Perlu ke tunggu ikhwah?

Setiap kali bukak blog, saya suka untuk tengok bahagian analisa statistik. Pengunjung-pengunjung yang bertandang ke blog ni datang dari mana? Ikut saluran mana. Ye lah. Takkan tiba-tiba dapat ilham tajuk blog saya yang agak asing ni, kan. Hehe..

Paling saya suka bahagian “search engine terms” sebab kadang-kadang dari situlah saya dapat idea untuk menulis. Menulis persoalan-persoalan manusia yang akhirnya membawa mereka ke blog saya.

Kebanyakannya berkaitan Baitul Muslim. (Biasa lah. huhu..) Salah satunya, “perlu atau tak menunggu ikhwah”. Tertarik tapi tak mampu menulis sebab saya pun belum berBM untuk mengulas lebih panjang. Dan tak berminat sangat untuk berbicara tentangnya sebab belum ada kemampuan dan kekuatan. Tapi tadi saya terbaca notes di FB tentang ni. Jarang nak berkongsi penulisan orang lain di blog sendiri, tapi harapnya mampu lah untuk menjawab persoalan hamba Allah yang masih mencari-cari jawapan.

Wallahu a’lam.

……………………………………………………………………………………………………………………….

Nukilan: Pena Syabab

http://www.facebook.com/notes/pena-syabab/perlu-ke-tunggu-ikhwah/119905264805782

 

Seorang ukht datang menemui ana,

“Akak, perlu tunggu ikhwah ke?”

Ana terdiam seketika. Fasih benar permasalahan hati seorang akhawat, kerana ana pernah merasa.

Jika ana ia kan, bimbang akan terus memberikan harapan yang tak pasti. Jika menidakkan, bimbang jika ukht hilang dalam perjuangan.

Ikhwah… ikhwah…

Bagai satu kata keramat buat seorang akhawat, jika seorang ikhwah datang menjemput.

Tapi, kata keramat ini bagaikan mahal pula harganya. Sehingga perlu mengharap-harapkan, dalam kalangan akhawat yang ramai menanti, yang terpilih pasti tenang hatinya. Tapi yang tertinggal, berbagai kata motivasi ditanamkan untuk memujuk diri. Moga terus bersabar. Bila tiba masanya, pasti yang tepat akan tiba.

Tapi siapakah gerangan yang tepat itu? Seorang ikhwah? Atau bukan.

Ikhwahnya sedikit, akhawatnya ramai.

Ikhwah yang sedikit. Berapa ramai yang akan memilih akhawat. Berapa ramai yang benar-benar memilih seorang akhawat atas dasar dakwah. Berapa ramai yang memilih akhawat dengan benar-benar berjiwa besar meletakkan agama ditempat teratas?

Ikhwah yang sedikit. Bila bercakap tentang BM, rancak sekali. Dalam daurah, dalam facebook, bersama kalangan ikhwah. Tapi bila disuruh mengisi borang BM, pelbagai alasan diberi untuk menolak.

Ikhwah yang sedikit. Tak ramai yang berjiwa besar. Dan tak ramai yang benar-benar menghayati tuntutan dakwah.

Ikhwah yang sedikit. Pelbagai kebimbangan untuk berBM. Kerjaya? Kewangan? Keluarga?  Alasan biasa. Kerana belum benar-benar matang dalam memahami tuntutan dakwah. Memahami tuntutan untuk mendapatkan sakeenah dalam melajukan gerak dakwah.

Akhawat yang ramai.

Di awalnya menolak pinangan lelaki bukan ikhwah. Kerana setia kepada nasihat untuk memilih ikhwah.

Menanti ikhwah bagai menanti bulan jatuh ke riba. Setianya seorang akhawat menunggu ikhwah sampai terlupa mengira usia sendiri. Yang menganjak ke senja. Yang akhirnya…

“Ana akan terima siapa-siapa je yang masuk meminang”

Akhawat yang ramai. Penantian yang kadang-kala menghilangkan keyakinan terhadap diri sendiri.

“Ukht. Akhawat yang berBM awal semuanya yang ada rupa. Betul ke ikhwah ni memilih bukan atas dasar rupa semata-mata”

Ana hilang kata. Boleh untuk menidakkan, tapi apa jawapan yang seterusnya jika bukti sekeliling kebanyakkannya adalah benar. Mungkin kerana seorang akh masih tetap adalah seorang lelaki.

Pernah mendengar seorang akh berkata, “Ana pilih bukan akhawat, untuk meng”akhawat”kan dia.” Benar, tak salah. Ikhwah adalah seorang pemimpin, dan pasti dan sepatutnya memimpin keluarga.

Tapi pernahkan berfikir tentang akhawat yang pernah bersama-sama melakukan amal dalam program? Berfikir bahawa akhawat menanti ikhwah untuk melangkah ke anak tangga seterusnya. Tapi ikhwahnya sudah pergi. Sedang dalam proses menambahkan bilangan akhawat.

Benar, tak salah. Tapi makin bertambahlah akhawat yang terpinggir. Menanti lagi.

Ada yang menasihatkan. “Tak salah kalau akhawat yang dahulukan permintaan”

Benar, tak salah. Malah ana amat memandang tinggi hasrat akhawat yang ingin menjaga hati dan maruah diri.

Tapi, ikhwahnya sudah hilang kelelakian, kah? Sudah hilang keberanian, kah? Sudah hilang kejantanan, kah? Sampai perlu akhawat yang mengatur langkah pertama.

Akhirnya, akhawat yang perlu berjiwa besar. Cuba menanamkan keyakinan diri. Menerima seorang lelaki bukan ikhwah. Dengan meletakkan mahar untuk terus berada dalam tarbiyyah. Ada yang berjaya. Tapi ramai juga yang tumbang. Kerana pemimpin dalam keluarganya seorang lelaki. Yang belum benar-benar faham fikrah perjuangan.

Ana sedih melihat akhawat kesayangan hilang dalam medan. Yang mana disebabkan sebuah penantian yang tak kunjung tiba.

Ya akhawati. Ana tiada kata untuk benar-benar mampu merawat hati antunna. Kerana ana tidak mengetahui rahsia takdir Ilahi.

Dulu, ana selalu diperingatkan oleh akhawat lain. “Pilih ikhwah, ye”

Tapi, ana tidak akan memberi jawapan yang sama. Kerana biasanya bukan kita yang memilih. Tapi kita dipilih.

Jadi, jawapan ana.

“Jika mampu terus menanti, teruslah menanti dengan penuh kesabaran. Letakkan sepenuhnya pergantungan pada Tuhan. Jika hati sudah cukup sakit akibat penantian, yang mengganggu gerak dakwah, terimalah pinangan seorang lelaki yang soleh. Moga Allah berikan kekuatan pada enti untuk terus kuat dalam perjuangan di medan. Bersama atau tanpa suami.”

Akhawati.

Teruslah bersabar.

Teruslah berdoa.

Teruslah bertawakkal.

Moga Allah akan hadiahkan seseorang yang terbaik buat antunna.

Bagi yang sudah atau dalam proses berBM. Bila berkata-kata tentang indahnya BM, mungkin perlu juga menimbang tara perasaan akhawat di sekeliling. Sebab terkadang ada hati yang menangis kesakitan.

Wallahu a’lam.

“Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya. Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu” (65:2-3)

Gallery

When in need

This gallery contains 3 photos.

