Bila dah sampai seru

“Saya akan berubah, bila dah sampai seru.”

S.E.R.U.

Satu kata yang agak sinonim diperkatakan. Ada yang menggunakan perkataan ini untuk berbicara tentang jodoh. Tapi fokus saya di sini bila kata S.E.R.U digunakan untuk penghijrahan. Ayat mudah- untuk berubah menjadi lebih baik, kita menanti-nanti “seru” tiba.

Lama saya terfikir-fikir, dan akhirnya saya tersenyum sendiri. Sebab saya sendiri pun tertanya-tanya, apa itu definasi seru?

Adakah S.E.R.U. adalah satu objek? Atau adakah S.E.R.U. adalah sebuah kejadian? Atau adakah S.E.R.U. adalah merupakan seseorang?

Bagi yang pernah menyebut atau terfikir tentang ayat pertama di atas, mungkin anda patut bertanya kembali pada diri sendiri, sebenarnya S.E.R.U. apa yang kita sedang menanti-nantikan kedatangannya sebelum berubah? Satu petanda atau petunjuk untuk berubah? Ataupun kata S.E.R.U. itu sebenarnya adalah ALASAN yang kita ciptakan untuk MENANGGUH-NANGGUH perubahan.

Ramai manusia suka berimaginasi. Saya sendiri pun pernah berimaginasi. Saya masih ingat episod-episod awal dalam mengorak langkah di jalan tarbiyyah, dalam fasa ingin berubah ke arah yang lebih baik berbanding kehidupan yang dulu, saya selalu melihat ke luar tingkap bilik solat di Adelaide satu ketika dulu. Kadang kala saya akan duduk di situ selepas selesai solat Subuh. Menanti-nanti sesuatu yang tak pasti.

Dan pada fasa awal tersebut, saya pernah menanti-nantikan “keajaiban” daripada Allah. Satu “petanda” yang Allah akan berikan kepada saya untuk menunjukkan kepada saya bahawa memang patut saya berubah. Dan sekaranglah waktu yang tepat untuk berubah.

Saya menanti-nanti kalau-kalau Allah perintahkan pada burung-burung untuk muncul di tingkap cermin tersebut dan berbicara pada saya (huhu.. burung kakak tua mungkin boleh), atau paling kurang pokok di belakang rumah terbelah dua, atau “tahi bintang” jatuh (hehe.. janganlah, hancur ranap rumah saya nanti) atau apa-apa aje, asalkan satu petanda. Saya tak mintak banyak. Cuma satu!

(Paling kurang macam dalam video Mat Lutfi, orang jubah putih turun dari pagar. Erk.. tapi saya tak mau beli karpet! =p)

Dan, adakah saya dapat “keajaiban” tersebut???

Jawapannya, mestilah TIDAK! Ahaks!

Adakah saya hampa? Err.. sikit la. “keajaiban” sekadar sebuah imaginasi. Ye la. Saya bukannya hidup di alam dunia Barbie yang penuh fantasi, kan?

Tapi, makin lama menanti, makin saya sedar dan faham. Sebenarnya selama penantian saya, “keajaiban” itu muncul pada setiap hari. Cuma saya tak sedar, sebab tak cukup memerhati dan menghayati.

Setiap pagi, sinar “keajaiban” itu sentiasa hadir, tapi saya tak sedar. Tak memerhati dengan sebenar-benarnya. Tak memerhatikan bahawa fajar yang muncul pada setiap hari itu adalah petunjuk Allah pada saya bahawa S.E.R.U. yang saya nantikan adalah dengan memerhati alam, keindahan alam yang akan membawa saya untuk memerhati kekuasaanNya, kekuasaan yang akan membantu saya menyedari kasih sayangNya, dan kasih sayang yang akan menguatkan saya untuk berubah supaya makin dekat denganNya. Subhanallah walhamdulillah!

Dan setelah saya sedar S.E.R.U. itu di mana, adakah saya terus berubah 360 darjah? Terus transform macam Sailormoon? Mestilah tidak! Saya bukan di alam anime! =)

Berubah perlukan masa, tapi jangan jadikan masa sebagai alasan untuk menunda perubahan.

Bila S.E.R.U. yang kita tunggu dah tiba, teruslah mulakan langkah pertama untuk berubah. Langkah pertama yang kita lakukan sebenarnya adalah untuk mencari kekuatan. Jika langkah pertama pun kita tak mulakan, sampai bila pun kekuatan takkan datang.

S.E.R.U. atau kata mudahnya HIDAYAH itu sentiasa hadir dan muncul di sekeliling kita. Cuma terpulang pada kita untuk sedar dan ambil peduli.

Bentuk S.E.R.U. itu banyak.

Antaranya:

– “Aku ni bukannya baik sangat. Dia (si fulan) lagi baik dari aku.” : Satu bentuk S.E.R.U. yang banyak di monolog kan. Tanpa sedar kita sedang muhasabah, menilai diri sendiri. Dan sedar kekurangan diri. “Aku belum cukup baik.” Kita adalah hakim terbaik pada diri sendiri selepas Allah.  Itulah S.E.R.U. yang seringkali kita tak ambil kisah.

