Perlu ke tunggu ikhwah?

Setiap kali bukak blog, saya suka untuk tengok bahagian analisa statistik. Pengunjung-pengunjung yang bertandang ke blog ni datang dari mana? Ikut saluran mana. Ye lah. Takkan tiba-tiba dapat ilham tajuk blog saya yang agak asing ni, kan. Hehe..

Paling saya suka bahagian “search engine terms” sebab kadang-kadang dari situlah saya dapat idea untuk menulis. Menulis persoalan-persoalan manusia yang akhirnya membawa mereka ke blog saya.

Kebanyakannya berkaitan Baitul Muslim. (Biasa lah. huhu..) Salah satunya, “perlu atau tak menunggu ikhwah”. Tertarik tapi tak mampu menulis sebab saya pun belum berBM untuk mengulas lebih panjang. Dan tak berminat sangat untuk berbicara tentangnya sebab belum ada kemampuan dan kekuatan. Tapi tadi saya terbaca notes di FB tentang ni. Jarang nak berkongsi penulisan orang lain di blog sendiri, tapi harapnya mampu lah untuk menjawab persoalan hamba Allah yang masih mencari-cari jawapan.

Wallahu a’lam.

……………………………………………………………………………………………………………………….

Nukilan: Pena Syabab

http://www.facebook.com/notes/pena-syabab/perlu-ke-tunggu-ikhwah/119905264805782

 

Seorang ukht datang menemui ana,

“Akak, perlu tunggu ikhwah ke?”

Ana terdiam seketika. Fasih benar permasalahan hati seorang akhawat, kerana ana pernah merasa.

Jika ana ia kan, bimbang akan terus memberikan harapan yang tak pasti. Jika menidakkan, bimbang jika ukht hilang dalam perjuangan.

Ikhwah… ikhwah…

Bagai satu kata keramat buat seorang akhawat, jika seorang ikhwah datang menjemput.

Tapi, kata keramat ini bagaikan mahal pula harganya. Sehingga perlu mengharap-harapkan, dalam kalangan akhawat yang ramai menanti, yang terpilih pasti tenang hatinya. Tapi yang tertinggal, berbagai kata motivasi ditanamkan untuk memujuk diri. Moga terus bersabar. Bila tiba masanya, pasti yang tepat akan tiba.

Tapi siapakah gerangan yang tepat itu? Seorang ikhwah? Atau bukan.

Ikhwahnya sedikit, akhawatnya ramai.

Ikhwah yang sedikit. Berapa ramai yang akan memilih akhawat. Berapa ramai yang benar-benar memilih seorang akhawat atas dasar dakwah. Berapa ramai yang memilih akhawat dengan benar-benar berjiwa besar meletakkan agama ditempat teratas?

Ikhwah yang sedikit. Bila bercakap tentang BM, rancak sekali. Dalam daurah, dalam facebook, bersama kalangan ikhwah. Tapi bila disuruh mengisi borang BM, pelbagai alasan diberi untuk menolak.

Ikhwah yang sedikit. Tak ramai yang berjiwa besar. Dan tak ramai yang benar-benar menghayati tuntutan dakwah.

Ikhwah yang sedikit. Pelbagai kebimbangan untuk berBM. Kerjaya? Kewangan? Keluarga?  Alasan biasa. Kerana belum benar-benar matang dalam memahami tuntutan dakwah. Memahami tuntutan untuk mendapatkan sakeenah dalam melajukan gerak dakwah.

Akhawat yang ramai.

Di awalnya menolak pinangan lelaki bukan ikhwah. Kerana setia kepada nasihat untuk memilih ikhwah.

Menanti ikhwah bagai menanti bulan jatuh ke riba. Setianya seorang akhawat menunggu ikhwah sampai terlupa mengira usia sendiri. Yang menganjak ke senja. Yang akhirnya…

“Ana akan terima siapa-siapa je yang masuk meminang”

Akhawat yang ramai. Penantian yang kadang-kala menghilangkan keyakinan terhadap diri sendiri.

“Ukht. Akhawat yang berBM awal semuanya yang ada rupa. Betul ke ikhwah ni memilih bukan atas dasar rupa semata-mata”

Ana hilang kata. Boleh untuk menidakkan, tapi apa jawapan yang seterusnya jika bukti sekeliling kebanyakkannya adalah benar. Mungkin kerana seorang akh masih tetap adalah seorang lelaki.