Thank you Allah that you have made me strong… When I’m going through tough times in my life… And in the end You have always make things okay… Hasbunallahu wa ni’mal wakil

Husnul Khotimah

Alhamdulillah atas kekuatan menulis lagi…

Ahad yang lepas, sedang saya lena berkembara di alam mimpi, handset berbunyi mengganggu tidur. Dalam keadaan mamai-mamai, tengok jam di handset- pukul 2.30 pagi. Nama yang tertera di skrin buatkan hati saya jadi kurang enak.

“Ma??”

Hati saya berdebar-debar menunggu butir bicara ma. Ma dan abah baru je sampai ke Perak petang Ahad tu. Saya pulak terlupa untuk bertanya khabar malamnya. Niat di hati nak call esok pagi. Tapi bila ma telefon pagi-pagi ni, hati terasa satu perasaan yang kurang enak. “ya Allah. Moga dijauhkan daripada sangkaan-sangkaan yang tak best”

“Yu, tok tak dok doh” (Yu, nenek  dah takde).

“Allah. Innalillahi wa inna ilaihi raji’un”

Kenangan takkan terulang

Mungkin ada sesetengah daripada kita yang lahir sudah kehilangan datuk dan nenek tanpa sempat melihat mereka. Tapi bagi saya, Allah bagi kesempatan untuk bertemu dengan keempat-empat mereka, yang setelah kehilangan nenek pada Ahad yang lalu, kini hanya tinggal seorang saja lagi nenek sebelah abah.

Nenek dan saya, mungkin tak banyak kenangan yang dapat saya ingat pada masa saya kecil bersama nenek berbanding abang dan kakak. Tapi satu hal yang saya warisi daripada arwah nenek- perangai saya yang saaaaangat sukakan kucing. Jadi, setiap kali arwah nenek datang ke rumah, pasti saya akan bawak kucing saya datang pada nenek. (Walaupun ma saya akan marah =p)

Kematian adalah tarbiyyah terbaik

Sepanjang saya hidup, saya tak pernah terlibat dalam proses pengurusan jenazah. Seingat saya, jenazah terakhir yang saya lihat wajahnya adalah wajah arwah datuk sebelah abah yang pada masa tu saya dalam darjah 5. Baru balik dari kelas fardhu ain. Sampai di rumah, sepupu saya datang bagitau abah, arwah tenat. Saya yang baru sampai disuruh bersihkan diri dulu sebelum ke rumah arwah datuk (dekat je, sekampung). Tapi bila dah sampai ke rumah datuk, datuk dah dipanggil Ilahi. Dan wajah arwah datuk hanya saya pandang dari jauh.

Kali ni, bila sampai ke rumah nenek, orang ramai dah memenuhi kawasan rumah. Saya lihat ada yang sedang menguruskan keranda, ada yang mempersiapkan tempat mandi jenazah (budak-budak kecik panggil kapal sebab bentuk dia macam kapal. Tapi bila diorang tahu ni tempat untuk mandikan jenazah, semua dah takut nak pergi dekat. Hehe.. budak-budak..).

Ma abah dah sampai dari Perak (Saya pun tak tahu lah abah drive selaju mana.. hmm..). Bila saya masuk ke bilik, abah sedang baca Quran sebelah arwah dan ada seorang sepupu duduk di penjuru bilik. Saya masuk dan duduk di sebelah abah. Wajah arwah ditutup dengan selendang putih. Abah suruh saya tengok wajah arwah tapi hati saya sangat tak kuat. End up, saya keluar dari bilik.

Bila proses untuk memandikan jenazah bermula, terngiang-ngiang kat kepala saya- kematian adalah pengajaran terbaik bagi manusia yang masih hidup. Dan saya rasa, pasti ada tarbiyyah yang Allah sediakan kat sini. Akhirnya, saya pun decide untuk ikut serta.

Ukuran yang sama

Bila saya keluar dari bilik, kakak ipar panggil dan suruh saya jahitkan kain kapan yang dah digunting. Melihat kain di tangan, hati saya rasa sayu.

Sehebat mana pun manusia di dunia, sekaya mana pun manusia dan hartanya, atau pun sesukar mana pun perjalanan hidup yang dilalui, bila mana dia adalah seorang Muslim, pengakhirannya tetap menggunakan ukuran yang sama. Ukuran kain kapan yang sama, ukuran kapas dengan cara yang sama. Dan yang pasti, ukuran di kehidupan sana adalah tetap sama. Ukuran taqwa.

Hidup untuk mati

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanya kepada Kami kamu dikembalikan.” (Al-Ankabut: 57)

Banyak je artikel menegaskan tentang hidup di dunia yang sekejap je. Tapi manusia, selalu lupa. Antara “TER”lupa atau “ME”lupa”kan”.

Bila sebut tentang kematian, sebuah kematian sebenarnya adalah jejak langkah pertama kita menuju ke perkampungan yang asal. Kehidupan yang sebenar. Saya teringat perkongsian daripada seseorang kepada saya tentang apa yang beliau pandang tentang makna kehidupan di dunia. Kepada yang sudi berkongsi, jika terbaca entry ni, saya terus gunakan ayat asal yang saya yakin lebih tepat tanpa perlukan olahan.

Kita selalu dengar ungkapan ini di mana-mana “Hidup ini sementara dan tidak kekal”. Bila kita dengar ungkapan tersebut, reaksi biasa masyarakat lebih tertumpu kepada info yang mereka sudah sedia tahu iaitu tentang kematian dan kehidupan di akhirat kelak. Namun jika diteliti betul-betul, the same individual yang lahir ke dunia akan DENGAN SENDIRINYA meninggalkan satu persatu perkara/perbuatan bila meningkat usia tanpa paksaan.

Contoh: kita tidak lagi bermain kejar mengejar dan melompat sana sini pada usia remaja. Kenapa tidak? kan masih individu yg sama… nenek yang berusia 70tahun tidak lagi berminat untuk pergi menonton wayang. Kenapa tidak?? kan masih individu yg sama.. saya lihat ini berlaku kerana, bermain kejar mengejar, melompat dan menonton wayang itu BUKAN TUJUAN HIDUP kita dan ia tidak membantu kita untuk selamat di depan Allah kelak. Jadi saya faham bahawa, mana-mana perbuatan atau perkara yang tidak menjadi tujuan hidup itu adalah sia-sia dan patut ditinggalkan segera. Mana-mana individu yang terperangkap dalam mana-mana fasa perbuatan/tabiat yang sia-sia sehingga ia mati, adalah rugi…

Betul. Tujuan hidup yang Allah dah gariskan dalam kalamNya. Untuk beribadah kepada Allah. Dakwat yang telah kering dan pena telah diangkat. Beribadah kepada Allah dalam mempersiapkan bekalan untuk menghadapi hari selepas kematian. Hidup untuk mati.

Jenazah yang bagaimana?

Bila proses memandikan jenazah dimulakan, saya mula terfikir-fikir. Mati adalah rahsia Allah. Kita tak tahu bila kita akan mati dan sebenarnya tak perlu pun kita fikir-fikirkan tarikh kematian kita. Apa yang perlu kita fikirkan adalah persiapan apa yang perlu kita sediakan dan jenazah yang bagaimana yang ingin kita tinggalkan nanti.

Teringat kisah “Tanah Kubur” di Astro- feberet ma dan kakak saya. Jenazah yang ditinggalkan dalam bermacam-macam keadaan. Manusia bila hidup di dunia, boleh memilih untuk tak memperlihatkan sifat sebenar jika mahu. Boleh bermuka-muka. Boleh memilih untuk nampak baik. Tapi yang Allah lebih tahu apa sebenarnya yang terkandung dalam hati.

