanita di bawah. Tuhan meletakkan kita di SISI seorang lelaki.

Tercipta engkau dari rusuk lelaki
Bukan dari kaki untuk dialasi
Bukan dari kepala untuk dijunjung
Tapi dekat di bahu untuk dilindung
Dekat jua di hati untuk dikasihi

Bagi saya, saya bangga dengan penciptaan seorang wanita BUAT seorang lelaki. Bangga untuk menjadi peneman hidup DISAMPING seorang lelaki, bukan dinombor duakan selepas seorang lelaki. Bangga untuk DILINDUNGI seorang lelaki, bukan memijak di atas seorang lelaki. Bangga untuk menjadi PENYEJUK MATA seorang lelaki, bukan pencetus amarah seorang lelaki.

~Kerana aku dari tulang rusuknya~

Advertisements

Tinggalkan Nota

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s