29 Tahun Menyemai Cinta

30 November 1982

Tanggal yang sama 29 tahun lalu menjadi saksi lafaz sebuah ikatan perjanjian yang kuat. Yang cukup utuh.

Dan kemudiannya, bahtera rumahtangga itu memulakan pelayarannya. Dianugerahkan 4 cahaya mata sebagai hadiah dari Tuhan, yang satu lagi diambil kembali oleh Dia, menunggu di sana tanpa sempat melihat dunia. Mungkin kita akan bertemu  suatu hari nanti, dik jika diizinkan Allah.

Hari demi hari yang berlalu, cahaya mata yang makin membesar mengenali dunia, makin bertambah kerenahnya, dan suami isteri itu sekarang memikul tanggungjawab seterusnya, menjadi ma dan abah.

Episod kenakalan anak-anak yang pelbagai ragam pasti mencabar kedua jiwa itu. Namun tetap sabar melayan, kerana mengenang janji mereka kepada Tuhan.

Ada yang memecahkan cermin almari tanpa sengaja hanya kerana ingin menunjukkan aksi “summersout”nya, ada yang sakit sejak kecil sehingga dewasa dan ditunggu ma dan abah berhari-hari di hospital, ada yang menconteng sofa rumah dek marahkan ibunya, ada yang sentiasa menelefon untuk pulang ke rumah setiap minggu walaupun berasrama penuh, ada yang menangis selepas pulang dari klinik atas satu sebab fitrah seorang lelaki, ada yang setiap masa menelefon ma dan abah untuk bertukar dari mengajar di Sabah, ada yang merajuk ke luar rumah disebabkan berebut ingin menonton cerita “Suria Baju Hitam” sementara ma ingin menonton drama kegemaran dan tertidur di garaj menunggu kepulangan abah yang pergi mengambil abang dan kakak di sekolah fardu ain, ada yang mengadu kepada kakak kerana tidak setuju dengan pilihan ma dan abah tentang bidang pengajian.

Kali ini mari kita imbas kembali kehidupan yang lalu:

– Kita perlukan pertolongan, kita cari ma dan abah.

– Kita rasa kesusahan, kita cari ma dan abah.

– Kita kesakitan, kita dibimbangi ma dan abah.

– Kita berbuat silap, dimarahi ma dan abah.

Bila ma dan abah marah, adakah maksudnya ma dan abah membenci? Bila seorang ayah bermasam muka, bukan bermakna tak menyenangi anak-anaknya, tapi kerana bimbang dan mengambil berat tentang kehidupan anaknya, tentang kejayaan anaknya. Bila seorang ibu berleter, adakah kerana putus asa dengan anaknya? Tidak, bahkan itulah kasih sayang seorang ibu. Yang terlalu banyak berfikir tentang anaknya.

Dan kita, sebanyak mana yang sudah kita lakukan buat ma dan abah yang tidak seperti sesetengah ibubapa yang lain. Pernah dijentikkah kita? TIDAK. Pernah dipukulkah kita? TIDAK. Pernahkah dibiarkan masalah yang kita hadapi ditanggung sendiri? TIDAK.

Bila ibubapa yang lebih menjaga hati. Sedangkan anak-anak terkadang lupa diri.

Kali ini mari kita mula belajar erti sebenar sebuah kesyukuran. Dipilih oleh Allah untuk menjadi anak-anak bagi sebuah pasangan yang cukup banyak diuji Tuhan. Tarbiyyah awal dari kecil sehingga dewasa, untuk mempersiapkan kita bagi menjadi seseorang.

Syukur dilahirkan dalam sebuah keluarga penuh kesederhanaan. Dilahirkan dalam suasana kampung untuk kita kenal apa ertinya hidup susah tapi membahagiakan. Dilahirkan dalam keadaan yang awalnya serba kekurangan tapi diajar tentang erti usaha yang akhirnya membawa kejayaan. Diajar untuk tidak hidup bermewah-mewahan supaya hati kita tidak terikat kepada harta keduniaan.

Mungkin kita pernah lupa. Jadi mari kita ingat kembali.

Berapa ramai yang pernah merasa mandi disubuh hari dengan air perigi? Sejuk! Saat yang paling menggembirakan adalah bila tiada air dan dapat mandi di sungai walaupun sejuk. Sedangkan orang lain senang merasa dingin dengan hot shower. Berapa ramai pernah merasa makan jagung yang dipetik sendiri di kebun, dibakar dan dimakan beramai-ramai bersama saudara mara pada pagi yang panas tapi cukup mendamaikan, sedangkan yang lain kecil-kecil sudah diajar pizza, kfc. spaggeti, etc. Tak perlu usaha, hanya perlukan duit. Berapa ramai yang dapat merasa berpicnic sambil bermain buaian semulajadi pohon (tak ingat nama pokok besar tu apa) sementara menunggu ibubapa yang sedang berkebun. Terkadang ada tangan yang turut sama ingin mencabut ranting tetapi ditegah abah lantaran takut terluka. Sedangkan yang lain dibawa shopping ke mall-mall besar, diberi permainan yang mahal-mahal.

Itu kisah dahulu. Itulah kisah kehidupan kampung.

Syukur tidak dilahirkan dengan hidup terlalu mewah, supaya hati tidak terikat pada dunia, supaya hati sensitif dengan kesusahan yang lain, kerana kita pernah merasa. Tapi, mungkinkah sekarang kita terlupa.

Kalau terlupa, mari kita ingatkan diri kembali. Ingatkan diri untuk SENTIASA menyayangi ma dan abah. Marah mereka kerana sayang. Leteran mereka kerana bimbang.

Kalau dulu kita hanya menerima, kali ini biar kita pula yang memberi. Memberi kegembiraan kepada ma dan abah setulus hati. Memberi kebahagian kepada dua jiwa yang makin menginjak usia selagi mana mereka disisi.

Dan paling utama, biarlah kita yang menjadi asbab dan mampu menghulurkan tangan kepada mereka pada suatu ketika nanti sambil berkata, ” Ma, abah. Jom ke syurga!”

Kali ini ku ucapkan, “Selamat Hari Ulangtahun Perkahwinan ke-29 tahun buat ma dan abah. Yu sayang ma dan abah!”

Advertisements

Tinggalkan Nota

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s