Pernah mendengar seorang akh berkata, “Ana pilih bukan akhawat, untuk meng”akhawat”kan dia.” Benar, tak salah. Ikhwah adalah seorang pemimpin, dan pasti dan sepatutnya memimpin keluarga.

Tapi pernahkan berfikir tentang akhawat yang pernah bersama-sama melakukan amal dalam program? Berfikir bahawa akhawat menanti ikhwah untuk melangkah ke anak tangga seterusnya. Tapi ikhwahnya sudah pergi. Sedang dalam proses menambahkan bilangan akhawat.

Benar, tak salah. Tapi makin bertambahlah akhawat yang terpinggir. Menanti lagi.

Ada yang menasihatkan. “Tak salah kalau akhawat yang dahulukan permintaan”

Benar, tak salah. Malah ana amat memandang tinggi hasrat akhawat yang ingin menjaga hati dan maruah diri.

Tapi, ikhwahnya sudah hilang kelelakian, kah? Sudah hilang keberanian, kah? Sudah hilang kejantanan, kah? Sampai perlu akhawat yang mengatur langkah pertama.

Akhirnya, akhawat yang perlu berjiwa besar. Cuba menanamkan keyakinan diri. Menerima seorang lelaki bukan ikhwah. Dengan meletakkan mahar untuk terus berada dalam tarbiyyah. Ada yang berjaya. Tapi ramai juga yang tumbang. Kerana pemimpin dalam keluarganya seorang lelaki. Yang belum benar-benar faham fikrah perjuangan.

Ana sedih melihat akhawat kesayangan hilang dalam medan. Yang mana disebabkan sebuah penantian yang tak kunjung tiba.

Ya akhawati. Ana tiada kata untuk benar-benar mampu merawat hati antunna. Kerana ana tidak mengetahui rahsia takdir Ilahi.

Dulu, ana selalu diperingatkan oleh akhawat lain. “Pilih ikhwah, ye”

Tapi, ana tidak akan memberi jawapan yang sama. Kerana biasanya bukan kita yang memilih. Tapi kita dipilih.

Jadi, jawapan ana.

“Jika mampu terus menanti, teruslah menanti dengan penuh kesabaran. Letakkan sepenuhnya pergantungan pada Tuhan. Jika hati sudah cukup sakit akibat penantian, yang mengganggu gerak dakwah, terimalah pinangan seorang lelaki yang soleh. Moga Allah berikan kekuatan pada enti untuk terus kuat dalam perjuangan di medan. Bersama atau tanpa suami.”

Akhawati.

Teruslah bersabar.

Teruslah berdoa.

Teruslah bertawakkal.

Moga Allah akan hadiahkan seseorang yang terbaik buat antunna.

Bagi yang sudah atau dalam proses berBM. Bila berkata-kata tentang indahnya BM, mungkin perlu juga menimbang tara perasaan akhawat di sekeliling. Sebab terkadang ada hati yang menangis kesakitan.

Wallahu a’lam.

“Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya. Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu” (65:2-3)

Gallery

When in need

This gallery contains 3 photos.

Thank you Allah that you have made me strong… When I’m going through tough times in my life… And in the end You have always make things okay… Hasbunallahu wa ni’mal wakil

Husnul Khotimah

Alhamdulillah atas kekuatan menulis lagi…

Ahad yang lepas, sedang saya lena berkembara di alam mimpi, handset berbunyi mengganggu tidur. Dalam keadaan mamai-mamai, tengok jam di handset- pukul 2.30 pagi. Nama yang tertera di skrin buatkan hati saya jadi kurang enak.

“Ma??”

Hati saya berdebar-debar menunggu butir bicara ma. Ma dan abah baru je sampai ke Perak petang Ahad tu. Saya pulak terlupa untuk bertanya khabar malamnya. Niat di hati nak call esok pagi. Tapi bila ma telefon pagi-pagi ni, hati terasa satu perasaan yang kurang enak. “ya Allah. Moga dijauhkan daripada sangkaan-sangkaan yang tak best”

“Yu, tok tak dok doh” (Yu, nenek  dah takde).

“Allah. Innalillahi wa inna ilaihi raji’un”

Kenangan takkan terulang

Mungkin ada sesetengah daripada kita yang lahir sudah kehilangan datuk dan nenek tanpa sempat melihat mereka. Tapi bagi saya, Allah bagi kesempatan untuk bertemu dengan keempat-empat mereka, yang setelah kehilangan nenek pada Ahad yang lalu, kini hanya tinggal seorang saja lagi nenek sebelah abah.