– Bukak facebook, terbaca status-status sahabat, artikel-artikel tentang sesuatu yang mengetuk hati, yang menginsafkan diri. Adakah satu kebetulan untuk kita terbacakan semua itu? Percayalah, hidup ni tiada istilah kebetulan. Mata itu milik Allah, yang akan menunjukkan kita jalan kebaikan. Step seterusnya bergantung pada diri sendiri. Baca, insaf, lepas tu lupakan? Atau baca, insaf, dan aku perlu mulakan sekarang.

–  Al-Quran. Hadiah peninggalan Rasulullah. Jangan sekadar baca semata-mata. Carilah sebuah Al-Quran bersama terjemahan. Paling kurang bacalah semuka satu hari dan lihat terjemahan. Saya berani untuk katakan, S.E.R.U. melimpah ruah. Yang tinggal cuma kita mahu atau tidak.

– Nasyid. Anda peminat lagu? Sama lah dengan saya. =) Tapi, jika kita selalu mendengar lagu-lagu yang sekadar membuatkan kita hanyut (pastikan anda pandai berenang, takut lemas di lautan. Heh!), putus cinta, putus asa, putus harapan, mungkin buat pertama kalinya kita bagi peluang kepada telinga kita untuk berehat sebentar daripada lagu putus-putus kepada lagu yang mampu menyambung kembali harapan. Ada orang kata lagu nasyid ni bosan (yeke? Orang yang cakap ni sebab dia tak pandai cari dan pilih nasyid yang tepat dengan jiwa dia). Kalau anda dalam kategori peminat lagu, mesej la saya. Saya akan tolong cadangkan lagu terbaik untuk diri anda sesuai dengan karakter masing-masing. Biidznillah!

– Memerhati alam dan orang-orang sekeliling. Yang ni saya tak nak ulas panjang. Kerana perasaan tersebut hanya akan dirasai oleh orang-orang yang memerhati.

Ini adalah beberapa bentuk S.E.R.U. yang mampu saya kongsikan. Kerana saya pun pernah cuba dan rasai sendiri.

Usahlah banyak beralasan untuk berubah ke arah kebaikan. Jangan menipu naluri hati sendiri. Fitrah manusia sukakan kebaikan. Dan setiap manusia, jauh di sudut hati suka melihat kebaikan, suka melihat orang-orang yang baik, suka untuk berbuat baik.

Janganlah menunggu-nunggu S.E.R.U. untuk tiba sedangkan S.E.R.U. dah lama berada di tempat yang sepatutnya. S.E.R.U. tak ke mana. Cuma yang tinggal adalah kita yang perlu mencari.

S.E.R.U. atau lebih tepatnya, HIDAYAH itu sudah lama tersedia, tapi kita perlu gerakkan kaki untuk melangkah terlebih dahulu. Sebab apa? Sebab Allah nak didik diri kita untuk BERUSAHA ke arah kebaikan, supaya nanti kita punya KEKUATAN untuk TERUS ISTIQAMAH dalam berlumba-lumba mengejar kebaikan.

Sekarang sudah ramai yang berubah. Para artis dan jugak sahabat-sahabat kita sendiri. Mungkin sesetengah daripada mereka mendapat S.E.R.U. yang agak tragik. Terlibat dalam kemalangan sebagai contoh. Takkan kita pun nak tunggu accident baru nak berubah?

Orang lain dah mula mengorak langkah. Kita yang masih tertinggal di belakang.

“Saya nak berubah..” dan langkah pertama mulakan lah dari sekarang. Kalau rasa diri masih belum punya kekuatan, kalau saya katakan “saya ingin hulurkan tangan untuk membantu”, adakah anda nak menunda lagi?

Usahlah terlalu banyak beralasan. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih!

Moga di akhirat nanti kita bukan tergolong dalam kelompok yang diazab kerana berpaling ketika ada manusia lain mengajak ke arah kebaikan.

Wallahu a’lam.

Sesungguhnya pada kejadian semua langit dan bumi dan perubahan malam dan siang dan kapal yang berlayar di lautan membawa barang yang bermanfaat bagi manusia, dan apa yang diturunkan Allah dari langit dari ada air, maka dihidupkanNya dengan (air) itu bumi, sesudah matinya , seraya disebarkanNya padanya dari tiap-tiap jenis binatang, dan peredaran angin, dan awan yang diperintah di antara langit dan bumi; adalah semua­nya itu tanda-tanda bagi kaum yang berakal. (Al-Baqarah: 164)

p.s: Below is one of my favourite video. You should watch this and start to question yourself. If he can convert to Islam because of Quran, then why we can’t be a better Muslim/Muslimah by referring to Quran as our main guidance?

Advertisements