Bila roh sudah ditarik dari badan, kita sudah tiada kawalan tentang apa yang akan terjadi pada jasad tanpa roh. Wallahu a’lam. Mungkin Allah masih menutup keaiban kita, dosa-dosa kita tanpa terpamer pada jasad yang ditinggalkan, alhamdulillah. Tapi, jika keaiban itu diperlihatkan, akan muncul berbagai-bagai tanggapan di hati manusia. Nauzubillahi min zalik -Kami berlindung dengan Allah daripada perkara (perkara buruk) tersebut (daripada menimpa kami).

Tadi baru terbaca di wall seseorang tentang bagaimana jenazah seseorang yang terlibat dalam kemalangan ngeri kelihatan seakan-akan tersenyum. Dan dari kereta yang hancur tersebut, yang kedengaran adalah alunan bacaan Al-Quran. Subhanallah.

Mungkin kita sudah patut mula berfikir. Dalam setiap apa yang kita lakukan seharian, jika ini adalah yang terakhir, biarlah perlakuan yang terakhir itu mampu membenihkan buah-buah amal.

Bukan berakhir di konsert-konsert memuja artis-artis, bukan berakhir ketika bercanda ria menjana dosa bersama teman yang tidak halal, bukan berakhir ketika leka menyiapkan kerja-kerja di pejabat atau sekolah sedangkan solat fardhu masih ditangguh-tangguhkan, bukan berakhir di medan rempit dan drift yang seolah-olah menjemput kematian sendiri, bukan berakhir dalam panggung wayang menonton cerita-cerita yang melalaikan, bukan berakhir pada gelak tawa mengumpat perihal saudara-saudara Muslim sendiri.

Bila kita memilih untuk terlibat dalam proses pengurusan jenazah, bukan bermakna kita memilih menjadi orang yang mencanang-canangkan keaiban jenazah. Tapi kita sebenarnya memilih untuk mendapat tarbiyyah dari Allah. Memilih untuk menjadi orang yang mula berfikir tentang diri-sendiri. Jenazah bagaimana yang ingin aku tinggalkan.

Bekalan terakhir

Melihat wajah arwah nenek buat kali terakhir, ingin sekali saya berdoa sebanyak mungkin moga ada pahala yang mampu disedekahkan. Tapi saya teringat kata-kata Rasulullah s.a.w.

“Apabila seseorang anak Adam itu mati, segala amalannya akan terputus melainkan tiga perkara: Sedekah jariah yang sentiasa mengalir pahalanya, ilmu yang dimanfaatkan orang lain, doa anak yang soleh” (Riwayat Muslim)

Pada saat roh sudah meninggalkan jasad, bekal amal arwah dah terputus melainkan 3 perkara ini, dan saya sebagai cucunya tak terpilih untuk menjadi penyumbang utama penambahan amal. Itu kalau buat nenek. Tapi bila tiba giliran saya sendiri, pilihan apa yang tinggal sebagai penyambung amal?

1) Sedekah jariah yang sentiasa mengalir pahalanya

Mulai sekarang, mungkin kita sudah patut mula berfikir tentang kematian. Bekalan apa yang mampu kita sediakan buat penyambung amal. Amal yang paling mudah untuk kita lakukan. Sedekah jariah- pastikan dengan niat yang ikhlas. Bukan menunjuk-nunjuk. Bukan ingin dihebah-hebahkan.

“Oh, Datuk Yaya derma rmXXX ribu kat kampung ni untuk bina masjid”

“Sari berita penting- Tan Sri Yiyi telah menyumbangkan rmXXX juta kepada rumah anak-anak yatim Z”

“Ni, saya nak bagi derma kat sekolah U ni sebanyak rmXXXribu,” kata Encik Yoyo sambil mengusap-usap rambutnya.

Memberi dengan tangan kanan, biarlah tangan kiri tak mengetahui. Jika mampu untuk bersedekah dalam jumlah yang banyak, tafadhol. Tapi jika kita hanya lah orang biasa dengan pendapatan biasa, sedekahlah sekadar yang termampu.

Paling mudah bagi yang selalu pergi ke masjid. (Hari ni hari Jumaat, bagi yang lelaki, pergi solat Jumaat tak?) RM1 sekali / sehari pun dah memadai. Mungkin dengan seringgit kita tu melengkapkan jumlah tabung masjid untuk bina toilet baru. Yang akan berkhidmat pada masyarakat dan akan digunakan berterus-terusan. Dan amal kita terus berjalan. Walaupun setelah kita meninggal dunia.

2) Ilmu yang dimanfaatkan orang lain

Jika Allah bagi kelebihan pada percakapan, sebarkanlah kata-kata yang baik. Jika Allah bagi kelebihan pada penulisan, teruslah menulis coretan tinta yang bermanfaat. Jika Allah bagi kelebihan pada seni lukisan, teruslah melukis karya-karya yang islami. Jika Allah bagi kelebihan pada seni fotografi, teruslah mengambil gambar-gambar indah ciptaan Allah yang Maha Hebat buat renungan manusia.

Setiap manusia, Allah dah tetapkan kelebihan tertentu untuk kita manfaatkan sebaik mungkin. Yang tinggal adalah untuk kita sendiri kenal pasti dan teroka kelebihan yang Allah dah berikan. Lakukan lah apa saja untuk manfaatkan kelebihan ni, bukan untuk orang lain. Tapi untuk diri kita sendiri. Moga apa yang kita sebarkan akan menjadi ilmu yang bermanfaat buat diri kita dan orang lain. Dan ilmu tu akan terus di”share”kan pada yang lain pulak. Moga penerusan “sharing” ini akan membawa amal berterusan pada kita walaupun setelah kita meninggal dunia.

Bagi yang belum mengenalpasti kelebihan diri, sekurang-kurangnya kita mengambil posisi dalam menjadi orang yang men”share”kan ilmu yang bermanfaat. Biar orang lain pulak yang mengambil manfaatkan terhadap apa yang kita “share”kan.

Facebook. Butang share yang sangat mudah untuk diclick. Tapi kena tengok jugak apa yang kita sharekan. Jika bermanfaat, alhamdulillah. Sekurang-kurangnya bila kita meninggal nanti, ada ilmu yang boleh terus dikongsikan pada orang lain pulak.

Tapi, jika sebaliknya, jika wall kita penuh dengan gosip-gosip, penuh dengan gambar-gambar yang mengaibkan, penuh dengan cercaan dan cacian pada orang lain, wallahu a’lam. Moga kita tak tergolong dalam orang-orang yang menyebarkan keburukan. Dan jika keburukan tersebar melalui kita, mungkin proses penjanaan dosa kita akan tetap berterusan biarpun setelah kita meninggal dunia.

p.s: Ilmu atau kata-kata yang dikongsi sangat bagus. Tapi jangan sekadar berkongsi tanpa beramal dengannya.

“Barangsiapa yang menetapkan sunnah-hasanah (kebiasaan yang baik) lalu ia diamalkan, maka ia mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya tanpa dikurangi sedikitpun. Dan barangsiapa yang menetapkan dalam Islam satu sunnah-sayyi’ah (kebiasaan yang buruk) lalu ada yang mengamalkannya, maka ia memperoleh dosa seperti yang mengerjakannya tanpa dikurangkan sedikitpun.” (HR Muslim dari Jabir bin Abdillah, sahih)

Jadi, fikir-fikirkanlah apa yang kita amalkan dan sebarkan.

3) Doa anak yang soleh

Alhamdulillah. Nenek ada anak-anak yang ramai termasuk ma. Moga doa ma mampu menjadi penambah amal pada arwah nenek.