Nenek dan saya, mungkin tak banyak kenangan yang dapat saya ingat pada masa saya kecil bersama nenek berbanding abang dan kakak. Tapi satu hal yang saya warisi daripada arwah nenek- perangai saya yang saaaaangat sukakan kucing. Jadi, setiap kali arwah nenek datang ke rumah, pasti saya akan bawak kucing saya datang pada nenek. (Walaupun ma saya akan marah =p)

Kematian adalah tarbiyyah terbaik

Sepanjang saya hidup, saya tak pernah terlibat dalam proses pengurusan jenazah. Seingat saya, jenazah terakhir yang saya lihat wajahnya adalah wajah arwah datuk sebelah abah yang pada masa tu saya dalam darjah 5. Baru balik dari kelas fardhu ain. Sampai di rumah, sepupu saya datang bagitau abah, arwah tenat. Saya yang baru sampai disuruh bersihkan diri dulu sebelum ke rumah arwah datuk (dekat je, sekampung). Tapi bila dah sampai ke rumah datuk, datuk dah dipanggil Ilahi. Dan wajah arwah datuk hanya saya pandang dari jauh.

Kali ni, bila sampai ke rumah nenek, orang ramai dah memenuhi kawasan rumah. Saya lihat ada yang sedang menguruskan keranda, ada yang mempersiapkan tempat mandi jenazah (budak-budak kecik panggil kapal sebab bentuk dia macam kapal. Tapi bila diorang tahu ni tempat untuk mandikan jenazah, semua dah takut nak pergi dekat. Hehe.. budak-budak..).

Ma abah dah sampai dari Perak (Saya pun tak tahu lah abah drive selaju mana.. hmm..). Bila saya masuk ke bilik, abah sedang baca Quran sebelah arwah dan ada seorang sepupu duduk di penjuru bilik. Saya masuk dan duduk di sebelah abah. Wajah arwah ditutup dengan selendang putih. Abah suruh saya tengok wajah arwah tapi hati saya sangat tak kuat. End up, saya keluar dari bilik.

Bila proses untuk memandikan jenazah bermula, terngiang-ngiang kat kepala saya- kematian adalah pengajaran terbaik bagi manusia yang masih hidup. Dan saya rasa, pasti ada tarbiyyah yang Allah sediakan kat sini. Akhirnya, saya pun decide untuk ikut serta.

Ukuran yang sama

Bila saya keluar dari bilik, kakak ipar panggil dan suruh saya jahitkan kain kapan yang dah digunting. Melihat kain di tangan, hati saya rasa sayu.

Sehebat mana pun manusia di dunia, sekaya mana pun manusia dan hartanya, atau pun sesukar mana pun perjalanan hidup yang dilalui, bila mana dia adalah seorang Muslim, pengakhirannya tetap menggunakan ukuran yang sama. Ukuran kain kapan yang sama, ukuran kapas dengan cara yang sama. Dan yang pasti, ukuran di kehidupan sana adalah tetap sama. Ukuran taqwa.

Hidup untuk mati

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanya kepada Kami kamu dikembalikan.” (Al-Ankabut: 57)

Banyak je artikel menegaskan tentang hidup di dunia yang sekejap je. Tapi manusia, selalu lupa. Antara “TER”lupa atau “ME”lupa”kan”.

Bila sebut tentang kematian, sebuah kematian sebenarnya adalah jejak langkah pertama kita menuju ke perkampungan yang asal. Kehidupan yang sebenar. Saya teringat perkongsian daripada seseorang kepada saya tentang apa yang beliau pandang tentang makna kehidupan di dunia. Kepada yang sudi berkongsi, jika terbaca entry ni, saya terus gunakan ayat asal yang saya yakin lebih tepat tanpa perlukan olahan.

Kita selalu dengar ungkapan ini di mana-mana “Hidup ini sementara dan tidak kekal”. Bila kita dengar ungkapan tersebut, reaksi biasa masyarakat lebih tertumpu kepada info yang mereka sudah sedia tahu iaitu tentang kematian dan kehidupan di akhirat kelak. Namun jika diteliti betul-betul, the same individual yang lahir ke dunia akan DENGAN SENDIRINYA meninggalkan satu persatu perkara/perbuatan bila meningkat usia tanpa paksaan.

