Husnul Khotimah

Alhamdulillah atas kekuatan menulis lagi…

Ahad yang lepas, sedang saya lena berkembara di alam mimpi, handset berbunyi mengganggu tidur. Dalam keadaan mamai-mamai, tengok jam di handset- pukul 2.30 pagi. Nama yang tertera di skrin buatkan hati saya jadi kurang enak.

“Ma??”

Hati saya berdebar-debar menunggu butir bicara ma. Ma dan abah baru je sampai ke Perak petang Ahad tu. Saya pulak terlupa untuk bertanya khabar malamnya. Niat di hati nak call esok pagi. Tapi bila ma telefon pagi-pagi ni, hati terasa satu perasaan yang kurang enak. “ya Allah. Moga dijauhkan daripada sangkaan-sangkaan yang tak best”

“Yu, tok tak dok doh” (Yu, nenek  dah takde).

“Allah. Innalillahi wa inna ilaihi raji’un”

Kenangan takkan terulang

Mungkin ada sesetengah daripada kita yang lahir sudah kehilangan datuk dan nenek tanpa sempat melihat mereka. Tapi bagi saya, Allah bagi kesempatan untuk bertemu dengan keempat-empat mereka, yang setelah kehilangan nenek pada Ahad yang lalu, kini hanya tinggal seorang saja lagi nenek sebelah abah.

Nenek dan saya, mungkin tak banyak kenangan yang dapat saya ingat pada masa saya kecil bersama nenek berbanding abang dan kakak. Tapi satu hal yang saya warisi daripada arwah nenek- perangai saya yang saaaaangat sukakan kucing. Jadi, setiap kali arwah nenek datang ke rumah, pasti saya akan bawak kucing saya datang pada nenek. (Walaupun ma saya akan marah =p)

Kematian adalah tarbiyyah terbaik

Sepanjang saya hidup, saya tak pernah terlibat dalam proses pengurusan jenazah. Seingat saya, jenazah terakhir yang saya lihat wajahnya adalah wajah arwah datuk sebelah abah yang pada masa tu saya dalam darjah 5. Baru balik dari kelas fardhu ain. Sampai di rumah, sepupu saya datang bagitau abah, arwah tenat. Saya yang baru sampai disuruh bersihkan diri dulu sebelum ke rumah arwah datuk (dekat je, sekampung). Tapi bila dah sampai ke rumah datuk, datuk dah dipanggil Ilahi. Dan wajah arwah datuk hanya saya pandang dari jauh.

Kali ni, bila sampai ke rumah nenek, orang ramai dah memenuhi kawasan rumah. Saya lihat ada yang sedang menguruskan keranda, ada yang mempersiapkan tempat mandi jenazah (budak-budak kecik panggil kapal sebab bentuk dia macam kapal. Tapi bila diorang tahu ni tempat untuk mandikan jenazah, semua dah takut nak pergi dekat. Hehe.. budak-budak..).

Ma abah dah sampai dari Perak (Saya pun tak tahu lah abah drive selaju mana.. hmm..). Bila saya masuk ke bilik, abah sedang baca Quran sebelah arwah dan ada seorang sepupu duduk di penjuru bilik. Saya masuk dan duduk di sebelah abah. Wajah arwah ditutup dengan selendang putih. Abah suruh saya tengok wajah arwah tapi hati saya sangat tak kuat. End up, saya keluar dari bilik.

Bila proses untuk memandikan jenazah bermula, terngiang-ngiang kat kepala saya- kematian adalah pengajaran terbaik bagi manusia yang masih hidup. Dan saya rasa, pasti ada tarbiyyah yang Allah sediakan kat sini. Akhirnya, saya pun decide untuk ikut serta.

Ukuran yang sama

Bila saya keluar dari bilik, kakak ipar panggil dan suruh saya jahitkan kain kapan yang dah digunting. Melihat kain di tangan, hati saya rasa sayu.

Sehebat mana pun manusia di dunia, sekaya mana pun manusia dan hartanya, atau pun sesukar mana pun perjalanan hidup yang dilalui, bila mana dia adalah seorang Muslim, pengakhirannya tetap menggunakan ukuran yang sama. Ukuran kain kapan yang sama, ukuran kapas dengan cara yang sama. Dan yang pasti, ukuran di kehidupan sana adalah tetap sama. Ukuran taqwa.