Tapi, bagi saya sendiri buat masa sekarang, ini adalah ruang kosong terbesar dalam pilihan penyambung amal. Kahwin belum, anak apatah lagi. Tapi, moga usaha-usaha ke arah itu yang dikira. Allahumma amin.

Bagi yang dah mempunyai anak, didiklah anak-anak agar tergolong dalam anak-anak yang soleh dan solehah. Yang akan sentiasa mendoakan keselamatan kita bila kita meninggal satu hari nanti. Jangan biarkan anak-anak leka dan alpa dengan keseronokkan hidup di dunia hingga menjadi penambah dosa bagi kita walaupun setelah kita meninggal dunia nanti.

Husnul Khotimah- mengharapkan pengakhiran yang terbaik

Bila roh telah diangkat dari jasad, bila amalan telah terputus melainkan tiga talian hayat, bila sudah berada di alam barzakh, bila kesedaran hakikat sebenar tentang kehidupan sudah terbit, kita mungkin dan terlambat. Dah tak dibenarkan bangkit kembali untuk tebus kesilapan-kesilapan yang lalu. Dah tak dibenarkan bangun semula untuk membetulkan anak-anak yang makin leka dan hanyut dalam arus duniawi.

Tapi, kita masih belum terlambat. Masih bernafas, masih punya ruang untuk perbaiki kesilapan dan kekurangan diri. Masih berpeluang untuk menyediakan bekalan dan masih berkesempatan untuk mempersiap sediakan tiga talian hayat yang ada.

Jangan bertangguh-tangguh, mulakan sekarang.

Bila roh diangkat dari jasad, moga berakhir dengan kalimah syadahah. Moga pengakhiran adalah yang terbaik. Husnul Khotimah.

Allahumma amin.

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam surga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Al-Imran: 185)

Cinta di Hujung Senja

Amirul mundar mandir di depan pintu bilik sambil tangannya meraut ke wajah. Esakan-esakan kecil kedengaran di cuping telinga. Perasaan yang bercampur baur memenuhi ruang wad. Sudah kali ke berapa Amirul menghela nafas berat. Akhirnya dia terduduk di depan pintu sambil memegang kepalanya.

“Sabarlah, nak. Allah tahu apa yang terbaik buat Hannah. Hannah isteri yang baik. Dan dia dah cukup beruntung sebab dapat suami yang baik macam Amirul,” ucapan bapa mertuanya tadi benar-benar terasa bagai halilintar menyapa ke telinga.

“Baik? Ya Allah, manusia hipokrit macam aku ni orang kata suami yang baik?” Amirul terasa ingin menjerit sekuatnya di situ, namun jeritannya hanya kedengaran di dalam hati.

Pintu bilik terbuka. Dr Reza memandang sekeliling dengan sebuah pandangan yang menimbulkan tanda tanya semua orang.

“Doktor, macam mana keadaan isteri saya?” Amirul bertanya dengan nada cemas.

Dr Reza memegang bahu Amirul.

“Keadaan Hannah sangat lemah. Mungkin disebabkan penat dan susah hati. Banyakkan berdoa. Kita harapkan Allah berikan yang terbaik buat dia.”

Amirul tergamam.

Esakan mak ayah dan keluarga mertua makin kuat kedengaran. Amirul melangkah longlai ke dalam bilik. Yang kedengaran hanyalah hembusan nafas lemah bidadari yang terbaring lesu di depan mata.

“Duhai hati, kuatlah,” bisik Amirul pada diri. Terasa pipinya basah.

Ditatap wajah itu. Wajah yang dulunya sentiasa ceria, bibir yang dulunya tak pernah lekang dengan senyuman namun kini wajah yang sama sudah sedikit pucat, kurus dan cengkung, bibir yang sama sudah sedikit kering dan merekah. Namun ketenangan yang sama tetap bertandang tiap kali memandang wajah isterinya. Ketenangan yang dulunya pernah cuba untuk dinafikan.

Hannah membuka mata perlahan-lahan. Wajah pertama yang dilihat adalah wajah yang begitu dirinduinya. Ya, hanya dia.

……………..

Hannah tersenyum sendiri melihat ke jari manisnya.

“Dah jadi isteri orang rupanya aku ni. Alhamdulillah,” Hannah tergelak kecil. Tiba-tiba pintu biliknya dibuka. Hannah terdiam. Perasaan berdebar-debar memenuhi dada tatkala Amirul masuk ke bilik.

“Ya Allah, sabar Hannah. Relaks, dia suami kau, lah,” Hannah berkata-kata sendiri. Hatinya gundah gulana bila merasakan Amirul makin mendekat. Seorang lelaki yang telah sah menjadi suaminya. Seorang lelaki pilihan ibubapanya. Seorang lelaki yang tidak begitu dia kenal namun dia percaya bahawa pilihan ibubapanya pasti adalah yang terbaik buat dirinya. Dan istikharah cukup membuatkan dia yakin untuk menerima.

“Kau tak payah nak malu-malu lah, Hannah. Aku nak kau ingat satu hal, je. Aku kahwin dengan kau bukan sebab aku nak kat kau. Tapi sebab aku tak sampai hati nak sakitkan hati ibu yang dah berkenan sangat kat kau. Tak tahulah apa ilmu yang kau pakai sampai ibu sayang sangat kat kau ni. Hmm,” rengus Amirul keras sambil menarik kasar bantal di atas katil dan menuju ke sofa di dalam bilik.

Hannah tergamam. Senyuman tadi terus hilang. Dia memandang perlahan-lahan ke arah suaminya yang berbaring di atas sofa. Ingin dia berkata sesuatu namun terasa anak tekaknya bagai tersekat daripada berbicara.

“Nanti kau nak tidur, tutup lampu. Aku tak suka tidur terang-terang.” Amirul menyambung, “Kau jangan risaulah. Aku takkan sentuh kau. Bukannya cantik sangat pun. Dah lah pakai tudung labuh-labuh, hah! Kolotlah!”

Hati Hannah terusik. Setitis air mata jatuh ke pipi.

Setiap detik bahagia yang diangan-angankannya beberapa hari sebelum perkahwinannya berlangsung tiba-tiba bagai dilemparkan dengan cat hitam. Memadamkan segalanya.

Adakah dia sudah tersalah membuat pilihan? Adakah ketenangan yang terasa selepas istikharah semasa membuat keputusan untuk menerima Amirul adalah satu kesilapan?

“Astaghfirullah…” Hannah segera beristighfar. Syaitan yang datang mencucuk-cucuk untuk membuat sarang dosa.

Hannah menyapu sisa air mata. Dia kembali berfikir secara rasional. Setiap takdir Tuhan telah disusun dengan cukup indah. Setiap apa yang berlaku pasti ada rahsia yang akan tersingkap bila tiba masanya. Setiap dari hamba Allah bakal diuji setimpal dengan kudratnya. Dan Hannah yakin bahawa dia pun sedang diuji Tuhannya.

Mungkin Allah sedang menguji janji yang telah dia buat saat menerima lamaran. Janji pada diri sendiri untuk menjadi seorang isteri yang solehah buat lelaki yang tidak dia kenali dengan rapat. Janji untuk membenihkan perasaan cinta terindah buat lelaki yang halal bagi dirinya setelah dinikahi. Janji untuk bersedia bersabar dengan segala dugaan yang bakal mendatang sepanjang melayari bahtera kehidupan sebuah perkahwinan.

Hannah teringat pesan Kak Asmah ketika dia menceritakan tentang lamaran yang diterima melalui ibubapanya.