Contoh: kita tidak lagi bermain kejar mengejar dan melompat sana sini pada usia remaja. Kenapa tidak? kan masih individu yg sama… nenek yang berusia 70tahun tidak lagi berminat untuk pergi menonton wayang. Kenapa tidak?? kan masih individu yg sama.. saya lihat ini berlaku kerana, bermain kejar mengejar, melompat dan menonton wayang itu BUKAN TUJUAN HIDUP kita dan ia tidak membantu kita untuk selamat di depan Allah kelak. Jadi saya faham bahawa, mana-mana perbuatan atau perkara yang tidak menjadi tujuan hidup itu adalah sia-sia dan patut ditinggalkan segera. Mana-mana individu yang terperangkap dalam mana-mana fasa perbuatan/tabiat yang sia-sia sehingga ia mati, adalah rugi…

Betul. Tujuan hidup yang Allah dah gariskan dalam kalamNya. Untuk beribadah kepada Allah. Dakwat yang telah kering dan pena telah diangkat. Beribadah kepada Allah dalam mempersiapkan bekalan untuk menghadapi hari selepas kematian. Hidup untuk mati.

Jenazah yang bagaimana?

Bila proses memandikan jenazah dimulakan, saya mula terfikir-fikir. Mati adalah rahsia Allah. Kita tak tahu bila kita akan mati dan sebenarnya tak perlu pun kita fikir-fikirkan tarikh kematian kita. Apa yang perlu kita fikirkan adalah persiapan apa yang perlu kita sediakan dan jenazah yang bagaimana yang ingin kita tinggalkan nanti.

Teringat kisah “Tanah Kubur” di Astro- feberet ma dan kakak saya. Jenazah yang ditinggalkan dalam bermacam-macam keadaan. Manusia bila hidup di dunia, boleh memilih untuk tak memperlihatkan sifat sebenar jika mahu. Boleh bermuka-muka. Boleh memilih untuk nampak baik. Tapi yang Allah lebih tahu apa sebenarnya yang terkandung dalam hati.

Bila roh sudah ditarik dari badan, kita sudah tiada kawalan tentang apa yang akan terjadi pada jasad tanpa roh. Wallahu a’lam. Mungkin Allah masih menutup keaiban kita, dosa-dosa kita tanpa terpamer pada jasad yang ditinggalkan, alhamdulillah. Tapi, jika keaiban itu diperlihatkan, akan muncul berbagai-bagai tanggapan di hati manusia. Nauzubillahi min zalik -Kami berlindung dengan Allah daripada perkara (perkara buruk) tersebut (daripada menimpa kami).

Tadi baru terbaca di wall seseorang tentang bagaimana jenazah seseorang yang terlibat dalam kemalangan ngeri kelihatan seakan-akan tersenyum. Dan dari kereta yang hancur tersebut, yang kedengaran adalah alunan bacaan Al-Quran. Subhanallah.

Mungkin kita sudah patut mula berfikir. Dalam setiap apa yang kita lakukan seharian, jika ini adalah yang terakhir, biarlah perlakuan yang terakhir itu mampu membenihkan buah-buah amal.

Bukan berakhir di konsert-konsert memuja artis-artis, bukan berakhir ketika bercanda ria menjana dosa bersama teman yang tidak halal, bukan berakhir ketika leka menyiapkan kerja-kerja di pejabat atau sekolah sedangkan solat fardhu masih ditangguh-tangguhkan, bukan berakhir di medan rempit dan drift yang seolah-olah menjemput kematian sendiri, bukan berakhir dalam panggung wayang menonton cerita-cerita yang melalaikan, bukan berakhir pada gelak tawa mengumpat perihal saudara-saudara Muslim sendiri.

Bila kita memilih untuk terlibat dalam proses pengurusan jenazah, bukan bermakna kita memilih menjadi orang yang mencanang-canangkan keaiban jenazah. Tapi kita sebenarnya memilih untuk mendapat tarbiyyah dari Allah. Memilih untuk menjadi orang yang mula berfikir tentang diri-sendiri. Jenazah bagaimana yang ingin aku tinggalkan.

Bekalan terakhir

Melihat wajah arwah nenek buat kali terakhir, ingin sekali saya berdoa sebanyak mungkin moga ada pahala yang mampu disedekahkan. Tapi saya teringat kata-kata Rasulullah s.a.w.