Hidup untuk mati

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanya kepada Kami kamu dikembalikan.” (Al-Ankabut: 57)

Banyak je artikel menegaskan tentang hidup di dunia yang sekejap je. Tapi manusia, selalu lupa. Antara “TER”lupa atau “ME”lupa”kan”.

Bila sebut tentang kematian, sebuah kematian sebenarnya adalah jejak langkah pertama kita menuju ke perkampungan yang asal. Kehidupan yang sebenar. Saya teringat perkongsian daripada seseorang kepada saya tentang apa yang beliau pandang tentang makna kehidupan di dunia. Kepada yang sudi berkongsi, jika terbaca entry ni, saya terus gunakan ayat asal yang saya yakin lebih tepat tanpa perlukan olahan.

Kita selalu dengar ungkapan ini di mana-mana “Hidup ini sementara dan tidak kekal”. Bila kita dengar ungkapan tersebut, reaksi biasa masyarakat lebih tertumpu kepada info yang mereka sudah sedia tahu iaitu tentang kematian dan kehidupan di akhirat kelak. Namun jika diteliti betul-betul, the same individual yang lahir ke dunia akan DENGAN SENDIRINYA meninggalkan satu persatu perkara/perbuatan bila meningkat usia tanpa paksaan.

Contoh: kita tidak lagi bermain kejar mengejar dan melompat sana sini pada usia remaja. Kenapa tidak? kan masih individu yg sama… nenek yang berusia 70tahun tidak lagi berminat untuk pergi menonton wayang. Kenapa tidak?? kan masih individu yg sama.. saya lihat ini berlaku kerana, bermain kejar mengejar, melompat dan menonton wayang itu BUKAN TUJUAN HIDUP kita dan ia tidak membantu kita untuk selamat di depan Allah kelak. Jadi saya faham bahawa, mana-mana perbuatan atau perkara yang tidak menjadi tujuan hidup itu adalah sia-sia dan patut ditinggalkan segera. Mana-mana individu yang terperangkap dalam mana-mana fasa perbuatan/tabiat yang sia-sia sehingga ia mati, adalah rugi…

Betul. Tujuan hidup yang Allah dah gariskan dalam kalamNya. Untuk beribadah kepada Allah. Dakwat yang telah kering dan pena telah diangkat. Beribadah kepada Allah dalam mempersiapkan bekalan untuk menghadapi hari selepas kematian. Hidup untuk mati.

Jenazah yang bagaimana?

Bila proses memandikan jenazah dimulakan, saya mula terfikir-fikir. Mati adalah rahsia Allah. Kita tak tahu bila kita akan mati dan sebenarnya tak perlu pun kita fikir-fikirkan tarikh kematian kita. Apa yang perlu kita fikirkan adalah persiapan apa yang perlu kita sediakan dan jenazah yang bagaimana yang ingin kita tinggalkan nanti.

Teringat kisah “Tanah Kubur” di Astro- feberet ma dan kakak saya. Jenazah yang ditinggalkan dalam bermacam-macam keadaan. Manusia bila hidup di dunia, boleh memilih untuk tak memperlihatkan sifat sebenar jika mahu. Boleh bermuka-muka. Boleh memilih untuk nampak baik. Tapi yang Allah lebih tahu apa sebenarnya yang terkandung dalam hati.

Bila roh sudah ditarik dari badan, kita sudah tiada kawalan tentang apa yang akan terjadi pada jasad tanpa roh. Wallahu a’lam. Mungkin Allah masih menutup keaiban kita, dosa-dosa kita tanpa terpamer pada jasad yang ditinggalkan, alhamdulillah. Tapi, jika keaiban itu diperlihatkan, akan muncul berbagai-bagai tanggapan di hati manusia. Nauzubillahi min zalik -Kami berlindung dengan Allah daripada perkara (perkara buruk) tersebut (daripada menimpa kami).

Tadi baru terbaca di wall seseorang tentang bagaimana jenazah seseorang yang terlibat dalam kemalangan ngeri kelihatan seakan-akan tersenyum. Dan dari kereta yang hancur tersebut, yang kedengaran adalah alunan bacaan Al-Quran. Subhanallah.