“Hannah, nikmatnya bila kita telah dipilih untuk melengkapkan agama dalam usia yang muda. Dan nikmatnya sebuah perkahwinan kerana ianya adalah sebuah lubuk untuk kita menambahkan pahala berlipat kali ganda. Tapi, akak nak Hannah selalu ingat. Bahtera perkahwinan ni sentiasa akan berhadapan dengan ombak yang bermacam-macam kekuatannya. Ada yang lembut, ada yang perlahan, ada yang kasar dan ada jugak yang ganas. Jadi, akak betul-betul harap Hannah bersedia nak hadapi semua ni tak kira bagaimana takdir yang Allah dah susun.” Hannah mengangguk perlahan.

“ Yang kita kena selalu tanamkan dalam diri adalah bukan meletakkan perkahwinan sebagai sebuah matlamat tapi kita minta pada Allah untuk mudahkan jalan menuju ke Syurga sebab Syurga adalah matlamat terakhir kita. Jika Allah berikan jalan untuk ke Syurga melalui sebuah perkahwinan dan ujian-ujian dalam melayari bahtera perkahwinan, jadi kita kena bersedia menghadapi semuanya dengan harapan akan mampu mencapai Syurga yang Allah dah janjikan. Yakinlah, Allah pasti menetapkan apa yang terbaik buat kita.”

Kata-kata Kak Asmah menyapa diingatan. Hannah menarik nafas dalam.

“InsyaAllah, Allah pasti menyediakan apa yang terbaik buatku,” Hannah menguatkan hatinya.

……………..

Amirul memandang ke arah tingkap pejabatnya. Hari sudah menginjak petang. Staffnya sudah ramai yang pulang tapi hatinya berat untuk bergerak balik. Terasa malas untuk melihat wajah isterinya.

Hannah. Seorang wanita yang sederhana. Sopan santun dan memiliki tutur kata yang lembut. Walaupun wajahnya biasa saja tapi memang Amirul tak dapat nafikan, jauh di sudut hatinya dia tenang melihat isterinya yang bertudung labuh walaupun kurang pandai bergaya. Seorang yang cukup sabar melayan kerenahnya tanpa sedikitpun pernah meninggikan suara padanya. Melawan apatah lagi. Jauh sekali.

Amirul teringat, pernah dia sengaja pulang lewat hampir setiap malam selama seminggu kerana sengaja ingin membuatkan Hannah berkecil hati dan membencinya. Tapi bila sampai di rumah, dia terkejut apabila melihat Hannah masih sabar menunggu di ruang tamu. Dan apa yang terkadang membuat hatinya sedikit terusik adalah bila mana Hannah pasti menyambutnya dengan senyuman yang tak pernah lekang di bibir manis itu.

“Abang dah makan? Hannah ada masak lauk kegemaran abang. Nak Hannah panaskan, tak?”

Amirul merengus kasar. “Kau nak suruh aku makan malam-malam buta ni?! Kalau kau lapar, kau makanlah sendiri!” Amirul terus naik ke tingkat atas menuju ke bilik tanpa menghiraukan isterinya. Hatinya puas kerana berjaya mengherdik Hannah tanpa sedikitpun dia terfikir sama ada isterinya sudah makan atau belum.

Pernah satu masa ketika Amirul sedang menonton TV, Hannah datang sambil tersenyum padanya membawa sepinggan nasi goreng kegemarannya. Isteri yang ingin bermanja  cuba untuk menyuap nasi itu ke mulutnya namun ditepis kasar oleh Amirul dan dengan tidak sengaja tertolak pinggan di tangan Hannah. Pinggan itu jatuh dan pecah berderai. Dengan linangan air mata, Hannah mengutip setiap butir nasi yang bertaburan di lantai. Amirul sekadar memandang tanpa simpati.

Amirul bukan saja pernah melukakan hati Hannah secara dalaman. Pernah juga pipi wanita itu ditampar dengan tangan kasarnya dek kerana Hannah bertanya adakah dia sudah solat. Solat? Satu perkataan yang sudah lama dipadamkan dalam kamus ingatannya.

Malam minggu itu, Amirul sedang bersiap-siap ingin keluar bersama kawan-kawan. Hannah yang baru selesai solat Isya’ datang mendekatinya.

“Abang nak keluar, ye?”

“Suka hati akulah aku nak buat apa. Yang kau sibuk sangat duk bertanya tu, apehal? Kau bukan mak aku nak sibuk-sibuk sangat!” Amirul rasa serabut. Dia membetul-betulkan rambutnya.

“Em… tiap-tiap malam abang keluar balik lewat malam. Hannah bukan apa, bimbangkan abang. Lagipun…” Hannah teragak-agak. “…abang janganlah cari hiburan pada benda-benda yang Allah tak suka.”

Hati Amirul panas. Ditendangnya Hannah dengan perasaan marah bercampur ego yang membuak-buak. Hannah menjerit kesakitan.

“Hoi! Kau jangan nak memandai nak ajar aku apa yang Allah suka, apa yang Allah tak suka! Kau tu ingat kau dah jamin dapat masuk Syurga ke? Duk berceramah je sana sini. Pergi lah jadi ustazah ke, ajar kat masjid tu. Memekak je!” Amirul bersuara lantang. Langsung tak menghiraukan Hannah yang mengerang kesakitan memegang perutnya yang disepak tadi sambil menangis teresak-esak. Terus ditinggalkan Hannah bersendirian.

Walaupun pelbagai kekasaran telah dia lakukan pada Hannah, namun isterinya tetap melayannya sebaik mungkin tanpa sedikitpun menunjukkan riak tanda kebencian. Pernah ibubapa mertuanya datang ke rumah dan Amirul cuba berlagak biasa untuk menyembunyikan kegusaran di hati. Dia tahu Hannah pasti mengadu kepada mertuanya apa yang telah berlaku dalam rumahtangga mereka. Namun sangkaannya jauh meleset. Apabila ditanya, Hannah tersenyum ceria dan berkata dia cukup bahagia dengan rumahtangganya.

Lamunan Amirul terhenti bila handphonenya berbunyi. Nama yang tertera di screen sudah cukup membuat dia terasa bahagia.

Amirul tersenyum menghilangkan bayangan wajah isterinya. Sekarang yang dirindui adalah kekasih hatinya, Ros. Wanita yang benar-benar dia cintai, wanita yang ingin dikahwininya kalau bukan disebabkan tentangan keluarga.

Baginya jika Hannah tidak menerima lamaran daripada keluarganya, pasti lebih mudah untuk umi dan abahnya menerima Ros. Tapi yang terjadi adalah sebaliknya.

Benar, dia sedar Ros adalah seorang wanita yang kuat bersosial. Dengan memiliki aset wajah yang jelita, Ros adalah seorang wanita yang diidamkan ramai lelaki. Namun, Amirul yakin jika selepas mereka berkahwin, pasti secara automatik Ros akan mengurangkan aktiviti sosialnya. Itu tanggapan Amirul.

“Hello sayang. Jadi tak malam ni kita keluar?” suara manja Ros kedengaran.

“Mestilah jadi. You tunggu I. Dalam setengah jam I sampai. Kat office lagi ni,” Amirul membalas sampai menarik tali leher yang terasa rimas.

“Okey, see you later. Love you,” Ros menjawab dengan tawa kecil.

“Okey, love you too.”

Amirul bangun dan mengambil kunci kereta. Tak sabar ingin bertemu kekasih hati.

……………..