“Apabila seseorang anak Adam itu mati, segala amalannya akan terputus melainkan tiga perkara: Sedekah jariah yang sentiasa mengalir pahalanya, ilmu yang dimanfaatkan orang lain, doa anak yang soleh” (Riwayat Muslim)

Pada saat roh sudah meninggalkan jasad, bekal amal arwah dah terputus melainkan 3 perkara ini, dan saya sebagai cucunya tak terpilih untuk menjadi penyumbang utama penambahan amal. Itu kalau buat nenek. Tapi bila tiba giliran saya sendiri, pilihan apa yang tinggal sebagai penyambung amal?

1) Sedekah jariah yang sentiasa mengalir pahalanya

Mulai sekarang, mungkin kita sudah patut mula berfikir tentang kematian. Bekalan apa yang mampu kita sediakan buat penyambung amal. Amal yang paling mudah untuk kita lakukan. Sedekah jariah- pastikan dengan niat yang ikhlas. Bukan menunjuk-nunjuk. Bukan ingin dihebah-hebahkan.

“Oh, Datuk Yaya derma rmXXX ribu kat kampung ni untuk bina masjid”

“Sari berita penting- Tan Sri Yiyi telah menyumbangkan rmXXX juta kepada rumah anak-anak yatim Z”

“Ni, saya nak bagi derma kat sekolah U ni sebanyak rmXXXribu,” kata Encik Yoyo sambil mengusap-usap rambutnya.

Memberi dengan tangan kanan, biarlah tangan kiri tak mengetahui. Jika mampu untuk bersedekah dalam jumlah yang banyak, tafadhol. Tapi jika kita hanya lah orang biasa dengan pendapatan biasa, sedekahlah sekadar yang termampu.

Paling mudah bagi yang selalu pergi ke masjid. (Hari ni hari Jumaat, bagi yang lelaki, pergi solat Jumaat tak?) RM1 sekali / sehari pun dah memadai. Mungkin dengan seringgit kita tu melengkapkan jumlah tabung masjid untuk bina toilet baru. Yang akan berkhidmat pada masyarakat dan akan digunakan berterus-terusan. Dan amal kita terus berjalan. Walaupun setelah kita meninggal dunia.

2) Ilmu yang dimanfaatkan orang lain

Jika Allah bagi kelebihan pada percakapan, sebarkanlah kata-kata yang baik. Jika Allah bagi kelebihan pada penulisan, teruslah menulis coretan tinta yang bermanfaat. Jika Allah bagi kelebihan pada seni lukisan, teruslah melukis karya-karya yang islami. Jika Allah bagi kelebihan pada seni fotografi, teruslah mengambil gambar-gambar indah ciptaan Allah yang Maha Hebat buat renungan manusia.

Setiap manusia, Allah dah tetapkan kelebihan tertentu untuk kita manfaatkan sebaik mungkin. Yang tinggal adalah untuk kita sendiri kenal pasti dan teroka kelebihan yang Allah dah berikan. Lakukan lah apa saja untuk manfaatkan kelebihan ni, bukan untuk orang lain. Tapi untuk diri kita sendiri. Moga apa yang kita sebarkan akan menjadi ilmu yang bermanfaat buat diri kita dan orang lain. Dan ilmu tu akan terus di”share”kan pada yang lain pulak. Moga penerusan “sharing” ini akan membawa amal berterusan pada kita walaupun setelah kita meninggal dunia.

Bagi yang belum mengenalpasti kelebihan diri, sekurang-kurangnya kita mengambil posisi dalam menjadi orang yang men”share”kan ilmu yang bermanfaat. Biar orang lain pulak yang mengambil manfaatkan terhadap apa yang kita “share”kan.

Facebook. Butang share yang sangat mudah untuk diclick. Tapi kena tengok jugak apa yang kita sharekan. Jika bermanfaat, alhamdulillah. Sekurang-kurangnya bila kita meninggal nanti, ada ilmu yang boleh terus dikongsikan pada orang lain pulak.

Tapi, jika sebaliknya, jika wall kita penuh dengan gosip-gosip, penuh dengan gambar-gambar yang mengaibkan, penuh dengan cercaan dan cacian pada orang lain, wallahu a’lam. Moga kita tak tergolong dalam orang-orang yang menyebarkan keburukan. Dan jika keburukan tersebar melalui kita, mungkin proses penjanaan dosa kita akan tetap berterusan biarpun setelah kita meninggal dunia.

p.s: Ilmu atau kata-kata yang dikongsi sangat bagus. Tapi jangan sekadar berkongsi tanpa beramal dengannya.