Mungkin kita sudah patut mula berfikir. Dalam setiap apa yang kita lakukan seharian, jika ini adalah yang terakhir, biarlah perlakuan yang terakhir itu mampu membenihkan buah-buah amal.

Bukan berakhir di konsert-konsert memuja artis-artis, bukan berakhir ketika bercanda ria menjana dosa bersama teman yang tidak halal, bukan berakhir ketika leka menyiapkan kerja-kerja di pejabat atau sekolah sedangkan solat fardhu masih ditangguh-tangguhkan, bukan berakhir di medan rempit dan drift yang seolah-olah menjemput kematian sendiri, bukan berakhir dalam panggung wayang menonton cerita-cerita yang melalaikan, bukan berakhir pada gelak tawa mengumpat perihal saudara-saudara Muslim sendiri.

Bila kita memilih untuk terlibat dalam proses pengurusan jenazah, bukan bermakna kita memilih menjadi orang yang mencanang-canangkan keaiban jenazah. Tapi kita sebenarnya memilih untuk mendapat tarbiyyah dari Allah. Memilih untuk menjadi orang yang mula berfikir tentang diri-sendiri. Jenazah bagaimana yang ingin aku tinggalkan.

Bekalan terakhir

Melihat wajah arwah nenek buat kali terakhir, ingin sekali saya berdoa sebanyak mungkin moga ada pahala yang mampu disedekahkan. Tapi saya teringat kata-kata Rasulullah s.a.w.

“Apabila seseorang anak Adam itu mati, segala amalannya akan terputus melainkan tiga perkara: Sedekah jariah yang sentiasa mengalir pahalanya, ilmu yang dimanfaatkan orang lain, doa anak yang soleh” (Riwayat Muslim)

Pada saat roh sudah meninggalkan jasad, bekal amal arwah dah terputus melainkan 3 perkara ini, dan saya sebagai cucunya tak terpilih untuk menjadi penyumbang utama penambahan amal. Itu kalau buat nenek. Tapi bila tiba giliran saya sendiri, pilihan apa yang tinggal sebagai penyambung amal?

1) Sedekah jariah yang sentiasa mengalir pahalanya

Mulai sekarang, mungkin kita sudah patut mula berfikir tentang kematian. Bekalan apa yang mampu kita sediakan buat penyambung amal. Amal yang paling mudah untuk kita lakukan. Sedekah jariah- pastikan dengan niat yang ikhlas. Bukan menunjuk-nunjuk. Bukan ingin dihebah-hebahkan.

“Oh, Datuk Yaya derma rmXXX ribu kat kampung ni untuk bina masjid”

“Sari berita penting- Tan Sri Yiyi telah menyumbangkan rmXXX juta kepada rumah anak-anak yatim Z”

“Ni, saya nak bagi derma kat sekolah U ni sebanyak rmXXXribu,” kata Encik Yoyo sambil mengusap-usap rambutnya.

Memberi dengan tangan kanan, biarlah tangan kiri tak mengetahui. Jika mampu untuk bersedekah dalam jumlah yang banyak, tafadhol. Tapi jika kita hanya lah orang biasa dengan pendapatan biasa, sedekahlah sekadar yang termampu.

Paling mudah bagi yang selalu pergi ke masjid. (Hari ni hari Jumaat, bagi yang lelaki, pergi solat Jumaat tak?) RM1 sekali / sehari pun dah memadai. Mungkin dengan seringgit kita tu melengkapkan jumlah tabung masjid untuk bina toilet baru. Yang akan berkhidmat pada masyarakat dan akan digunakan berterus-terusan. Dan amal kita terus berjalan. Walaupun setelah kita meninggal dunia.

2) Ilmu yang dimanfaatkan orang lain

Jika Allah bagi kelebihan pada percakapan, sebarkanlah kata-kata yang baik. Jika Allah bagi kelebihan pada penulisan, teruslah menulis coretan tinta yang bermanfaat. Jika Allah bagi kelebihan pada seni lukisan, teruslah melukis karya-karya yang islami. Jika Allah bagi kelebihan pada seni fotografi, teruslah mengambil gambar-gambar indah ciptaan Allah yang Maha Hebat buat renungan manusia.