Hannah terasa hatinya kurang enak. Entah kenapa dia rasa berdebar-debar ketika menyediakan makan malam untuk suaminya. Jam menunjukkan pukul 11.30 malam. Terasa lambat sekali waktu berlalu. Bukan tak pernah Amirul pulang lewat dari pejabatnya namun kali ini perasaannya terasa lain.

Handphonenya berbunyi. Hannah cepat-cepat mengangkatnya walaupun dia tahu kebarangkalian pemanggilnya Amirul adalah jauh sekali. Amirul sangat jarang menelefonnya.

“Hello, assalamualaikum.”

Kedengaran suara seorang wanita di hujung talian.

“Waalaikumussalam,” Hannah menjawab penuh debaran.

“Ni, isteri Encik Amirul, ke?”

“Ye saya.” Hannah menjawab dengan penuh tanda tanya di kepala.

“Puan, saya nak mintak maaf kerana terpaksa memberitahu berita yang agak kurang enak. Suami puan terlibat dalam kemalangan jalan raya dan sekarang dia berada di wad kecemasan. Keadaannya agak parah…” kata-kata seterusnya bagaikan deruan angin yang berlalu tanpa dapat dihadam Hannah. Tubuhnya menggeletar.

“Ya Allah. Selamatkan suamiku…”

……………..

Kaki Amirul yang bersimen terasa perit. Lemah seluruh tubuhnya. Dr Reza memberitahunya bahawa tulang pahanya patah akibat kemalangan jalan raya selepas pulang menghantar Ros balik ke apartmentnya. Akibatnya dia mungkin tidak dapat berjalan buat sementara.

Ros. Sudah sebulan dia terlantar di hospital namun belum nampak kelibat Ros datang menziarahinya. Dicapai handphone di atas meja.

Panggilan pertama tidak diangkat. Dicuba sekali lagi.

“Hmm.. Hello,” keluhan kecil kedengaran di penjuru telefon.

“Sayang, nape tak datang jenguk I? Dah lama I tunggu.”

“Eh. You tu kan suami orang. Tak nak lah I kacau suami orang. You jangan contact I lagi!”

Talian telefon dimatikan. Amirul tergamam. Kepalanya terasa panas teringatkan kata-kata Ros. Digenggam kuat handphone di tangan.

Pintu bilik terbuka. Hannah masuk membawa sebekas air dan sehelai tuala. Dan senyuman yang tak pernah lekang tetap meniti di bibir manis itu.

“Abang dah bangun? Dah tengahari ni. Hannah lapkan badan abang, ye,” tanpa menunggu jawapan balas, Hannah segera melakukan tugasnya membersihkan badan suami tercinta.

Amirul memandang dengan perasaan sebak. Tiada kudrat untuk menolak, memarahi jauh sekali. Hatinya bagai disentuh dengan kelembutan isterinya. Ya, isteri yang pernah ditengking, ditampar, disepak terajang, namun isteri itu juga yang tak pernah lelah menjaganya sepanjang dia di hospital. Menguruskan dirinya, makan minumnya, berak kencingnya tanpa sedikitpun menunjukkan perasaan geli atau tidak selesa.

Kata-kata Ros tadi kembali menyapa di ingatan. Hatinya pedih. Padahal di awal perkahwinannya, Ros lah yang banyak menghasutnya untuk berlaku kasar dengan isterinya. Ros lah yang sentiasa menggodanya untuk curang pada isterinya. Ros lah yang sentiasa meracuni fikiran Amirul dengan tanggapan bahawa isterinya adalah penyebab mereka tidak dapat bersama sehingga perasaan benci kepada isterinya bercambah-cambah.

Tapi kini, isterinya itu jualah yang menjadi peneman setia, menjaganya siang dan malam. Teman-teman sejoli yang keluar dengannya hampir setiap malam langsung tidak pernah menampakkan diri. Amirul kini benar-benar sedar siapa sebenarnya teman yang sebenar. Siapa yang menyayanginya dengan sebenar-benarnya. Dia yang dulunya buta. Bukan buta mata, tapi buta hati.

……………..

Hannah terasa pening. Badannya yang semakin susut terasa lemah. Namun digagahkan diri untuk memasak lauk kegemaran suaminya.

Sudah 5 bulan berlalu semenjak suaminya kemalangan. Kini, dia sudah mula boleh berjalan sedikit demi sedikit. Hannah bahagia kini. Tangan kasar yang dulu selalu menamparnya kini sudah memegang tangannya mesra. Bibir yang dulunya tak pernah lelah mengherdiknya, kini tak lekang mengucapkan kata cinta.

Dia kini diberi peluang oleh Allah untuk menjaga suaminya yang terlantar kesakitan. Dulu suapannya ditepis, kini dia dapat menyuap makanan kepada suami setiap hari. Dia tak pernah makan dahulu jika suaminya belum makan. Setiap malam pasti dia akan bangun menyapukan ubat pada kaki suaminya jika suaminya mengerang kesakitan. Dia takkan pernah lena selagi mana suaminya belum tidur.

Hannah bahagia. Sejuta kesyukuran bertandang di hati melihat perubahan Amirul. Seorang suami yang pernah menamparnya apabila ditanya tentang solat sudah mula belajar untuk solat. Benarlah janji Allah, kesabarannya kini terbalas. Alhamdulillah.

Hannah membawa makanan ke bilik. Dilihat Amirul sedang membaca suratkhabar. Hannah menapak ke dalam bilik. Tiba-tiba terasa pandangannya gelap. Hannah jatuh pengsan.

……………..

Hannah tersenyum melihat wajah yang dirinduinya. Ya, hanya dia.

“Abang,” tangan lembut itu menyentuhnya.

“Kenapa abang menangis ni?” Hannah mengukir senyuman  dan menyapu air mata yang mengalir di pipi suaminya. Air mata dari seorang lelaki yang dulunya mempunyai sekeping hati yang cukup keras. Namun kini, hati milik lelaki yang sama itu sangat mudah tersentuh. Jauh di sudut hati, Hannah bersyukur. Benarlah janji Tuhan, setiap ketentuan takdir pasti ada hikmah yang terhidang di hujung perjalanan. Kalau dulu mustahil untuk suaminya menyentuh tangannya, jauh sekali untuk memegang tangannya, kini tangan yang sama itu menggenggam erat jari-jemarinya tanpa menunjukkan tanda-tanda ingin melepaskan.

“Abang mintak maaf sayang,” Amirul mengucup jari jemari Hannah, membelai lembut dahi wanita di hadapannya. Terasa bebanan dosa yang teramat berat terpikul di bahu.

Tiba-tiba Hannah terasa ada sesuatu melekat di kerongkongnya. Namun digagahi juga diri untuk berbicara kepada suami tersayang.

“Abang, Hannah dah lama maafkan abang. Hannah sayang kat abang.” Hannah berkata mesra.

Amirul menangis teresak-esak. Sudah gugur segala ego seorang lelaki. Pilu bercampur sebak yang amat ditambah penyesalan dalam diri yang menggunung. Menyesal di atas setiap perbuatannya terhadap Hannah. Menyesal dengan sikap dirinya yang benar-benar tidak tahu menghargai seorang isteri yang sangat baik terhadapnya.

“Jangan menangis, bang. Bukan salah abang pun. Mungkin Hannah yang tak pandai jaga diri dan tak pandai nak jaga abang, tak pandai nak ambik hati abang. Maafkan kekurangan diri Hannah ye, abang.”