“Barangsiapa yang menetapkan sunnah-hasanah (kebiasaan yang baik) lalu ia diamalkan, maka ia mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya tanpa dikurangi sedikitpun. Dan barangsiapa yang menetapkan dalam Islam satu sunnah-sayyi’ah (kebiasaan yang buruk) lalu ada yang mengamalkannya, maka ia memperoleh dosa seperti yang mengerjakannya tanpa dikurangkan sedikitpun.” (HR Muslim dari Jabir bin Abdillah, sahih)

Jadi, fikir-fikirkanlah apa yang kita amalkan dan sebarkan.

3) Doa anak yang soleh

Alhamdulillah. Nenek ada anak-anak yang ramai termasuk ma. Moga doa ma mampu menjadi penambah amal pada arwah nenek.

Tapi, bagi saya sendiri buat masa sekarang, ini adalah ruang kosong terbesar dalam pilihan penyambung amal. Kahwin belum, anak apatah lagi. Tapi, moga usaha-usaha ke arah itu yang dikira. Allahumma amin.

Bagi yang dah mempunyai anak, didiklah anak-anak agar tergolong dalam anak-anak yang soleh dan solehah. Yang akan sentiasa mendoakan keselamatan kita bila kita meninggal satu hari nanti. Jangan biarkan anak-anak leka dan alpa dengan keseronokkan hidup di dunia hingga menjadi penambah dosa bagi kita walaupun setelah kita meninggal dunia nanti.

Husnul Khotimah- mengharapkan pengakhiran yang terbaik

Bila roh telah diangkat dari jasad, bila amalan telah terputus melainkan tiga talian hayat, bila sudah berada di alam barzakh, bila kesedaran hakikat sebenar tentang kehidupan sudah terbit, kita mungkin dan terlambat. Dah tak dibenarkan bangkit kembali untuk tebus kesilapan-kesilapan yang lalu. Dah tak dibenarkan bangun semula untuk membetulkan anak-anak yang makin leka dan hanyut dalam arus duniawi.

Tapi, kita masih belum terlambat. Masih bernafas, masih punya ruang untuk perbaiki kesilapan dan kekurangan diri. Masih berpeluang untuk menyediakan bekalan dan masih berkesempatan untuk mempersiap sediakan tiga talian hayat yang ada.

Jangan bertangguh-tangguh, mulakan sekarang.

Bila roh diangkat dari jasad, moga berakhir dengan kalimah syadahah. Moga pengakhiran adalah yang terbaik. Husnul Khotimah.

Allahumma amin.

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam surga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Al-Imran: 185)

Baitul Syifa’ 1: Pemuda itu dan Delisa

Hospital- Adalah salah satu tempat yang saya paling suka nak pergi. Suka persekitarannya, suka tengok orang pakai baju doktor (dulu masa kecik2 main doktor2… =p), suka tengok senarai chart yang tertampal di dinding-dinding hospital, suka tengok peralatan hospital, suka naik lif hospital, suka makan aiskrim kat dalam hospital yang dijual kat tingkat bawah HSNZ (dulu2. Sekarang tak pasti dijual lagi atau tak). Paling penting, suka bau UBAT-UBATAN. Heheh! Jadi, adakah sebab ni saya memilih profesion pharmacist? Kenapa bukan doktor? (Emm.. cerita ni simpan dulu)

Saya dan hospital. Menyimpan banyak cerita. Suka dan duka. Pernah masuk hospital, pernah melawat orang di hospital, pernah melihat pelbagai kisah-kisah di hospital. Kemalangan, sakit jantung, stroke, diabetes, dll. Pernah berada di wad ICU, melihat orang-orang yang baru kemalangan dengan pelbagai jenis kecederaan, pernah melihat seorang bapa yang mendukung anaknya yang lemas di Pantai Baru Buruk; kisah tenang, kisah gembira, kisah cemas, kisah kesedihan.

Kisah Seorang Pemuda

Hari Jumaat lepas, saya menemani kakak melawat bekas pelajarnya di HSNZ. Walaupun awalnya hanya berniat duduk kat bawah sebab nak jaga Aisya, akhirnya naik jugak ke tingkat 4 atas sebab-sebab tertentu.