Setiap manusia, Allah dah tetapkan kelebihan tertentu untuk kita manfaatkan sebaik mungkin. Yang tinggal adalah untuk kita sendiri kenal pasti dan teroka kelebihan yang Allah dah berikan. Lakukan lah apa saja untuk manfaatkan kelebihan ni, bukan untuk orang lain. Tapi untuk diri kita sendiri. Moga apa yang kita sebarkan akan menjadi ilmu yang bermanfaat buat diri kita dan orang lain. Dan ilmu tu akan terus di”share”kan pada yang lain pulak. Moga penerusan “sharing” ini akan membawa amal berterusan pada kita walaupun setelah kita meninggal dunia.

Bagi yang belum mengenalpasti kelebihan diri, sekurang-kurangnya kita mengambil posisi dalam menjadi orang yang men”share”kan ilmu yang bermanfaat. Biar orang lain pulak yang mengambil manfaatkan terhadap apa yang kita “share”kan.

Facebook. Butang share yang sangat mudah untuk diclick. Tapi kena tengok jugak apa yang kita sharekan. Jika bermanfaat, alhamdulillah. Sekurang-kurangnya bila kita meninggal nanti, ada ilmu yang boleh terus dikongsikan pada orang lain pulak.

Tapi, jika sebaliknya, jika wall kita penuh dengan gosip-gosip, penuh dengan gambar-gambar yang mengaibkan, penuh dengan cercaan dan cacian pada orang lain, wallahu a’lam. Moga kita tak tergolong dalam orang-orang yang menyebarkan keburukan. Dan jika keburukan tersebar melalui kita, mungkin proses penjanaan dosa kita akan tetap berterusan biarpun setelah kita meninggal dunia.

p.s: Ilmu atau kata-kata yang dikongsi sangat bagus. Tapi jangan sekadar berkongsi tanpa beramal dengannya.

“Barangsiapa yang menetapkan sunnah-hasanah (kebiasaan yang baik) lalu ia diamalkan, maka ia mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya tanpa dikurangi sedikitpun. Dan barangsiapa yang menetapkan dalam Islam satu sunnah-sayyi’ah (kebiasaan yang buruk) lalu ada yang mengamalkannya, maka ia memperoleh dosa seperti yang mengerjakannya tanpa dikurangkan sedikitpun.” (HR Muslim dari Jabir bin Abdillah, sahih)

Jadi, fikir-fikirkanlah apa yang kita amalkan dan sebarkan.

3) Doa anak yang soleh

Alhamdulillah. Nenek ada anak-anak yang ramai termasuk ma. Moga doa ma mampu menjadi penambah amal pada arwah nenek.

Tapi, bagi saya sendiri buat masa sekarang, ini adalah ruang kosong terbesar dalam pilihan penyambung amal. Kahwin belum, anak apatah lagi. Tapi, moga usaha-usaha ke arah itu yang dikira. Allahumma amin.

Bagi yang dah mempunyai anak, didiklah anak-anak agar tergolong dalam anak-anak yang soleh dan solehah. Yang akan sentiasa mendoakan keselamatan kita bila kita meninggal satu hari nanti. Jangan biarkan anak-anak leka dan alpa dengan keseronokkan hidup di dunia hingga menjadi penambah dosa bagi kita walaupun setelah kita meninggal dunia nanti.

Husnul Khotimah- mengharapkan pengakhiran yang terbaik

Bila roh telah diangkat dari jasad, bila amalan telah terputus melainkan tiga talian hayat, bila sudah berada di alam barzakh, bila kesedaran hakikat sebenar tentang kehidupan sudah terbit, kita mungkin dan terlambat. Dah tak dibenarkan bangkit kembali untuk tebus kesilapan-kesilapan yang lalu. Dah tak dibenarkan bangun semula untuk membetulkan anak-anak yang makin leka dan hanyut dalam arus duniawi.

Tapi, kita masih belum terlambat. Masih bernafas, masih punya ruang untuk perbaiki kesilapan dan kekurangan diri. Masih berpeluang untuk menyediakan bekalan dan masih berkesempatan untuk mempersiap sediakan tiga talian hayat yang ada.

Jangan bertangguh-tangguh, mulakan sekarang.

Bila roh diangkat dari jasad, moga berakhir dengan kalimah syadahah. Moga pengakhiran adalah yang terbaik. Husnul Khotimah.

Allahumma amin.

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam surga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Al-Imran: 185)

Advertisements

2 comments on “Husnul Khotimah

Tinggalkan Nota

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s