Terasa seperti bunyi sekuat guruh berdentum di sudut hati Amirul. Dia tak kuat. Dia rasa tewas. Tewas dengan bebanan perasaan bersalah yang cukup mendera di hati. Dia yang patut meminta maaf. Dia yang patut dipersalahkan. Keadaan Hannah yang lemah disebabkan terlalu penat dan terlalu bimbangkan dirinya tanpa menjaga kesihatan diri sendiri.

“Ya Allah. Butanya aku dengan kurniaanMu. Butanya aku satu ketika dulu. Ya Allah, berdosanya aku.” Terasa ingin dihentak-hentak kepalanya ke lantai. Tak tergambar seribu penyesalan yang bersarang di hati.

“Uhuk!” terpercik darah ke atas selimut. Hannah terbatuk-batuk.

Amirul kaget. “Doktor! Doktor! Tolong isteri saya, doktor!”

……………..

Setelah dua minggu berada di hospital, Hannah menghembuskan nafasnya tepat pukul 3 petang.

Amirul terdiam di satu sudut. Tangannya menggenggam erat sebuah CD yang berselit nota di dalamnya. Pemberian Hannah sebelum mengucapkan kalimah syahadah buat kali terakhir. Jenazah Hannah selamat dikebumikan petang itu. Keluarga Amirul mengajaknya untuk pulang ke rumah keluarga, namun Amirul menolak. Dia ingin bersendirian.

Setibanya di hadapan rumah, kaki Amirul terasa berat untuk melangkah. Berat untuk melangkah masuk ke rumah yang kini kosong. Kosong tanpa disambut dengan senyuman mesra seorang isteri.

Amirul kembali terasa lemah. CD pemberian Hannah dimasukkan ke dalam player di dalam kereta. Sebuah lagu nasyid yang dimainkan cukup menyentuh perasaan. Amirul perlahan-lahan membuka nota yang terselit.

Buat suamiku yang sentiasa Hannah cintai,

Di saat abang membaca surat ini, mungkin Hannah sudah kembali menemui Ilahi. Namun, ini adalah pemberian kecil daripada Hannah. Maaf, Hannah tak sempat nak belikan hadiah untuk abang bersempena ulangtahun perkahwinan kita yang hampir tiba.

Abang,

Hampir setahun Hannah menjadi isteri abang. Hannah benar-benar bersyukur dengan setiap kurniaan Tuhan. Syukur Allah sudah menyediakan Hannah satu peluang yang besar untuk mengejar bayangan Syurga dengan memberikan Hannah kesempatan untuk menjaga abang sepanjang abang sakit.

Dalam hati Hannah, Hannah sentiasa berdoa moga Allah lembutkan hati abang, bukakan hati abang untuk kembali dekat pada Allah. Hannah tak pernah salahkan abang terhadap apa yang berlaku selama ini. Hannah yakin, Allah hadirkan Hannah untuk membimbing abang kembali ke jalan yang benar. Tapi, Hannah minta maaf jika hanya sedikit yang mampu Hannah bantu dengan keadaan diri yang lemah ini.

Abang,

Hannah benar-benar minta maaf kerana tak sempat nak berikan abang seorang cahaya mata buat peneman hidup abang. Hannah sentiasa meminta daripada Allah, tapi Allah lebih tahu apa yang terbaik buat kita. Maafkan Hannah, abang.

Abang jaga diri abang baik-baik. Hannah dah takde untuk jaga abang lagi. Halalkan segala makan minum Hannah selama Hannah bergelar isteri kepada abang. Abang, jangan lupa tunaikan solat, buat baik pada semua orang dan paling penting takutlah pada Allah. Jadilah seorang hamba yang sentiasa dekat dengan Allah.

Abang,

Jika satu hari nanti abang bertemu lagi dengan seorang wanita yang ingin abang jadikan sebagai isteri, sayangilah dia. Jangan sesekali berkasar dengannya kerana naluri seorang perempuan benar-benar mendambakan kasih sayang dan belaian mesra seorang suami.

Abang,

Lagu yang abang akan dengar dalam CD ni adalah sebuah lagu khas ditujukan buat abang. Sebenarnya lagu ni Hannah nak bagi selepas abang melafazkan kata sakinah selepas kita bernikah, namun tak berkesempatan. Abang dengarlah lagu ni dan ingatlah Hannah selalu.

Dulu, Hannah sentiasa menanti-nanti kepulangan abang di rumah. Hannah masakkan lauk pauk yang sedap dengan harapan mampu menggembirakan hati abang. Hannah teringin sangat nak makan bersama abang. Hannah teringin menyambut riang abang yang pulang dari kerja dan mendengar cerita-cerita kehidupan seharian abang. Hannah teringin untuk bergurau dan bermanja dengan abang setiap hari. Hannah teringin memeluk abang ketika tidur. Tapi, semua ni hanya tinggal angan-angan dan harapan Hannah. Waktu yang Allah sediakan buat Hannah tak cukup untuk Hannah buat semua ni.

Akhir kata, jaga diri abang. Hannah sentiasa doakan yang terbaik buat abang dan kehidupan abang selepas ini. Hannah dah maafkan segalanya yang berlaku. Doakan Hannah supaya sentiasa dalam redha Allah. Hannah sentiasa sayang dan cintakan abang, bermula dari saat abang melafazkan “aku terima nikahnya..” dan selama-lamanya.

Salam sayang daripada isterimu,

Hannah.

Amirul bersandar di kerusi kereta. Air mata bercucuran.

“Ya Allah…”

-Tamat-

Nota: cerita ini adalah olahan daripada sebuah kisah benar untuk dijadikan pedoman buat kita.

Duhai para suami,

Sayangilah isterimu yang berada di sisi walau banyak manapun kekurangan yang ada pada dirinya selagi mana anda berpeluang untuk menyayanginya. Penyesalan pada kehidupan yang takkan terulang hanya akan menjadi sia-sia jika kesempatan waktu sudah tidak membenarkan.

Duhai para isteri,

Tingkatkanlah kesabaran diri dalam menghadapi liku-liku kehidupan pelayaran sebuah bahtera rumahtangga. Moga kita mampu menjadi wanita solehah yang dicemburui bidadari-bidadari Syurga.

Sama-sama kita doakan moga arwah isteri beliau ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman di sisi Rabbul ‘alamin. Dan moga beliau mendapat kekuatan untuk kembali dekat kepada Allah.

Takdir yang sempurna

Salam.

Okeh. Entry ni patut pendek je. (Kalau panjang jugak, tak tahu lah. =p) Sebab perlu kembara mimpi awal, esok kena bangun awal, akan berkembara bersama bakal-bakal mad’u baru. Moga ada hati-hati yang tersentuh. Amin!

Tarikh 23.11.11- Alam menjadi saksi berserta makhluk ciptaanNya, dua hati yang bersatu atas sebuah perjanjian yang kuat. Moga sentiasa berada dalam barakah Ilahi. Sampai ke syurga. Amin!

Selangkah ke gerbang perkahwinan. Jika ditanya, siapa yang tak nak berkahwin, sedangkan Rasulullah sendiri pernah mengatakan bahawa siapa yang tak ingin berkahwin, bukanlah dari kalangan umatku. Dan keinginan ini adalah satu perasaan fitrah.

Cepat atau lambat, segalanya akan sepenuhnya bergantung kepada satu kata. Takdir. Atau bahasa yang lebih mudah- jodoh. Dan selagi belum sampai tikanya, adakah kita tahu kita ini (akhawat) adalah tulang rusuk kepada siapa? Tidak. Sebab itu semua adalah rahsia ketetapan Ilahi.