Wad pesakit lelaki. Mencari-cari nama student kakak di board bahagian luar, ketemu no. katil. Masuk ke dalam wad.

Sementara kakak saya berjalan di depan, saya turut memandang sekeliling. Wad dipenuhi pesakit-pesakit lelaki dengan pelbagai rupa dan suasana.

“Kak Da. Tu no 14X!”

Di situ berkumpul beberapa orang yang saya kira ahli keluarganya. Mak, ayah, abang, kakak, dan 2 orang anak kecil serta 2 remaja perempuan yang pastinya teman sekolah.

Saya hanya tahu si pemuda terlibat dalam kemalangan jalan raya tanpa mengetahui apa kecederaannya. Dari jauh, saya lihat hanya sedikit calar di wajah. Kami mendekati katilnya dengan senyuman. Dan saya tergamam.

Wajah apa yang saya patut pamerkan? Terkejut? Takut? Simpati? Sedih? Atau maintainkan senyuman yang ada.

Kaki yang berbalut. Ye, berbalut bukan bersimen. Ye, berbalut di sebelah kakinya, sementara sebelah lagi bersimen. Ye, berbalut di sebelah kakinya yang ada hanya di paras lutut ke atas. Sebelah kakinya sudah tiada.

Pemuda itu dan Delisa

Sehari sebelumnya saya baru selesai menonton sebuah filem dari seberang yang sedang hangat di”share”kan di FB. “Hafalan Shalat Delisa”. Sebuah cerita yang cukup menyentuh hati. Saya tak nak bercerita tentang filem tersebut. Boleh tonton sendiri. Tapi yang ingin saya ceritakan adalah bila melihat pemuda itu, saya terbayangkan Delisa.

Keadaan yang sama. Pemuda itu dan Delisa, kehilangan sebelah kakinya selepas satu tragedi.

Tapi ada bezanya.

Delisa. Hanya berusia mungkin sekitar 5 tahun. Yang masih belum benar-benar memahami realiti kehidupan. Sampaikan dia boleh terfikir bahawa kakinya tiada kerana hilang dihanyutkan air Tsunami. Sedangkan sebenarnya kakinya dipotong akibat cedera yang mungkin mengundang jangkitan kuman. Dan paling penting, itu adalah kisah sebuah filem. Kisah sebuah novel, yang mungkin diadaptasi dari pelbagai kisah sebenar selepas Tsunami. Wallahu a’lam.

Tapi itu adalah sebuah kisah indah tentang kesabaran yang tak saya nampak di depan mata saya sendiri.

Pemuda itu. Berusia 20 tahun. Sebelah kakinya hancur akibat kemalangan jalan raya dan sebelah lagi terseliuh dan masih belum mampu bergerak.

Ingin sekali saya katakan padanya, “Tengok lah cerita Hafalan Shalat Delisa. Sebelum Tsunami, dia main bola. Lepas Tsunami, dia kehilangan ibunya, ketiga-tiga orang kakaknya dan sebelah kakinya. Tapi dia masih bermain bola.”

Tapi itu adalah kehidupan kanak-kanak yang masih kecil. Yang mungkin belum berfikir jauh.

Tapi pemuda itu sudah cukup dewasa. Yang mungkin sudah memikirkan tentang masa depannya selepas ini. Dengan hanya sebelah kaki. Kehidupan macam mana yang akan dia lalui.

Mungkin dulu dia seorang olahragawan, mungkin dulu dia seorang pemain bola sepak, mungkin dulu dia seorang pemimpin di sekolah, mungkin dulu dia yang selalu menolong ayahnya di kebun. Pelbagai kemungkinan… Tapi kini…

Kenapa Dia?

Pemuda itu. Bila kami mendekati, dia tersenyum mesra.

“Teacher Farida. Kenapa datang. Malu saya,” katanya sambil tergelak.

Sepanjang perbualan, dia tetap tersenyum mesra. Sesekali mengelap wajahnya yang berpeluh. Tiada tangisan. Mungkin sudah kekeringan. Walaupun saya masih dapat lihat sisa-sisa kesedihan pada wajah mak, ayah, kakak, dan abang, tapi di wajahnya tak terpamer sedikitpun kesedihan.