Saya sendiri secara peribadi suka mendengar akhawat bercerita tentang perkahwinan, kerana ia memberi gambaran yang cukup cantik dan indah tentang sebuah perkahwinan yang bukan bermula di atas rasa cinta kepada si dia semata-mata. Sebuah baitul muslim yang dibina semata-mata untuk mengejar keredhaan Allah.

Tapi terdapat sesetengah persepsi bahawa jika belum sampai ke tahap tertentu, usia tertentu, keadaan tertentu, atau belum terlibat dalam proses BM, janganlah terlalu excited untuk mendengar cerita-cerita sebegini. Saya sendiri pun pernah mempunyai persepsi begitu, sampaikan nak baca buku tentang perkahwinan pun rasa takut-takut. “Isk, nanti nampak macam nak kahwin sangat dah.” Jadi, adakah salah perbuatan sebegini?

Dan saya bertanya soalan ini kepada seorang akhawat. Dan diperdengarkan dengan sebuah kisah menarik. Seorang akhawat lain (yang kini sangat saya kenali dan merupakan murabbi yang saya hormati, yang saya sayangi, yang banyak membantu saya sepanjang pulang ke Malaysia sebelum benar-benar dapat bergerak. Terima kasih akak, dengan bantuan akaklah dapat saya menapak di jalan ni dengan begitu tabah) telah menimba ilmu tentang baitul muslim seawal usianya 16 tahun. Dan bila diteliti kehidupannya kini, subhanallah, menjadi teladan untuk pembinaan sebuah baitul muslim, pendokong kuat zaujnya, seorang yang sangat hebat di jalan dakwah.

Jadi, adakah sebulan nak kahwin barulah boleh menuntut ilmu-ilmu sebegini?

Setiap orang mengimpikan sebuah perjalanan ke alam baitul muslim yang sangat indah. Kita sentiasa merancang, tapi pengakhirannya tetap bergantung kepada satu perkara- takdir Tuhan. Dan adakah takdir setiap manusia adalah sama? Adakah impian untuk membina baitul muslim akan mempunyai pengakhiran yang indah belaka? Adakah niat kita untuk berbaitul muslim benar-benar tepat dengan matlamat asalnya iaitu MENIKAH DI JALAN DAKWAH?

Kisah 1:

Seorang ukht, alhamdulillah jodohnya ditetapkan awal oleh Allah. Menikah dengan seorang ikhwah. Yang kelihatan mantap di jalan dakwah. Gerak dakwah berterusan selepas perkahwinan sepertimana sebelum menikah.

Namun kini kedua-duanya berhenti daripada terus bersama gerabak. Silapnya di mana? Wallahu a’lam. Allah lebih tahu apa yang terjadi di tengah perjalanan perjuangan.

Kisah 2:

Seorang ukht. Dah beberapa tahun menunggu kedatangan seorang ikhwah. Namun belum datang bertandang. Dalam penantian, beberapa lamaran menjelma. Walaupun usia makin bertambah, namun setiap risikan dan lamaran ditolak dengan sebab lelaki tersebut bukan ikhwah.

Sehingga sampai ke satu masa, akhirnya tibalah saat-saat yang dinanti. Datanglah permintaan berbaitul muslim dari seorang ikhwah, yang sangat mantap dalam gerak dakwahnya. Dan akhirnya istiqamah sehingga kini.

Bila ditanya, kenapa akak sanggup tunggu? Dia cuma tersenyum sambil berkata, “kerana akak yakin akan janji Tuhan. Dan akak akan tetap tunggu ikhwah sampai bila-bila. Dan dalam baitul muslim, bukan bergantung kepada siapa yang kita suka, tetapi kita perlu bersedia menerima sesiapa sahaja, asalkan dia tetap berpegang kepada fikrah yang sama. Tu prinsip akak.”

Kisah 3:

Seorang ukht. Tetap juga menunggu beberapa tahun sehingga lewat 20-an. Akhirnya datang lamaran daripada seorang lelaki, yang bukan seorang ikhwah. Dan keduanya bertunang.

Beberapa bulan selepas pertunangan, datanglah beberapa risikan daripada ikhwah melalui mak usrahnya. Namun takdir mendahului, sudah menjadi tunangan orang, yang bukan seorang ikhwah.

Dan kini, alhamdulillah ukht tetap bergerak, dan mendapat sokongan zaujnya walaupun bukanlah seorang pendokong. Namun tetap seorang penyokong yang baik.

Kisah 4:

Seorang ukht. Seorang penggerak yang sangat aktif di medan. Tapi jodohnya berakhir dengan seorang lelaki yang bukan merupakan seorang ikhwah. Yang menghalangnya daripada bergerak dengan alasan, “mentarbiyyah anak-anak di rumah sudah memadai”.

Dan sahabat saya bertemu dengannya dalam sebuah program untuk anaknya baru-baru ini. Melihat kami, dengan wajah yang sayu, “akak rindu nak join tarbiyyah” katanya dengan pandangan mata yang berkaca.

Kisah 5:

Seorang ukht, yang mempunyai impian seperti akhawat lain, menginginkan sebuah baitul muslim yang indah dengan ikhwah. Yang masih bujang.

Akhirnya datang sebuah lamaran, daripada seorang ikhwah, melalui isteri pertamanya. Perempuan mana yang ingin dimadukan? Benar, ini bukanlah kesalahan, malah Rasulullah s.a.w pun bermadu. Tapi fitrah naluri seorang perempuan tetap sukar untuk menerima.

Namun istikharah menjadi penolong, hati tenang untuk menerima, dan hubungannya dengan isteri pertama sangat rapat. Cemuhan awal orang-orang sekeliling akhirnya terdiam dengan melihat mereka sebagai satu pasangan bermadu yang seharusnya dicontohi dan dihormati.

Dan dia tetap bergerak di arus risalah bertemankan zauj yang tetap mendokong dan menyokong berserta juga isteri yang pertama.

Kisah 6:

Seorang ukht, berkahwin dengan seorang lelaki, bukan ikhwah. Namun si suami tidak membenarkan dia bergerak. Dan akhirnya ukht memilih untuk tetap berada bersama risalah. Dan mereka berpisah. Ukht membesarkan anaknya sendiri.

Dan kini, anak-anaknya merupakan rijal-rijal yang hebat dalam gerak dakwah di sebuah tanah yang subur. Yang pernah dijejaki para nabi terdahulu.

Memilih takdir yang sempurna

Kisah-kisah di atas bukanlah kisah rekaan melainkan kisah realiti yang ada. Yang diceritakan pada saya. Dan ada salah satunya baru diceritakan pagi tadi semasa pergi berbincang dengan murabbi tentang program NAZIM. Demam yang sudah sedikit kebah terasa hangat kembali bila menyentuh perkara-perkara sebegini (Peningnya kepala). Perbincangan aulad berakhir dengan perkongsian baitul muslim. (Adeh, saya rasa lepas ni saya patut pilih KRIM atau PEMBINA. Untuk jauhkan diri daripada persoalan-persoalan berkaitan rumahtangga)

Akhir kata, apa yang cuba saya sampaikan (hajat di hati nak tulis pendek, dah jadi panjang pulak. haish), satu janji yang pasti. Takdir susunan Allah pasti adalah yang terbaik. Yang tinggal adalah apa yang kita betul-betul inginkan- adakah hanya sebuah rumahtangga untuk menghalalkan hubungan, atau sebuah perkahwinan supaya tidak bersendirian, atau ianya sebuah baitul muslim untuk kelangsungan perjuangan dakwah.

Wallahu a’lam