“Kalaulah aku di tempatnya…” itu yang terdetik di hati saya. Air mata yang ditahan. Mana mungkin saya nak menjadi orang yang menambahkan kesedihan kepada mereka.

Kenapa dia? Pemuda yang saya lihat adalah seorang pemuda yang baik, hormat pada kakak saya sebagai gurunya, yang pastinya masih ingin menyambung pelajarannya, bukanlah jenis budak sekolah yang nakal. Yang masih boleh tersenyum dalam kesakitan dan kesedihan yang mungkin dipendam, yang masih boleh bergurau mesra pada rakan-rakannya tanpa sedikitpun meminta simpati daripada orang lain.

Kenapa dia? Kenapa bukan mat-mat rempit di jalanan, peragut-peragut di atas motor, pencuri dan perompak, atau orang-orang lain yang banyak menyusahkan kehidupan manusia lain di dunia. Kenapa bukan mereka?

Barulah saya faham, Allah itu Maha Penyayang. Allah hanya menimpakan sesuatu ujian dan bebanan kepada orang yang mampu memikulnya. Dan saya pasti pemuda itu mampu. Bukan mat-mat rempit, bukan peragut, bukan pencuri atau perompak, tapi dia.

Harga Sepasang Kaki

“Teacher, rasa macam kaki tu ada lagi. Boleh gerak-gerak. Rasa nak sentuh je.”

Pemuda itu telah kehilangan sebelah kakinya. Yang tak akan diperoleh kembali.

Dan kita. Kita masih memiliki sepasang kaki. Dan kini saya ingin diri saya dan pembaca tanyakan pada diri sendiri. Sepasang kaki yang masih berfungsi ini, sepasang kaki yang masih belum ditarik nikmatnya oleh Ilahi, sepasang kaki ini sudah melangkah ke mana pada hari ini? Sudah melangkah ke mana sepanjang hidup ini?

Adakah ke shopping mall membuang duit dan waktu? Adakah ke pusat-pusat karaoke? Adakah ke konsert2? Adakah keluar berdating di tepi-tepi pantai? Adakah ke panggung wayang? Adakah ke restoren-restoren untuk berborak kosong? Atau duduk di depan laptop menghadap facebook 24 jam?

Atau, adakah ke majlis-majlis ilmu? Atau mengimarahkan masjid? Atau menziarahi sahabat-sahabat? Atau menolong ibubapa di rumah atau di kebun-kebun? Atau ke tempat kerja atau tempat belajar dengan niat beribadah kepada Allah?

Harga sepasang kaki itu tak ternilai. Walau diberi duit 10juta pun, kalau sudah ditarik nikmatnya oleh Allah, takkan dapat mengembalikan sepasang kaki itu dalam keadaan asal. Duit takkan pernah dapat membeli setiap nikmat anggota yang Allah dah berikan.

Jangan biarkan sepasang kaki itu menjadi saksi pertambahan dosa-dosa kita. Jangan biarkan sepasang kaki itu menjadi saksi lubuk-lubuk dosa mana pernah kita kunjungi. Kerana di akhirat nanti, bibir kita akan didiamkan. Dan sepasang kaki itu yang akan berbicara.

Jadi, kali ini marilah kita kembali muhasabah diri. Biarlah setiap langkahan kita selepas ini adalah langkahan yang mampu membenihkan pahala-pahala pemberat amal, yang mampu menjadikan kita insan-insan yang lebih bertaqwa. Dan setiap langkahan ini moga mampu menapak lebih dekat ke jalan menuju Allah. Mulakan sekarang. Kerana kita tak pasti selama mana lagi nikmat sepasang kaki ini akan kekal bersama.

Moga Redha Bersamanya

Pemuda itu. Dilihat cukup tabah. Pastilah kerana sabar dan redha. Moga redha Allah juga bersamanya. Moga Allah melindungi dan menolongnya. Moga sebelah kaki yang hilang itu menjadi asbab diangkat darjatnya di akhirat sana.

Mungkin dengan kehilangan ini, Allah memelihara pemuda itu daripada melangkah dan terjebak ke dalam dunia yang penuh tipu daya.

Hidup di dunia benar-benar adalah sementara. Indah mana pun kehidupan, hanya fatamorgana semata.

Biarlah kita sakit, sedih, derita, kekurangan, kesempitan dalam kehidupan di dunia. Moga di akhirat sana kita akan menjadi Mukmin yang paling bahagia. Amin.

Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan (Asy-Syarh:6)